Sunday, November 30, 2008

Syor Tubuh Pusat Maklumat Kredit Mampu Bantu Peniaga

Utusan Malaysia: 05.07.2007

KUALA LUMPUR 4 Julai – Cadangan penubuhan pusat pembekalan maklumat kredit terkini di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) mampu menyelesaikan kesukaran yang dihadapi sebahagian besar peniaga Melayu untuk mendapat pinjaman.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMKL), Datuk Syed Amin Aljeffri berkata, buat masa ini, kira-kira 60 peratus ahlinya gagal mendapatkan pinjaman berikutan maklumat yang dibekalkan oleh Credit Tip-Off Service Sdn. Bhd. (CTOS) kepada pihak bank.

Menurutnya, masalah itu bukan sahaja dihadapi dengan bank komersial bahkan bank yang ditubuhkan kerajaan bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) bumiputera.

‘‘Ini disebabkan kecenderungan bank merujuk kepada CTOS sedangkan maklumat yang dibekalkan syarikat ini tidak lengkap serta terkini,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam, supaya BNM menubuhkan pusat pembekalan maklumat kredit untuk menggantikan perkhidmatan yang diberikan oleh CTOS.

Beliau yakin BNM mempunyai keupayaan dalam menyediakan laporan-laporan terkini mengenai kedudukan kewangan orang ramai.

CTOS merupakan syarikat yang menyediakan maklumat mengenai kebankrapan, saman sivil, penggulungan syarikat, perisytiharan jualan dan hal ehwal pengarah syarikat.

Dalam hal ini, Syed Amin turut meminta kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap CTOS jika terbukti aktiviti yang dilakukannya menyalahi undang-undang.

Sementara itu, Pensyarah Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah turut menyokong cadangan penubuhan pusat pembekalan maklumat kredit yang dilihat langkah bijak bagi memastikan peminjam tidak terus teraniaya.

Beliau berkata, BNM mempunyai keupayaan untuk memastikan segala maklumat peminjam dapat direkodkan dengan lengkap, sentiasa dikemas kini dan dibuat mengikut batasan undang-undang.

Tambah Haim Hilman, cadangan penubuhan pusat itu akan dapat membantu mengemas kini sejarah pinjaman peminjam dan merancakkan ekonomi negara.

‘‘ Bila peminjam gagal membuat pinjaman disebabkan kelemahan CTOS, secara tidak langsung ia akan merencatkan ekonomi negara kerana aliran pusingan mata wang telah tersangkut,’’ katanya lagi.

Naik Gaji Rangsang Produktiviti

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 23.05.2007

Keprihatinan kerajaan terhadap keluhan kakitangan awam khususnya dan rakyat amnya jelas terserlah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji baru kakitangan awam.

Kenaikan gaji ini membawa kepada pertambahan perbelanjaan negara sebanyak RM6.8 bilion setahun di samping pembayaran Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM1.2 bilion setahun. Secara keseluruhannya RM8 bilion setahun diperuntukkan oleh kerajaan untuk semakan gaji ini.

Fokus utama kerajaan untuk semakan gaji ini jelas kepada kumpulan sokongan. Kenaikan gaji ini dijangka memberi kesan besar kepada sosioekonomi kakitangan kerajaan yang berjumlah seramai 1,002,040 orang di samping 557,033 pesara. Secara khususnya, kenaikan ini menuntut kakitangan awam menjadi lebih komited, cekap dan produktif semasa menjalankan tugas.

Kesanggupan kerajaan memperuntukkan RM8 bilion setahun untuk membayar gaji kakitangannya diharap akan menjadi pemangkin kepada mutu kerja yang lebih berkualiti dan terpuji. Segala sifat negatif yang sering dikaitkan dengan kakitangan awam selama ini harus dihapuskan segera.

Sekarang adalah masa terbaik untuk kakitangan membalas jasa kerajaan iaitu dengan memberi mutu perkhidmatan terbaik setanding dengan negara maju. Hasrat ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya setiap kakitangan benar-benar bertanggungjawab terhadap tugas yang dipikul walaupun jawatan yang disandang serendah pembantu pejabat.

CUEPACS pastinya boleh memainkan peranan lebih berkesan dalam mendorong ahlinya memberi perkhidmatan lebih berkualiti tinggi iaitu setanding dengan negara maju.

Pada dasarnya faktor-faktor seperti kecekapan pemungutan cukai, kecekapan pengurusan kos, penurunan defisit perdagangan, peningkatan jumlah dagangan yang melepasi paras RM1 trilion tahun lepas, pertumbuhan purata KDNK pada 5.6 peratus, tahap kadar inflasi rendah, dan arah aliran positif Bursa Malaysia jelas menyumbang kepada kemampuan kerajaan melaksanakan semakan gaji dan menghadiahkan kepada kakitangannya kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah.

Namun demikian usaha perlu terus digembleng agar setiap faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini dapat dipertingkatkan dan pada masa yang sama segala usaha untuk mengatasi sebarang kelemahan sedia ada dapat diteruskan iaitu sehingga wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020 mampu direalisasikan.

Manfaat daripada kenaikan gaji ini pasti akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara kerana perbelanjaan pengguna akan memberi kesan gandaan dalam kitaran ekonomi. Namun demikian perbelanjaan berhemat harus menjadi teras kepada setiap kakitangan kerajaan khususnya dan rakyat amnya. Kesempitan hidup terutamanya di kalangan mereka yang berada di kategori kumpulan sokongan I dan II harus menggunakan pertambahan pendapatan ini sebijak-bijaknya.

Peruntukanlah sebahagian besar daripada pertambahan pendapatan itu untuk pelaburan hari tua dan pendidikan. Jadilah golongan yang sentiasa beringat dan berusaha keras ke arah mempertingkatkan diri dan keluarga dari perspektif pendidikan terutamanya.

Sekiranya setiap keluarga kakitangan awam daripada kumpulan sokongan I dan II iaitu berjumlah sekitar 754,235 orang itu memperuntukkan sebahagian besar pertambahan pendapatan itu untuk pendidikan diri sendiri untuk mereka yang masih bekesempatan ataupun untuk anak-anak mereka iaitu sehingga ke tahap memperoleh segulung ijazah dan akhirnya menjadi golongan profesional. Jika ini berjaya dilakukan maka pasti mereka akan dapat mengubah senario ekonomi keluarga mereka khususnya dan negara amnya.

Saranan Perdana Menteri yang mahukan kakitangan awam meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka dalam menjalankan tugas harus direalisasikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Bermula dari hari ini sistem penyampaian yang tidak cekap harus menjadi sejarah di sektor perkhidmatan awam. Dengan kata lain telah tidak ada sebab untuk kakitangan awam tidak bermotivasi untuk melaksanakan setiap perancangan yang telah dirancang selama ini. Buat mereka yang mungkin terpaksa melakukan dua ataupun tiga pekerjaan dalam satu masa semata-mata kerana desakan kehidupan boleh menarik sedikit nafas kelegaan dan memberi tumpuan kepada tugas mereka sebagai kakitangan kerajaan selepas ini.

Kesan kenaikan gaji ini sewajarnya mampu memotivasi semua kakitangan kerajaan yang berkhidmat di seluruh negara termasuklah bagi mereka yang bertugas di kawasan pedalaman. Sewajarnya kerajaan mula memberi perhatian yang lebih serius ke arah penyediaan prasarana dan perkhidmatan yang lebih bermutu untuk masyarakat di luar bandar dan pedalaman. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka ini tidak terdedah kepada hak-hak mereka apabila berurusan dengan agensi kerajaan ataupun kakitangan kerajaan. Berapa ramaikah antara mereka yang akan menulis surat kepada kementerian terbabit apabila urusan mereka tidak ditangani dengan sewajarnya oleh kakitangan yang dipertanggungjawabkan. Oleh itu kerajaan perlu terus memantau mereka yang bertugas di pedalaman agar sistem penyampaian bermutu tinggi yang disasarkan itu tidak hanya boleh dirasai oleh mereka yang berurusan di Putrajaya sahaja tetapi di mana juga agensi kerajaan beroperasi.

Fenomena

Kenaikan harga barang setiap kali kerajaan menaikkan gaji telah menjadi satu fenomena. Peniaga menggunakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga. Apa pun alasan mereka, tindakan menaikkan harga boleh ditakrifkan sebagai rompakan di siang hari. Siapakah mangsa utamanya? Jawapannya adalah jelas iaitu mereka yang berpendapatan rendah. Dalam konteks ini perompak tidak mengira mangsa tetapi golongan paling teraniaya adalah mereka yang berpendapatan rendah dan tidak tetap seperti petani. Satu langkah komprehensif dalam menangani masalah ini harus dibentuk, laksana dan perkemaskan dari semasa ke semasa.

Pada dasarnya langkah penguatkuasaan yang dilakukan setakat ini hanya tertumpu di bandar-bandar. Bagaimanakah nasib mereka yang menghadapi dilema yang sama di pedalaman Sabah dan Sarawak sebagai contohnya.

Ketegasan yang ditunjukkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP untuk memastikan penguatkuasaan dilaksanakan amat dialu-alukan dan perlu disokong. Namun demikian, usaha tersebut masih belum mencukupi kerana jumlah anggota penguat kuasa yang dimiliki oleh KPDNHEP terlalu kecil untuk memantau aktiviti perniagaan runcit di seluruh negara.

Oleh itu, satu kerjasama untuk mewujudkan Rakan KPDNHEP wajar diwujudkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain khususnya dan anggota masyarakat amnya. Sebagai contoh kerjasama dengan Kementerian Pelajaran akan membolehkan guru menjadi Rakan KPDNHEP iaitu menjadi mata dan telinga kepada KPDNHEP. Guru juga adalah golongan penguna.

Di samping itu kerjasama serupa wajar digembleng dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat setempat dan individu yang berminat. Satu kempen berterusan untuk meningkatkan kesedaran rakyat juga wajar dibentuk dan diteruskan dan segala usaha yang berkaitan dengan pembentukan Rakan KPDNHEP atau seumpamanya wajar diperkemas dan direalisasikan agar masyarakat pengguna tidak terus menjadi mangsa kerakusan peniaga.

Pengguna sendiri perlu menggunakan kuasa beli yang ada di tangan mereka dengan bijak. Tindakan seperti memboikot barang yang dinaikkan harga ataupun membelinya pada kadar minimum mampu memaksa peniaga menurunkan harga barang terutamanya untuk barang-barang yang mudah rosak atau berjangka hayat pendek. Namun demikian kesan ini akan hanya dapat dirasai oleh peniaga jika pengguna bekerjasama dan bergerak secara kolektif.

Pada dasarnya usaha ini masih memerlukan penyelarasan kerana masyarakat pengguna masih belum begitu terdedah kepada pendekatan ini. Oleh itu NGOs berkaitan boleh memainkan peranan tersebut. Dengan kata lain hanya pengguna sahaja yang mampu mengubah keadaan itu. Setinggi mana komitmen KPDNHEP membuat penguatkusaan tidak akan dapat memberi impak yang besar kepada gejala rompakan di siang hari ini.

Gunakanlah kuasa membeli yang dimiliki sebaik-baiknya. Jika ini dapat dilakukan maka kesan daripada kenaikan gaji kakitangan awam yang majoritinya bumiputera akan dapat memberi impak lebih besar kepada mereka khususnya dan rakyat amnya.

Tindakan Maybank Mesti Dipertahankan

Utusan Malaysia: 11.05.2007

KUALA LUMPUR 10 Mei – Ahli-ahli ekonomi, peguam dan tokoh politik Melayu hari ini meminta kerajaan mempertahankan tindakan Malayan Banking Bhd. (Maybank) mengenakan syarat pemilikan 50 peratus kepentingan bumiputera dalam firma-firma guaman yang mahu menjadi panel bank tersebut

Mereka berpendapat, langkah Maybank – bank perdagangan terbesar di negara ini – memperkenalkan dasar baru berkaitan firma-firma guaman adalah selari dengan polisi kerajaan untuk mengagihkan secara adil kekayaan negara, khususnya kepada kaum bumiputera yang masih jauh ketinggalan dalam bidang ekonomi berbanding kaum lain.

Menurut mereka, kerajaan perlu menghargai langkah Maybank kerana apa yang dilakukan itu membuka banyak peluang kepada firma-firma guaman bumiputera untuk terlibat secara langsung dalam pembangunan ekonomi negara.

Seorang ahli ekonomi, Haim Hilman Abdullah berkata, Maybank sebenarnya telah melaksanakan tanggungjawab sosial korporat terhadap kaum bumiputera di negara ini dengan memperkenalkan syarat-syarat baru berkaitan firma-firma guaman.

Katanya, semua pihak harus menyokong langkah berkenaan kerana Maybank bersedia memberi peluang kepada firma-firma bumiputera tanpa disuruh.“Mengapakah kita tidak sama-sama mempertahankan langkah ini?

“Pada pendapat saya, firma-firma guaman yang tidak memenuhi syarat yang Maybank tetapkan itu mempunyai banyak pilihan untuk membuat urus niaga dengan bank-bank lain yang tidak mengenakan syarat yang Maybank tetapkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini yang menyebut bahawa Jemaah Menteri telah meminta Maybank supaya memansuhkan syarat pemilikan 50 peratus bumiputera ke atas firma-firma guaman yang ingin menjalankan urus niaga dengan bank itu.

Beberapa buah akhbar memetik sumber peringkat tertinggi sebagai berkata, arahan Kabinet itu dibuat kerana syarat yang dikenakan oleh Maybank itu bukan dasar kerajaan.

Laporan itu juga memetik sumber tersebut sebagai berkata bahawa Kementerian Kewangan juga tidak pernah mengarahkan Maybank untuk melaksanakan peraturan tersebut.

Mengulas lanjut isu itu, Haim Hilman berkata, dasar Maybank berkaitan ekuiti bumiputera dalam firma-firma guaman itu adalah ‘amat pragmatik‘”’ pada masa ini memandangkan orang Melayu memang belum mampu bersaing.

“Jika kita bersungguh-sungguh mempertahankan kepentingan bumiputera dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat, apakah bezanya dalam isu ini?” tanya beliau.

Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Asan Ali Gulam pula berkata, langkah Maybank itu akan membantu usaha kerajaan meningkatkan penglibatan bumiputera sebanyak 30 peratus dalam ekonomi negara serta menjadikan mereka masyarakat ekonomi dan perindustrian.

“Kabinet sepatutnya menggalakkan bank lain mengikuti langkah Maybank dan tidak melihat syarat itu sebagai diskriminasi kepada kaum lain. Maybank syarikat milik kerajaan. Jika orang lain lihat tindakan itu bertentangan dengan dasar kerajaan, saya pula melihat apa yang dilakukan oleh bank itu adalah sebaliknya,” kata beliau.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur (DPMKL), Datuk Syed Amin Aljeffri pula mahu tindakan bank itu dilihat dalam ‘wajah’ Malaysia kerana ramai kakitangan yang berkhidmat dalam firma guaman Melayu adalah peguam kaum Cina.

Katanya: “Jika tindakan Maybank dianggap diskriminasi kaum, bagaimana pula tindakan sesetengah syarikat yang siarkan iklan pekerjaan mengutamakan mereka yang fasih berbahasa Mandarin sahaja untuk menghadiri temu duga.”

Pemangku Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menegaskan, tindakan mengekalkan kuota 50 peratus ekuiti bumiputera bagi firma guaman yang ingin berurusan dengan Maybank dibuat bukan untuk menguasai ekonomi.

‘‘Kita mahu wujud keseimbangan dalam ekonomi, bukannya hendak menguasai. Dasar itu tidak jejaskan orang lain kerana semua kaum dapat peluang yang sama,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Johor, Razali Ibrahim menjelaskan, setelah berlaku eksais penggabungan bank di negara ini, bantuan kepada bumiputera, termasuk kepada firma guaman, semakin berkurangan.

Dalam konteks ini, beliau menyokong dasar Maybank itu. “Bank itu merasakan penglibatan bumiputera amat diperlukan,” kata Ahli Parlimen Muar itu.

Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia, Datin Paduka Zaitoon Othman pula mengingatkan semua pihak supaya tidak menjadikan isu itu kontroversi.

Beliau berkata, firma guaman bukan bumiputera tidak perlu bimbang dengan perkembangan itu memandangkan kebanyakan bank lain di Malaysia tidak mengenakan syarat-syarat seumpama itu.

‘‘Syarat itu tidak bermaksud firma bukan bumiputera tidak boleh menawarkan khidmat kepada Maybank, cuma mereka perlu memastikan ada 50 peratus ekuiti bumiputera dalam firma mereka,” katanya.

Menurut Zaitoon, selama ini firma guaman bumiputera khususnya yang bersaiz kecil sukar untuk mendapatkan pelanggan yang terdiri daripada badan-badan korporat besar.

Sekurang-kurangnya, kata beliau, langkah yang diambil oleh Maybank itu memberi harapan baru kepada firma guaman bumiputera untuk terus berkembang.

‘‘Tolong jangan perlekeh usaha Maybank ini,’’ katanya.

Sementara itu, kajian semula Maybank ke atas kriteria pelantikan panel guamannya yang berkuat kuasa pada 1 Julai ini tidak membuat sebarang perubahan berhubung syarat pemilikan 50 peratus kepentingan bumiputera dalam firma-firma guaman yang ingin menjadi panel bank tersebut.

Utusan Malaysia juga difahamkan bahawa satu memorandum telah dihantar kepada semua panel peguam Maybank bagi memaklumkan kepada mereka mengenai perubahan kriteria pelantikan panel guaman bank itu.

Memorandum itu juga mengingatkan panel peguam Maybank supaya mematuhi kriteria baru itu dalam permohonan mereka untuk menjadi panel guaman berkuat kuasa 1 Julai ini.

Antara kriteria baru itu ialah firma guaman yang mahu menjadi panel Maybank mesti memiliki minimum tiga rakan kongsi dengan sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi bumiputera menguasai 50 peratus ekuiti dalam perkongsian itu dan firma tersebut telah beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun. Kegagalan memenuhi kriteria itu akan menyebabkan Maybank boleh mengambil tindakan termasuk menamatkan perkhidmatan firma guaman terbabit.

Menilai Kekukuhan Ekonomi Negara

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 15.02.2007

KEJAYAAN Malaysia mencatatkan jumlah dagangan melepasi paras RM1 trilion pada tahun lepas adalah petunjuk utama kepada pemulihan ekonomi negara. Perkembangan positif ini pastinya mampu menarik lebih ramai pelabur asing pada masa depan. Namun demikian usaha harus terus digembleng agar kejayaan ini bukan sekadar dapat dipertahankan tetapi mampu dipertingkatkan iaitu ke tahap lebih membanggakan.

Untuk terus merangsang keyakinan pelabur asing dan tempatan agar menjadikan negara ini sebagai pusat pengembangan perniagaan pastinya memerlukan komitmen yang tinggi dari kerajaan dan agensi-agensinya yang berperanan secara langsung.

Pada dasarnya jumlah dagangan negara pada 2006 yang mencecah RM1.069 trilion iaitu kenaikan sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya atau secara khususnya nilai eksport pada RM588.949 bilion dan import RM480 bilion hingga 493 bilion adalah tidak mustahil untuk ditingkatkan lagi jika sistem penyampaian sedia ada dapat dipertingkatkan ke tahap lebih efisien.

Peluang yang wujud di pasaran ASEAN sahaja sudah cukup besar dan sewajar dieksploitasi semaksimum mungkin kerana geopolitik, sosiobudaya dan iklim perdagangan negara-negara tersebut hampir sama dengan Malaysia.

Dengan kata lain tidak sukar untuk mereka mengetahui persekitaran perdagangan dan keperluan di negara-negara tersebut. Pelabur tempatan diharap akan menjadi lebih agresif dan kompetitif dalam segala aspek jika mereka benar-benar mahu mengungguli pasaran ini.

Di samping itu industri kecil dan sederhana harus dibawa bersama dalam arus ini. Ini kerana fokus mereka yang terlalu mengkhusus kepada pasaran domestik wajar diubah dan diharap agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dari pelbagai kementerian dapat bekerjasama dengan lebih erat agar langkah lebih holistik dan komprehensif dapat dibentuk semasa membantu mereka.

Sesungguhnya itulah tuntutan semasa jika Malaysia ingin mengukuhkan lagi dagangannya untuk tahun ini walaupun kadar pertumbuhan ekonomi dunia dan perdagangan global untuk tahun 2007 ini dijangkakan berkembang pada tahap sederhana.

Jangkaan Bank Dunia, ekonomi dunia akan meningkat pada kadar 3.2 peratus sahaja pada tahun ini berbanding 3.9 peratus tahun lalu di samping perdagangan dunia yang diramal berkembang secara sederhana pada kadar 7.5 peratus berbanding 9.7 peratus tahun sebelumnya tidak seharusnya menjadikan pelabur tempatan mengambil langkah terlalu berhati-hati.

Ini kerana tindakan sedemikian akan hanya melembapkan lagi ekonomi negara dan kadar pertumbuhan ekonomi pada 5.9 peratus seperti diunjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) pasti tidak akan dapat direalisasikan.

Namun demikian, dalam kerancakan negara membangunkan ekonomi, sektor pertanian masih lagi belum mampu menjadi penyumbang utama kepada imbangan dagangan negara.

Seperti yang dilaporkan negara mengalami defisit RM17 bilion dalam sektor ini. Defisit ini adalah disebabkan oleh kegagalan negara menyaingi kadar keluaran, kualiti dan harga yang ditawarkan oleh negara asing yang mana produk pertanian mereka hampir menguasai keseluruhan pasaran negara.

Sesungguhnya satu mekanisme yang lebih komprehensif dalam melaksanakan dasar pertanian negara harus dibentuk dan diharap imbangan dagangan kepada RM1.2 bilion menjelang 2010 dapat dihampiri jika tidak dicapai sekalipun. Walaupun demikian usaha kerajaan membentuk persekitaran ekonomi yang positif bukan sahaja berjaya meningkatkan jumlah dagangan negara tetapi keyakinan pengurus dana asing dan tempatan melabur di pasaran ekuiti negara.

Kembalinya pelabur asing ke pasaran ekuiti negara adalah petunjuk paling jelas akan kemapanan ekonomi negara. Krisis dalaman di beberapa negara ASEAN pastinya turut menjadi penyebab kepada kecenderungan pelabur asing memilih Malaysia sebagai destinasi baru mereka dan kesempatan ini harus direbut oleh Malaysia sebaik-baiknya.

Pasaran ekuiti negara pada tahun ini telah merekodkan aliran menaik dan indeks dijangka terus kekal di atas paras 1,220.

Perkembangan ini adalah disebabkan oleh persekitaran pasaran yang positif di samping sokongan daripada projek- projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan dilaksanakan.

Namun demikian trend semasa pelaburan di pasaran ekuiti negara yang masih dipacu secara keseluruhannya oleh dana asing diharap akan disokong oleh pelabur dana tempatan dan peruncit dalam masa terdekat kerana kombinasi sedemikian akan merancakkan lagi pasaran ekuiti itu khususnya dan ekonomi negara amnya.

Petunjuk seterusnya yang boleh digunakan untuk menilai kekukuhan ekonomi negara ialah peningkatan nilai ringgit. Kekukuhan ringgit pada kadar RM3.35 berbanding 1 dolar AS untuk tahun ini dan dijangkakan akan terus mengukuh pada tahun hadapan. Jika trend ini berterusan maka negara dijangka akan dapat mengurangkan kerugian mata wang yang dialami semasa krisis kewangan serantau pada 1997 yang mana pada ketika itu nilai ringgit ditambat kepada RM3.80 bagi setiap 1 dolar AS berbanding sekitar RM2.50 bagi setiap dolar sebelumnya.

Secara khususnya faktor-faktor utama yang menyebabkan kenaikan ringgit adalah disebabkan oleh kedatangan para pelabur asing ke pasaran ekuiti tempatan terutamanya di kalangan mereka yang keluar dari pasaran ekuiti Thailand.

Ini adalah ekoran daripada krisis politik di negara jiran itu, kejayaan mencatatkan lebihan dagangan, kejatuhan harga minyak mentah dunia dan kejatuhan nilai dolar AS di samping pelaksanaan projek-projek mega dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Adalah dijangkakan bahawa peningkatan nilai ringgit ini akan turut memberi kesan positif kepada akaun semasa dan akaun modal negara.

Dalam konteks perdagangan pula, para pengimport barangan yang menjalankan urus niaga dalam dolar AS adalah pihak yang akan mendapat manfaat semasa akibat daripada kekukuhan ringgit ini kerana mereka boleh membeli barang pada jumlah yang sama seperti sebelumnya dengan kadar lebih rendah.

Di samping itu para pengguna juga akan merasai kesan positif tersebut kerana pada amnya harga barangan import akan menjadi lebih rendah. Namun demikian pengukuhan ringgit sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada para pengeksport tempatan yang menjalankan urus niaga dalam mata wang AS itu.

Desakan Gantung Rundingan FTA Taktik Kotor AS

Utusan Malaysia: 02.02.2007

KUALA LUMPUR 1 Feb. – Tindakan anggota Senat Amerika Syarikat (AS) mendesak kerajaan negara itu menangguhkan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Malaysia merupakan taktik kotor bagi menjayakan kepentingan mereka.

Beberapa tokoh ekonomi negara berkata, desakan yang dibuat oleh Ahli Kongres AS, Tom Lantos itu merupakan helah yang biasa digunakan oleh AS untuk mengenakan tekanan ke atas negara-negara yang mengadakan rundingan dengan mereka.

Pengerusi Transparency Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, desakan AS itu memang sudah diduga kerana ia adalah ‘permainan’ negara tersebut selama ini.

“Inilah sebenarnya ‘rupa’ AS, kalau mereka sukar mendapatkan segala kemahuannya, ancaman dan tekanan sebegini akan digunakan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Navaratnam berkata, beliau tidak nampak sebarang alasan mengapa Malaysia dihalang untuk berurus niaga dengan Iran, sedangkan AS sendiri sering mendakwa mereka mengamalkan dasar terbuka dalam perdagangan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Lantos supaya kerajaan George W. Bush menggantung rundingan FTA dengan Malaysia kerana sokongan lantang negara ini terhadap program nuklear Iran serta urus niaga yang terjalin antara Malaysia dan Iran dalam pembekalan tenaga.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah pula berkata, kerajaan tidak perlu melatah menghadapi situasi ini kerana Malaysia adalah negara berdaulat dan memiliki integriti.

Lagipun, katanya, perdagangan antara Malaysia dan Iran tidak bercanggah dengan prinsip negara ini dan negara lain tidak seharusnya campur tangan dalam hal ehwal Malaysia.

“Saya sebenarnya melihat desakan ini dibuat kerana AS semakin tertekan untuk mendapatkan apa yang dikehendakinya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau menggesa Malaysia memperluaskan rundingan dagangannya dengan negara-negara maju yang lain supaya tidak dilihat terlalu bergantung kepada AS.

Presiden Persekutuan Syarikat-Syarikat Tersenarai Awam, Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas pula berpendapat, Malaysia sebenarnya tidak akan mengalami kerugian sekiranya rundingan FTA AS-Malaysia dibatalkan.

Beliau berkata, memang tidak dinafikan negara itu merupakan pengimport terbesar barangan Malaysia, tetapi kebanyakan barangan itu adalah barangan keluaran syarikat-syarikat milik mereka yang beroperasi di negara ini.

FTA: Ke Mana Hala Tuju Malaysia?

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 13.01.2007

KAWASAN Perdagangan Bebas (FTA) terbentuk menerusi kerjasama antara dua atau lebih negara yang pada dasarnya bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang tarif atau mengurangkan tarif ke atas semua produk ataupun sejumlah produk yang diperdagangkan di antara negara-negara terbabit.

Malaysia adalah antara negara yang aktif membentuk kerjasama seperti ini. Setakat hari ini Malaysia telah melaksanakan empat pendekatan untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam perdagangan dunia iaitu:

Menerusi kerjasama ekonomi-politik serantau - Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)

Menerusi blok dagangan serantau - Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)

Menerusi kerjasama perdagangan pelbagai hala di peringkat global - Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

Menerusi perjanjian dua hala - FTA.

Rundingan-rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi negara, menteri-menteri perdagangan antarabangsa dan industri, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan di antara negara-negara terbabit masih berlangsung dan harus diteruskan dari semasa ke semasa. Usaha ini wajar menjadi agenda semua pihak dan keadilan untuk semua harus menjadi asas utamanya. Dengan kata lain kesanggupan negara terbabit untuk merealisasikan konsep menang-menang pasti mewujudkan iklim perdagangan yang lebih sihat dan harmoni suatu hari nanti.

Namun demikian adalah diakui akan kesukaran untuk mewujudkan dan menggerakkan blok-blok dagangan yang berteraskan kesatuan seperti NAM dan OIC, serantau -ASEAN-AFTA, dan pelbagai hala - WTO secara menyeluruh kerana kebanyakan negara terbabit lebih terikat dengan mentaliti mementingkan diri sendiri.

Secara amnya selagi kecenderungan ini masih menebal di kalangan negara terbabit maka selagi itulah sukar untuk membentuk satu kawasan perdagangan yang bebas dan adil. Dengan kata lain program pengintegrasian ekonomi perlu disokong dengan program pengintegrasian dan pemahaman sosio dan budaya negara-negara yang terbabit juga.

Di atas kesukaran itu jugalah buat masa ini Malaysia mengambil langkah membentuk FTA dua hala iaitu dengan negara-negara tertentu sejajar dengan kepentingan ekonominya. Pada dasarnya pendekatan ini lebih berkesan dan mudah dilaksanakan. Sehingga kini Malaysia telah dan sedang merancang untuk melaksanakan perjanjian perdagangan dua hala FTA dengan Pakistan, Jepun, Chile, dan Amerika Syarikat (AS). Manakala melalui ASEAN, Malaysia sedang merundingkan FTA dengan Korea, Australia, New Zealand, China dan India.

Namun demikian Malaysia amat optimis bahawa kerjasama ini kemudiannya akan membawa kepada penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA) yang dibentuk daripada satu jaringan beberapa FTA yang lebih kecil termasuk ASEAN-China FTA, ASEAN-Jepun FTA, ASEAN-Korea FTA, Jepun-China FTA, Jepun-Korea FTA dan China-Korea FTA.


Globalisasi

East Asia Summit (EAS) turut diharap mampu menjadi landasan yang lebih berkesan dalam membincangkan sesuatu perkara mengenai kepentingan ASEAN dan negara-negara Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea Selatan terutamanya dalam sektor perdagangan. Ini sekali gus diharap dapat mewujudkan pakatan yang lebih mantap bagi menghadapi cabaran globalisasi.

Produk-produk yang menjadi tumpuan perbincangan untuk setiap bentuk kerjasama FTA itu adalah berbeza-beza. Antara produk-produk yang sering dibincangkan oleh Malaysia dalam pembentukan FTAnya dengan negara tertentu ialah produk berasaskan pertanian, telekomunikasi, kewangan hak paten, kelengkapan elektrik, minyak sawit, peralatan optik dan instrumen, perubatan, perhutanan, penternakan haiwan dan perikanan, hartanah, borong dan peruncitan di samping berbagai-bagai produk lagi.

Namun demikian jika rundingan itu menggunakan kaedah blok perdagangan serantau seperti ASEAN FTA maka produk-produk yang dibincangkan dalam rundingan tersebut adalah berteraskan produk-produk yang dikeluarkan oleh negara-negara ASEAN itu.

Di samping itu perjanjian sepenting pembentukan FTA ini pastinya mengambil kira segala aspek kerana implikasinya bukan sahaja dapat dilihat dari sudut ekonomi tetapi politik dan juga sosial. Oleh itu kepentingan-kepentingan golongan tertentu seperti petani yang masih dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah akan sentiasa dilindungi. Isu beras yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan akan berlaku lambakan beras dari AS di pasaran negara adalah tidak berasas sama sekali. Ini kerana beras tidak pernah disenaraikan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara. Apa yang berlaku harus menjadi pengajaran kepada semua supaya perlunya perkongsian maklumat dilakukan secara menyeluruh. Penggunaan media elektronik dan cetak untuk menyebar maklumat terus kepada rakyat harus terus ditingkatkan.

Pelaksanaan FTA bergantung kepada apa yang termaktub dalam sesebuah perjanjian itu. Apabila termeterainya sesebuah FTA itu maka segala polisi perdagangan terdahulu terhadap produk-produk yang tersenarai dalam FTA akan terbatal. Namun demikian pembentukan FTA itu selalunya mengambil masa yang lama untuk dimeterai dan puncanya adalah jelas iaitu terlalu banyak aspek yang harus dihalusi. Sebagai contoh hasil rundingan FTA di antara Malaysia dan AS akan hanya dimeterai pada 2010. Pada dasarnya lebih kompleks dan rumit faktor yang dirundingkan itu maka lebih lamalah masa yang diperlukan.

Senario sikap berhati-hati ini dapat dilihat dengan jelas dalam konteks ASEAN sendiri kerana masih terdapat negara-negara yang masih belum membuat komitmen terhadap Kawasan Dagangan Bebas ASEAN (AFTA). ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Kurangnya semangat ASEAN yang tinggi dalam aspek keterbukaan ekonomi harus diatasi dengan segera kerana cepat atau lambat ASEAN perlu bergerak sebagai satu entiti jika ia ingin terus menjaga kebajikan negara anggotanya dan rantau ini.

Produk
Adalah jelas bahawa FTA yang berjaya akan memudahkan perdagangan dan pelaburan serta melancarkan aktiviti eksport negara terbabit. Malaysia sebagai contohnya akan mempunyai hubungan perdagangan lebih baik dengan AS apabila FTA dengan negara berkenaan dimeterai pada 2010. Dengan kata lain produk-produk Malaysia akan lebih mudah memasuki pasaran negara itu berbanding para pesaingnya yang tidak mempunyai hubungan FTA dengan negara terbabit.

FTA harus dilihat lebih kepada usaha membuka pasaran dan menurunkan ataupun menghapuskan tarif sahaja tetapi hendaklah secara lebih menyeluruh. Di sinilah perlunya agensi yang terlibat secara langsung dalam pembentukan FTA secara khususnya memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan lagi dalam mendidik masyarakat tentang apa itu FTA dan implikasinya kepada negara, bangsa dan individu itu sendiri.

Kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dari berbagai latar belakang dan pertubuhan bukan kerajaan wajar dibentuk kerana pendekatan sedemikian akan mempercepatkan proses pemahaman rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat terhadap isu ini.

Rakyat harus diberi kefahaman sebaiknya tentang perlunya mereka meningkatkan daya produktiviti dan kualiti iaitu sehingga mampu bersaing secara terbuka dalam FTA yang dibentuk. Rakyat wajar melihat FTA sebagai satu peluang besar untuk mereka menjadi pemimpin atau pemain utama dalam sesuatu industri itu. Program-program pengkomersialan berkapasiti tinggi dan bermutu tinggi harus dijadikan budaya.

Mentaliti kerajaan akan terus melindungi sektor tertentu membuatkan mereka yang berada dalam sektor itu terus berasa selesa dan berkemungkinan tidak mahu memajukan diri ke tahap tertinggi. Sektor pengeluaran beras umpamanya yang mendapat perlindungan kerajaan dalam semua rundingan FTAnya harus melihat perlindungan itu sebagai satu kelemahan dan bukannya kelebihan.

Sifat tidak mahukan perlindungan istimewa pada setiap masa wajar dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Rakyat dan negara harus merenung apakah corak pertanian negara yang ingin dibangunkan untuk 100 tahun akan datang. Jika jawapannya negara mahukan warga tani berilmu dan berdaya saing hingga ke tahap global maka usaha itu harus digembleng dari hari ini dan di usia muda. Begitulah juga dengan sektor-sektor lain.

FTA bukanlah satu perkara yang menakutkan sekiranya seluruh rakyat Malaysia tahu peranan mereka. Kerajaan sewajarnya terus melindungi sektor-sektor yang masih lemah tetapi usaha berterusan dan secara komprehensif untuk memajukan sektor terbabit harus dikenal pasti dan dilaksanakan. Lihatlah FTA sebagai peluang dan bukannya ancaman. FTA itu wajar dilihat bukan hanya terbatas untuk tujuan mengeksport produk keluaran negara iaitu ke negara kerjasamanya tetapi kesempatan untuk syarikat-syarikat dari negara ini mengembangkan perniagaan mereka dan melabur di negara terbabit.

Oleh itu semua golongan perlulah bersifat optimis dan bukannya mengambil kesempatan untuk mengucar-ngacirkan keadaan terhadap segala usaha kerajaan dalam membentuk dan merealisasikan FTA dengan negara-negara maju seperti AS, Eropah, Jepun, Korea Selatan dan kuasa ekonomi dunia yang baru seperti China dan India.

Friday, November 21, 2008

Bersama Membendung Inflasi

Oleh: HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 24.10.2006

PADA umumnya inflasi bermakna “kenaikan harga yang berterusan dalam tingkat harga umum”. Harga umum itu merujuk kepada harga yang menggambarkan paras harga bagi keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi di sesebuah negara pada sesuatu masa tertentu.

Oleh kerana terlalu banyak bilangan barangan dan perkhidmatan yang ada pada sesuatu masa itu maka satu kaedah telah dibentuk untuk mengukur paras harga umum tersebut. Kaedah itu menggunakan pendekatan mengambil sebilangan barangan dan perkhidmatan di pasaran dan menjadikannya wakil kepada keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi itu. Kaedah ini jugalah yang digunakan di Malaysia dan harga barangan serta perkhidmatan tersebut diukur dan ia dipanggil sebagai Indeks Harga Pengguna (IHP).

IHP diukur dengan cara membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga bagi tahun semasa. Menerusi perbandingan inilah inflasi dapat dikenal pasti. Dengan kata lain kadar inflasi adalah peratus perubahan paras harga IHP barangan dan perkhidmatan tahun semasa berbanding tahun asas.

Peningkatan inflasi akan berlaku apabila paras harga umum terus meningkat secara berterusan dalam satu-satu tempoh masa. Sesuatu kenaikan harga yang bersifat sementara seperti kenaikan harga barang atau perkhidmatan akibat daripada faktor bencana alam atau kenaikan harga kerana dasar kerajaan seperti menaikkan kadar cukai barangan tertentu contohnya tidak dianggap sebagai inflasi kerana kenaikan harga sedemikian hanya berlaku sekali sahaja. Tetapi kenaikan harga minyak secara berterusan adalah contoh terbaik untuk mengilustrasikan faktor penyebab berlakunya kenaikan kadar inflasi.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, kadar semasa IHP negara pada Julai ialah 4.1 peratus berbanding 3.9 peratus pada Jun. Beliau menjangkakan kadar inflasi negara pula akan berada di bawah paras 3 peratus tahun depan berbanding 3.8 peratus pada masa ini.

Pergerakan positif penurunan kadar inflasi ini banyak disumbangkan oleh persekitaran pasaran harga minyak mentah dunia yang jatuh pada pertengahan tahun ini iaitu ke paras sekitar AS$60 setong berbanding hampir AS$80. Di samping itu pertumbuhan ekonomi global yang dijangka berkembang pada kadar sederhana dijangka turut mampu membendung tekanan inflasi untuk masa terdekat.

Usaha mengekang kenaikan kadar inflasi bukanlah tanggungjawab BNM semata-mata kerana usaha tersebut tidak akan berjaya jika tidak disokong oleh masyarakat pengguna. Kadar kenaikan harga yang tidak terkawal pasti akan memburukkan lagi kadar inflasi dan tidak mustahil mampu melumpuhkan ekonomi sesebuah negara itu. Ekonomi yang lumpuh pastinya akan membawa kepada permasalahan sosial yang serius dan akhirnya boleh menggugat kestabilan politik dan kerajaan.

Meningkatnya kadar inflasi bermakna meningkatlah kos sara hidup rakyat dan secara langsung akan menurunkan taraf hidup mereka. Asas utama kepada tuntutan kenaikan gaji yang diperjuangkan oleh kesatuan sekerja seperti Cuepacs dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sektor perkhidmatan awam/ berkanun ataupun swasta (mereka yang berpendapatan tetap) adalah kerana peningkatan kos sara hidup tersebut. Adalah jelas untuk dilihat hari ini bahawa kadar harga barang atau perkhidmatan yang sama yang pernah diperoleh dahulu telah meningkat naik. Ini bermakna kuasa beli untuk jumlah ringgit yang sama telah menjadi semakin kecil.

Jika dilihat dari sudut makro pula, kadar inflasi tinggi akan mengurangkan daya saing sesebuah negara. Secara khususnya ia akan menyebabkan syarikat menanggung peningkatan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan dihasilkan. Kesan negatif tersebut akan lebih dirasai oleh syarikat berorientasikan eksport. Jika ini berterusan ia mampu menyumbang kepada penurunan minat pelabur tempatan dan asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia bagi September 2006, kadar pertumbuhan ekonomi global diramalkan mengalami penurunan daripada 5.1 peratus pada tahun ini kepada 4.9 peratus pada tahun 2007. Beberapa pemerhati ekonomi tempatan pula menjangkakan kadar yang lebih perlahan lagi iaitu 4.7 peratus berbanding 4.9 peratus tersebut ekoran daripada kesan kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik di beberapa negara.

Kini telah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memastikan kadar inflasi dapat dikawal dan diturunkan lagi dan akhirnya mencapai tahap inflasi sifar. Secara umumnya, inflasi boleh disebabkan oleh mana-mana satu daripada faktor-faktor ataupun kombinasi faktor-faktor seperti inflasi tolakan kos, tarikan permintaan dan inflasi yang diimport.

Untuk membendung inflasi tolakan kos, warga perniagaan iaitu pengeluar perlu memastikan tahap keefisienan operasi mereka berada di tahap tertinggi. Peningkatan kos upah sebagai contohnya pasti akan menurunkan kadar keuntungan mereka dan antara langkah popular yang sering diambil oleh syarikat untuk terus mengekalkan kadar keuntungan mereka ialah menaikkan harga barang. Apabila ini berlaku maka tingkat harga umum akan meningkat dan penyusutan nilai ringgit akan terus berlaku atau dengan kata lain kadar inflasi akan meningkat naik lagi.

Di samping itu pengeluar juga perlu bijak menjangkakan kadar permintaan dan penawaran barangan dan perkhidmatan mereka di pasaran. Kemampuan membuat jangkaan tepat penawaran dan permintaan mampu mengekang kenaikan kadar inflasi. Inflasi berlaku apabila terjadi peningkatan mendadak permintaan berbanding penawaran barangan dan perkhidmatan di pasaran pada sesuatu masa tertentu di sesebuah negara itu. Keadaan ini selalu juga berlaku apabila ekonomi sesebuah negara itu berada pada tingkat guna tenaga penuh.

Inflasi juga boleh wujud akibat daripada aktiviti import. Keadaan ini boleh berlaku apabila rakyat cenderung membeli barangan import. Kesannya dapat dilihat dengan ketara apabila berlaku peningkatan harga barangan akibat daripada peningkatan kos pengeluaran di negara pengeluar (asing) tersebut. Di samping itu kadar pertukaran wang di antara negara terlibat dan boleh juga menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi. Sebagai contoh jika nilai tukaran ringgit jauh lebih rendah berbanding mata wang asing (negara pembekal) maka semakin tinggilah harga yang terpaksa dibayar oleh pengguna untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang diimport itu.

Langkah-langkah mewujudkan persekitaran pasaran terkawal amat perlu dan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) mengawal barangan tertentu dengan penetapan harga minimum dan siling sebagai contohnya adalah tepat pada masanya. Langkah ini pada dasarnya mampu membendung inflasi dari perspektif ini iaitu lebih dipengaruhi oleh faktor jangkaan pengguna.

Usaha harus digembleng agar pengguna tidak membuat jangkaan yang harga akan naik pada masa hadapan. Ini adalah perlu kerana jika mereka mula panik maka senario krisis gula yang berlaku baru-baru ini akan berulang dan tidak mustahil berlaku ke atas barangan atau perkhidmatan lain. Dengan kata lain inflasi akan meningkat apabila pengguna berbelanja secara ‘luar biasa’ akibat daripada andaian bahawa barangan akan kehabisan stok dan keadaan ini sering kali akan digunakan oleh pengeluar untuk meraih keuntungan berganda dengan meningkatkan harga barang atau perkhidmatan yang ditawarkan itu sesuka hati mereka.

Pendekatan semasa negara menerusi BNM iaitu mengamalkan Dasar Kewangan yang ketat dijangka mampu mengurangkan pertumbuhan penawaran wang di pasaran. Di samping itu kaedah penetapan kadar faedah pinjaman berorientasikan keadaan semasa dijangka turut mampu mewujudkan perbelanjaan awam terkawal terutamanya yang berorientasikan pinjaman.

Selain itu dasar fiskal iaitu termasuk pengawalan cukai bagi barangan seperti makanan, barang-barang elektrik, elektronik dan barang-barang isi rumah dijangka mampu menyumbang ke arah pengawalan kadar inflasi. Usaha-usaha kerajaan menggalakkan persaingan sihat antara industri agar mencapai tahap penghasilan produktiviti tertinggi, pemodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk harus terus disokong oleh warga perniagaan.

Dengan kata lain semua aspek yang menyumbang kepada peningkatan kos seperti sistem pengangkutan dan penghasilan bekalan makanan negara sebagai contohnya harus dipastikan berada pada tahap kecekapan maksimum.

Secara keseluruhannya usaha membendung inflasi ini adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia. Kempen antiinflasi ataupun inflasi sifar harus dirancakkan semula sehingga ia mampu menjadi isu utama semua pihak di setiap lapisan masyarakat.

Kempen-kempen ke arah mewujudkan persekitaran inflasi sifar yang telah diasaskan oleh kerajaan untuk membentuk pemikiran masyarakat pengguna yang mampu menyumbang kepada pembanterasan inflasi harus terus digembleng.

Langkah-langkah ke arah menggalakkan rakyat membeli barang buatan Malaysia, merancang pembelian, membeli barang keperluan sahaja, membudayakan sifat berjimat cermat, meminimumkan pembelian menggunakan kad kredit, menghapuskan amalan pencatuan di kalangan peniaga di samping terus berusaha membentuk imej pengguna bijaksana harus dipertingkat dari semasa ke semasa.

Galakan dan Pembelaan

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 4.9.2006

PEMBENTANGAN Bajet 2007 menyerlahkan komitmen kerajaan merealisasikan Wawasan 2020. Secara keseluruhannya ia bersifat holistik dan pragmatik sejajar dengan perkembangan ekonomi dunia yang dijangka sederhana pada tahun depan di samping keadaan geopolitik antarabangsa yang tidak menentu.

Peruntukan sebanyak RM159.4 bilion berbanding RM136.8 bilion untuk Bajet tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak RM26.78 peratus jelas menunjukkan kekukuhan kewangan dan komitmen kerajaan memahami harapan rakyat di samping usaha merealisasikan Wawasan 2020.

Modal insan adalah antara fokus utama kerajaan dalam Bajet 2007. Hasrat kerajaan melahirkan masyarakat berilmu harus disahut oleh rakyat di setiap lapisan masyarakat dengan penuh rasa tanggungjawab. Setiap individu, ibu bapa, guru, pemimpin masyarakat, kakitangan kerajaan ataupun mereka di sektor perniagaan perlu menjadikan diri mereka sebagai ejen penajaan modal insan berkualiti tinggi.

Usaha ini perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama. Peruntukan berjumlah RM33.4 bilion untuk tujuan ini tidak akan membuahkan hasil seperti yang diharapkan jika rakyat di setiap lapisan masyarakat masih tidak tahu peranan mereka.

Kesanggupan kerajaan menghapuskan yuran peperiksaan amat dihargai oleh seluruh rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah. Semoga penghapusan yuran tersebut akan menjadikan ibu bapa lebih gigih untuk memberikan pendidikan terbaik di samping menjadikan kejayaan akademik dan kemuliaan akhlak anak-anak mereka sebagai kayu pengukur dalam menentukan kejayaan mereka dalam mendidik anak.

Secara khususnya usaha membangunkan pendidikan rendah dan menengah yang menerima peruntukan sebanyak RM12.9 bilion diharap mampu untuk terus memperkasa sistem pendidikan negara. Mungkin telah tiba masanya pendekatan menggunakan Key Performance Index untuk memastikan objektif yang disasarkan itu dapat dicapai.

Pendekatan serupa perlu dilaksanakan di institusi pengajian tinggi. Peruntukan berjumlah RM10.4 bilion diharap tidak terlalu memfokus kepada pembangunan fizikal sahaja tetapi wajar mengambil kira aspek pembangunan rohani secara serius.

Secara keseluruhannya 21 peratus daripada Bajet 2007 yang diperuntukan untuk pembangunan modal insan perlu dimaksimumkan manfaatnya. Sebarang ketirisan yang berlaku harus dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara. Jadikanlah usaha mencari peluang, kongsi peluang dan manfaat peluang itu sebagai satu budaya baru untuk seluruh rakyat Malaysia.

Mereka yang berada dalam sektor pertanian terus diberi keutamaan oleh Perdana Menteri dalam Bajet 2007 harus memanfaatkan peluang yang diberi sebaik mungkin. Peruntukan sebanyak RM3.6 bilion bagi tujuan meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengeluaran wajar dijadikan pemangkin kepada usaha melahirkan warga pertanian negara yang cekal, berilmu dan berwawasan.

Merangka

Dana yang dikeluarkan oleh kerajaan menerusi Bank Negara berjumlah RM400 juta untuk memajukan industri pertanian negara dan Khazanah Nasional sebanyak RM200 juta untuk modal teroka harus direbut secara sihat. Orang Melayu yang menjadi kelompok terbesar dalam sektor ini perlu bergerak pantas dalam merangka dan melaksana strategi untuk memperoleh setiap peluang yang ditawarkan.

Kerjasama pintar di antara para petani dengan agensi kerajaan, universiti dan pihak swasta wajar diwujudkan. Agensi-agensi kerajaan berorientasikan pertanian yang bekerjasama rapat dengan para petani selama ini mungkin boleh mempertingkatkan lagi peranan mereka dengan menjadi moderator dalam membantu petani membina jaringan strategik mereka dengan pihak swasta tempatan, serantau dan antarabangsa.

Hari ini telah tiba masanya masyarakat petani mempunyai fokus yang jelas tentang bidang yang ingin diceburi kerana pendekatan sedemikian akan meningkatkan bargaining power mereka di pasaran di samping mengukuhkan lagi potensi mereka untuk menguasai rantaian nilai ekonomi produk berkaitan. Jadikanlah budaya satu produk satu petani atau satu kampung satu produk itu sebagai budaya baru petani negara.

Pembinaan tiga hospital baru di Shah Alam (Selangor), Pendang (Kedah) dan Permai (Johor) yang bernilai RM125 juta dijangka mampu meningkatkan dan mengukuhkan lagi tahap kesihatan rakyat. Program-program pencegahan penyakit secara bersepadu harus dibentuk dari semasa ke semasa. Hari ini tahap kesedaran dan komitmen rakyat terhadap mencegah penyakit-penyakit yang boleh membawa maut masih rendah dan pastinya boleh dipertingkatkan.

Penurunan cukai korporat kepada 27 peratus pada 2006 dan 26 peratus pada 2007 diharap dapat menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaya saing untuk menarik pelabur asing melabur. Di samping itu ia diharap dapat meningkatkan lagi daya saing syarikat tempatan dalam mengukuhkan kedudukan mereka di pasaran tempatan, serantau dan antarabangsa.

Insentif seperti modal teroka yang diberi kepada syarikat yang membuat pelaburan minimum 50 peratus daripada dana pelaburan mereka akan menerima pelepasan cukai selama 10 tahun adalah satu langkah bijak yang diambil oleh kerajaan. Strategi ini dijangka mampu menarik minat pelabur menanam modal di Malaysia.

Di samping itu usaha kerajaan membina sumber ekonomi baru menerusi sektor bioteknologi harus dilihat sebagai peluang terbaik oleh semua warga perniagaan untuk terus berkembang. Peruntukan sebanyak RM120 juta untuk membangunkan sektor ini diharap dapat dimanfaatkan oleh orang Melayu.

Jadi bangsa yang bersedia untuk bersaing dalam merebut peluang dan jadikanlah sifat mahu meneroka bidang baru di samping ingin mendahului orang lain itu sebagai satu budaya. Sesungguhnya bidang ini amat baru kepada semua orang, oleh itu apa yang perlu dilakukan ialah pertingkat pengetahuan sepantas mungkin dan rebut peluang yang diciptakan oleh kerajaan.

Perbadanan Kemajuan Industri Halal yang bakal ditubuhkan untuk memajukan industri halal dan secara khususnya pembinaan Taman Halal di Pasir Mas, Gambang, Cendering, Padang Besar dengan peruntukan sebanyak RM50 juta tidak wajar dilepaskan oleh orang Islam begitu sahaja. Ini adalah satu peluang membina kekuatan ekonomi yang harus dipegang erat oleh orang Melayu. Perancangan dan pelaksanaan strategik perlu dibentuk segera di antara agensi terbabit dengan masyarakat melayu.

Pada dasarnya apa yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Jumaat lalu telah membuka lembaran baru kepada negara dalam mengejar Wawasan 2020. Begitu banyak insentif diberikan kepada rakyat jelata dan warga perniagaan bertujuan mengurangkan beban hidup mereka.

Jadikanlah diri sebagai aset paling berguna buat negara dalam bidang yang diceburi itu sebagai satu budaya baru rakyat Malaysia dan hindarilah daripada menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negaranya sendiri.

Di Mana Melayu Selepas 49 Tahun Merdeka

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 29.8.2006

TANGGAL 31 Ogos yang merupakan tarikh keramat bagi rakyat negara ini wajar menjadi peringatan kepada bangsa Melayu tentang kedudukan kita di bumi berdaulat ini.

Jika dilihat dari sudut ekonomi, ternyata pencapaian orang Melayu masih lemah jika dibandingkan dengan bangsa lain. Tiada jalan lain untuk mengatasinya melainkan orang Melayu itu sanggup melakukan jihad ekonomi.

Setiap mereka harus membina kekuatan ekonomi diri dan keluarga masing-masing. Kejayaan di peringkat inilah yang akan menyumbang kepada perkembangan pengukuhan ekonomi bangsa Melayu. Jadilah satu bangsa yang memerlukan satu peluang sahaja untuk membuktikan kemampuan diri dalam apa juga bidang yang diceburi. Buat usahawan Melayu pula jadikanlah perniagaan sebagai medan untuk memartabatkan bangsa.

Alangkah hinanya bangsa Melayu itu jika mereka (usahawan) yang dianggap penjana ekonomi Melayu terus gagal dalam perniagaan dan kegagalan itu disebabkan oleh kelemahan diri sendiri seperti keengganan untuk mengubah sikap. Mereka wajar menganggap kegagalan tersebut sebagai pengkhianatan kepada bangsa.

Begitu juga hakikat yang wajar dirasai oleh semua orang Melayu yang terus bergantung kepada bantuan kerajaan untuk mencatur kehidupan walaupun pada hakikatnya mereka berkemampuan untuk berdikari.

Mentaliti bahawa kerajaan akan membantu jika mereka susah yang telah lama bertapak harus dihakis segera kerana adalah menjadi satu keaiban besar buat orang Melayu jika mereka masih gagal untuk berjaya di kala bangsa lain terus maju walaupun tanpa bantuan pihak kerajaan.

Di samping itu orang Melayu janganlah jadi seperti enau di hutan yang melepaskan pucuk masing-masing. Kesanggupan untuk bekerjasama dengan bangsa lain atas alasan bangsa sendiri tidak berkebolehan adalah satu sikap yang akan membawa kemunduran bangsa sendiri. Adakah itu yang dimahukan oleh orang Melayu? Pastinya tidak. Berilah peluang kepada rakan sebangsa dan buat mereka yang diberi peluang jadikanlah ia sebagai pentas terbaik untuk membuktikan kemampuan.

Setelah 49 tahun merdeka, orang Melayu juga masih belum mampu menjadi bangsa ilmu. Masih sukar untuk melihat orang Melayu mendominasi bidang akademik. Berita-berita kejayaan anak Melayu masih jarang didengar dan jika ada, pasti akan dirayakan dengan penuh kemeriahan. Itulah bangsa Melayu, satu bangsa yang begitu dahagakan berita kejayaan anak bangsanya.

Kini mungkin telah tiba masanya untuk orang Melayu merenung di mana silapnya sehingga jumlahnya yang ramai masih belum mampu menjadikannya yang terbaik. Orang Melayu sebenarnya masih gagal untuk menjadi satu bangsa yang benar-benar hebat ilmunya.

Apakah puncanya? Adakah kerana kealpaan ibu bapa dalam merancang masa depan anaknya? Mungkin benar dakwaan itu kerana kebanyakan orang Melayu sememangnya boleh merancang dan berjimat cermat untuk membeli harta benda tetapi apa yang menyedihkan terlalu sedikit di antara mereka yang membuat perancangan terperinci masa depan dan pendidikan anak-anak mereka.

Sebahagian besar orang Melayu bagaikan melepaskan tanggungjawab untuk menanggung perbelanjaan pendidikan anak mereka kepada kerajaan. Sememangnya wajar kerajaan memberi bantuan tetapi biarlah kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

Hari ini begitu banyak program bercorak hiburan dihidangkan kepada masyarakat. Sebahagian program tersebut adalah program berkonsepkan realiti televisyen yang mana semakin menjadi kegilaan masyarakat terutama golongan remaja. Keadaan ini pastinya membimbangkan kerana orang Melayu bagaikan leka dan terus dibuai angan-angan bahawa kejayaan itu boleh dicapai menerusi jalan singkat.

Sebenarnya tiada jalan singkat untuk berjaya. Sekiranya bangsa Melayu ingin menjadi bangsa berjaya ia harus kembali kepada landasan sebenar membina kemajuan iaitu ilmu pengetahuan. Lihatlah sekeliling, apakah orang Melayu itu masih berpegang teguh dengan ajaran agamanya atau semua itu telah goyah. Sesungguhnya keruntuhan moral yang dialami oleh kebanyakan anak muda Melayu hari ini amat mendukacitakan.

Bagaimanakah bangsa Melayu ingin membina satu tamadun jika ilmunya lemah dan akhlaknya rendah. Sesungguhnya tidak ada tamadun yang terbina hasil daripada hiburan tetapi banyak sudah tamadun yang runtuh akibat daripada kerendahan ilmu, kelekaan dan hiburan keterlaluan.

Oleh itu usaha untuk mengisi kemerdekaan dan memastikan kemerdekaan itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang pastinya memerlukan perancangan rapi. Acara sambutan hari kebangsaan bersifat hiburan harus dinilai semula dan segala usaha untuk memperbanyakkan aktiviti bercorak pengukuhan kefahaman dari aspek sejarah dan perjuangan harus terus digembleng.

Orang Melayu harus peka kedudukannya dalam segala aspek. Mereka perlu merancang, melaksana serta memantau setiap objektif dan strategi yang digubal sebaik mungkin kerana dengan pendekatan sedemikian kedudukan bangsa Melayu itu dapat dikenal pasti dan terus ditingkatkan.

Dasar-dasar dan perancangan yang telah dibentuk harus dikemas kini dari semasa ke semasa dan didukung dengan penuh rasa tanggungjawab.

Kurikulum pendidikan negara perlu terus diperkemas. Penekanan dari aspek character building kelas pertama harus dipupuk dari peringkat pra-sekolah lagi kerana pendidikan yang diterima oleh satu-satu generasi itulah yang akan mencorak pentadbiran mereka semasa memerintah negara di masa hadapan. Dengan kata lain keperluan kepada satu sistem pendidikan berpandangan jauh dan diyakini oleh setiap lapisan masyarakat adalah amat penting.

Wajibkan semua anak Melayu mendapat pendidikan di sekolah yang sistem pendidikannya dibentuk oleh bangsanya sendiri. Sesungguhnya orang Melayulah yang lebih tahu tentang apa yang terbaik untuk bangsanya.

Dengan kata lain usaha memperkasakan ketuanan Melayu memerlukan perancangan yang strategik. Pemimpin negara, pemimpin parti politik dan para sarjana Melayu harus duduk semeja mengkaji, merancang, melaksana, memantau dan menilai pencapaian bangsa Melayu itu secara komprehensif.

Harap Bajet 2007 Bersifat Proaktif

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 23.8.2006

BAJET 2007 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 September ini digambarkan oleh Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai menarik.

Adalah menjadi harapan semua agar ia akan menjadi bajet yang terus proaktif dalam memesatkan kegiatan ekonomi negara dan pada masa yang sama mesra perniagaan serta prihatin kepada rakyat.

Faktor-faktor seperti kenaikan harga minyak, kadar faedah, inflasi dan kedudukan geopolitik antarabangsa yang secara amnya memberi tekanan kepada rakyat di setiap peringkat sosioekonomi sememangnya wajar diambil kira secara serius.

Diharap Bajet 2007 mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan sebagai contoh kesan kenaikan harga petrol sebanyak 18 peratus, elektrik 12 peratus dan tarif air yang bakal dinaikkan amat dirasakan hari ini terutamanya oleh mereka yang berpendapatan rendah.

Oleh itu, amat wajar kerajaan mempertimbangkan usul yang dibawa oleh Cuepacs yang menuntut kenaikan gaji sebanyak 40 peratus untuk kakitangan berpendapatan rendah yang mana gaji mereka sekarang ini sekitar RM550 sebulan.

Itulah jumlah yang dibawa pulang ke rumah setiap bulan untuk menyara keluarga dengan anak yang mungkin sedang membesar dan bersekolah. Kehidupan keluarga tersebut akan menjadi lebih perit lagi jika mereka tinggal di bandar besar.

Sebagai rakyat sebuah negara yang sedang pesat membangun, kelompok ini harus diberi keutamaan kerana majoriti mereka adalah orang Melayu dan antara penyumbang utama kepada penghasilan modal insan negara.

Menurut pakar ekonomi pembangunan, Profesor Jeffrey S. Sachs dari Columbia University, Amerika Syarikat baru-baru ini bahawa beliau yakin Malaysia boleh merealisasikan Wawasan 2020 jika dapat menyediakan sumber manusia bermutu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi serta sektor perkhidmatan.

Dengan kata lain, usaha membina melahirkan modal insan kelas pertama harus dilakukan dan dilihat dari semua aspek perancangan negara.Insentif-insentif untuk golongan berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak cemerlang dalam pelajaran perlu dibentuk oleh kerajaan kerana pelajar cemerlang ini adalah aset terbaik sesebuah keluarga itu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan untuk tempoh jangka panjang.

Guru boleh menjadi perantara terbaik untuk memastikan pelajar-pelajar berpotensi terus cemerlang.

Insentif seperti pengecualian yuran di semua peringkat pengajian rendah, menengah dan universiti untuk mereka yang benar-benar cemerlang di samping kemasukan secara automatik ke sekolah berasrama penuh wajar diwujudkan.

Usaha ini dijangka dapat merealisasikan agenda satu keluarga mempunyai seorang profesional dan modal insan kelas pertama. Dari sudut perniagaan pula, Menteri Kewangan Kedua menggambarkan bahawa Bajet 2007 akan terus memberi tumpuan kepada usaha-usaha membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Insentif-insentif baru dijangka diperkenalkan sejajar dengan usaha kerajaan yang menginginkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara dipertingkatkan daripada kadar semasa iaitu antara 60 peratus ke 70 peratus sahaja ke tahap lebih tinggi. Kerajaan dijangka terus memberi tumpuan terhadap industri berorientasikan teknologi, perkhidmatan dan asas tani.

Potensi sektor ini untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara adalah amat besar dan secara khususnya di sini jugalah terletaknya pola terbesar masyarakat perniagaan dan perindustrian bumiputera.

Dalam pada itu, dana modal teroka di negara telah meningkat 14 peratus kepada RM2.6 bilion tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dan hampir 40 peratus adalah dana yang disediakan kerajaan. Untuk industri asas tani satu pelan tindakan program pembangunan usahawan asas tani seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini adalah amat perlu.

Sejajar dengan itu adalah diharapkan agar Bajet 2007 akan mencetuskan kesungguhan tinggi di kalangan usahawan bumiputera untuk mempersiapkan diri dengan ilmu perniagaan dan sentiasa bersedia untuk bersaing merebut peluang yang wujud.

Kerjasama strategik antara usahawan, agensi kerajaan dan swasta harus dikenal pasti kerana menerusi perkongsian bijak yang dibentuk akan meningkatkan lagi daya saing mereka. Namun demikian usahawan bumiputera tidak harus berasa selesa (zon selesa) dengan bantuan-bantuan yang sedang dan bakal diberikan.

Adalah amat perlu buat mereka melihat sokongan dan insentif yang diberikan kerajaan itu sebagai kelebihan bersifat sementara. Mereka harus melipatgandakan usaha dalam membentuk kelebihan kompetitif dan berdaya saing serta mampu memperluaskan pasaran ke peringkat serantau dan antarabangsa dalam jangka masa singkat.

Semua tidak mustahil untuk dicapai jika mereka membuat perancangan yang baik, pelaksanaan dan pemantauan yang bersungguh-sungguh. Sejajar dengan itu kerajaan juga diharap dapat mengurangkan kadar cukai korporat sekarang ini iaitu pada 28 peratus ke paras lebih rendah.

Penurunan secara berperingkat-peringkat mungkin pendekatan terbaik. Penurunan ini penting kerana kadar cukai korporat yang tinggi berbanding negara serantau akan menjadikan Malaysia kurang kompetitif dalam konteks menarik pelabur asing melabur. Sebagai perbandingan kadar cukai korporat negara jiran seperti Singapura ialah 20 peratus, Hong Kong 17.5 peratus dan Taiwan 25 peratus.

Thursday, November 20, 2008

Cari Hala Tuju Baru Skim Amanah Saham

Oleh: Haim Hilman Abdullah

Utusan Malaysia: 11.08.2006

Sejarah menunjukkan saham amanah mula diperkenalkan di Malaysia seawal tahun 1959. Perkembangannya amat perlahan pada ketika itu sehinggakan pada tahun 1979 terdapat lima buat institusi pengurusan dana (IPD) sahaja di sektor ini.

Faktor utama menyumbang kepada kadar pertumbuhan lemah ini ialah minat dan pengetahuan yang kurang di kalangan masyarakat terhadap saham amanah itu sendiri dan juga produk-produk yang ditawarkan.

Penglibatan kerajaan negeri yang memperkenalkan saham amanah negeri sekitar tahun 1970-an di atas galakan Kerajaan Pusat jelas membuktikan bahawa sektor ini boleh membantu menjana dana yang boleh digunakan untuk membangunkan negeri itu khususnya dan negara amnya disamping meningkatkan taraf ekonomi pelaburnya. Malangnya tidak banyak suntikan perubahan dapat dilakukan oleh IPD negeri pada masa tersebut.

Namun demikian dari tahun 1991 hingga 1996 ramai pelabur mula melabur dalam sektor ini dan perkembangan ini sejajar dengan pertumbuhan ekonomi negara yang rancak berkembang pada ketika itu. Nilai aset bersih dana meningkat lebih daripada lima kali ganda iaitu dari RM11.7 bilion pada penghujung 1990 kepada RM60 bilion pada 1996. Faktor utama menyumbang kepada perkembangan ini ialah strategi pemasaran berkesan yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk dua produk unit amanahnya iaitu Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Perkembangan positif ini mampu bertahan walaupun negara mengalami krisis kewangan pada 1997-1998. Sumber menunjukkan pada 29 Februari 2004, jumlah unit diapungkan sehingga tarikh tersebut ialah 99.6 bilion dan dikuasai oleh 10.3 juta pemegang unit (pelabur). Dalam tempoh ini jugalah unit saham berasaskan syariah mula mendapat tempat di pasaran sejajar dengan tahap kesedaran masyarakat tentang kelebihan produk berteraskan Islam.

Walau bagaimanapun skim unit amanah ini tidak bebas daripada risiko. Selagi produk itu bernama pelaburan selagi itulah ia mempunyai risiko. Persoalannya ialah sejauh manakah risiko itu memberi kesan kepada pelabur.

Kesanggupan seorang individu dengan individu lain bertoleransi dengan risiko adalah berbeza-beza. Sesetengah pelabur tidak panik apabila harga unit amanah jatuh secara mendadak dalam tempoh masa yang singkat tetapi sudah pasti ada pelabur yang tidak boleh menerima hakikat ini dan akan mengambil langkah drastik seperti menjual kesemua unit saham yang dimiliki di atas pemahaman untuk mengelakkan kerugian lebih teruk. Secara amnya menjual saham pada harga rendah adalah merugikan.

Oleh itu kefahaman tentang persoalan tahap risiko (konservatif, sederhana ataupun agresif) yang manakah sanggup ditanggung oleh seseorang pelabur itu adalah penting untuk diketahui. Secara amnya asas utama untuk meminimumkan risiko ialah ilmu pengetahuan terhadap sektor skim amanah dan produk-produk yang ditawarkannya. Pelabur harus berusaha untuk tidak bergantung sepenuhnya kepada maklumat yang disampaikan oleh wakil jualan IPD.

Dengan kata lain pelabur perlu mempunyai setidak-tidaknya pengetahuan asas tentang produk-produk yang sedang ditawarkan di pasaran dan di masa yang sama mampu membuat perbandingan mudah tentang kadar risiko dan pulangan produk-produk tersebut. Pengetahuan sebegini sedikit sebanyak dapat membantu mereka membuat keputusan dengan lebih baik berbanding bergantung sepenuhnya kepada wakil jualan IPD.

Wakil jualan IPD pula perlu menjelaskan tentang aspek seperti tiada jaminan yang mengatakan pelabur akan memperoleh pulangan pelaburan tinggi di samping berkemungkinan mengalami kerugian atas pelaburan dengan jelas kepada pelabur. Pelabur pula boleh meminta laporan prestasi skim unit amanah yang ditawarkan dan perbandingan skim unit amanah tersebut dengan prestasi industri.

Ini adalah pendekatan mudah untuk pelabur membuat analisis terhadap potensi skim unit amanah yang ditawarkan itu. Namun demikian maklumat prestasi masa lalu tidak semestinya mampu memberi jangkaan tepat tentang prestasi masa depan. Dengan kata lain adalah lebih baik untuk pelabur melabur dalam produk-produk yang telah terbukti mampu memberi pulangan yang baik.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula boleh mewujudkan jawatankuasa pemantau prestasi IPD ataupun menggunakan maklumat prestasi semasa IPD dan produk-produknya yang dikeluarkan oleh majalah-majalah kewangan dengan cara melaporkannya menerusi akhbar-akhbar utama. Masalah hari ini ialah maklumat sedemikian tidak disebarluaskan dan berbahasa Inggeris. Adalah diketahui bahawa segelintir sahaja masyarakat membaca majalah kewangan sedemikian.

Pendekatan ini penting kerana ia bukan sahaja membantu pencarumnya tahu perkembangan pelaburan mereka kelak tetapi membentuk satu tekanan positif kepada IPD supaya memastikan prestasi mereka sentiasa berada di tahap tertinggi. Pengkategorian institusi berasaskan prestasi keseluruhan ataupun produk yang ditawarkan oleh satu badan berautoriti boleh membantu pencarum untuk membuat keputusan pelaburan lebih baik lagi.

Saranan seperti meminta pelabur membuat kajian terperinci sebelum melabur adalah baik tetapi faktor latar belakang pelabur yang berbeza-beza harus diambil kira. Jelas terdapat pola pelabur yang kurang arif atau tidak tahu langsung dengan dunia saham tetapi berminat untuk mencuba. Risiko yang dihadapi oleh kumpulan ini dapat diminimumkan jika mereka didedahkan dengan maklumat ringkas, tepat dan telus tentang risiko dan faedah pelaburan.

Projek Pacu Ekonomi

Oleh: HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 21.07.2006

MENYOROT kembali sejarah dasar pembangunan ekonomi negara adalah pendekatan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia mengetahui kesungguhan kerajaan membina sebuah masyarakat Malaysia yang makmur dan maju.

Realiti dasar hari ini amat jauh berbeza dengan dasar-dasar yang dibentuk oleh kerajaan Inggeris semasa mereka menjajah Tanah Melayu ini kerana teras dasar mereka pada ketika itu ialah menjaga kepentingan mereka dan bukannya rakyat.

Kehidupan penuh kemiskinan yang dilalui oleh rakyat pada masa itu adalah titik hitam dalam sejarah negara. Namun demikian bukan marah tidak bertempat yang harus disemarakkan di sini tetapi kebijaksanaan mencorak hala tuju bangsa dan negara secara telus dan adil semasa memerintah anak bangsa sendiri harus menjadi agenda bersama.

Atas kesedaran itulah kerajaan dan rakyat yang diterajui oleh negarawan terbilang bersatu dan bersama-sama menggembleng fikiran dan tenaga untuk membentuk dasar pembangunan yang lebih telus dan adil. Jelas sekali pengorbanan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussien Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara makmur dan maju adalah satu usaha yang tidak pernah sia-sia.

Kesinambungan kepada usaha mereka dan generasi terdahulu dapat dilihat menerusi kesungguhan seluruh rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang berusaha keras merealisasikan agenda membina kemakmuran dan kemajuan itu benar-benar menjadi kenyataan.

Sejarah jelas menunjukkan bahawa agenda membina kemakmuran adalah dasar utama kepada Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) sehinggalah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 2006-2010.

Dasar ini menuntut semua lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin tertinggi kerajaan, pendukung parti pemerintah, pemimpin dan pendukung parti pembangkang khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya bersama-sama berganding bahu supaya setiap agenda dalam rancangan besar ini menjadi realiti.

Tidak dinafikan kesungguhan seluruh rakyat Malaysia dalam beberapa tahun yang lalu telah membawa kepada tercapainya pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial yang membanggakan. Semangat ingin berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu memberi kehidupan yang makmur kepada rakyatnya dan mampu menjadi negara maju pada tahun 2020.

Kemampuan negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus setahun antara 1991 dengan 2005 walaupun pelbagai cabaran datang melanda adalah bukti kepada kemampuan negara menghadapi apa juga cabaran. Peningkatan lebih sekali ganda pendapatan isi rumah daripada RM1,169 sebulan pada tahun 1990 ke RM3,249 sebulan pada 2004 harus menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dan patut dijadikan asas kepada penggemblengan tenaga secara kolektif yang lebih terancang ke arah mencapai wawasan negara.

Jika dilihat dari aspek sosial pula kadar kemiskinan telah menurun daripada 22.8 peratus pada 1990 kepada 5.7 peratus pada 2004. Ini jelas menunjukkan bahawa dasar-dasar yang digunakan oleh kerajaan telah berjaya membela nasib mereka yang terpinggir. Namun demikian ia menuntut usaha yang berterusan. Kesungguhan kerajaan dan rakyat harus bergerak seiringan.

Salah satu langkah yang harus diberikan penekanan ialah pendidikan kerana penurunan tersebut tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya pendidikan ke arah melahirkan lebih ramai golongan pertengahan tidak diusahakan secara komprehensif.

Jurang pendapatan dan kekayaan masih yang wujud terutamanya antara kaum dan antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar harus dijadikan cabaran untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

Kemiskinan tidak harus menjadi label kepada mana-mana kaum di negara ini. Hapuskanlah polarisasi kaum yang masih boleh dilihat di sekolah, di tempat kerja dan dalam kehidupan awam keseluruhannya.

Hari ini negara berada dalam fasa kedua ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 nanti. Era ini menuntut seluruh rakyat Malaysia melipatgandakan usaha dan kemajuan harus bersifat lebih holistik dan berjangka panjang serta mengikut acuan sendiri.

Lima teras utama yang menjadi misi nasional iaitu meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara harus difahami sebaiknya oleh mereka yang bertanggungjawab melaksanakan dan memantaunya.

Di samping itu rakyat bertanggungjawab menjadi mata dan telinga kepada kerajaan. Kepekaan rakyat dalam menyatakan kebenaran secara berhikmah adalah asas kepada ketelusan sebuah kerajaan dan kemakmuran sebuah negara.

Jika disorot pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan berkenaan 880 buah projek pembangunan baru bernilai RM15 bilion di bawah RMK-9 yang akan dikeluarkan tender tidak lama lagi jelas membuktikan bahawa kerajaan sentiasa berusaha membina sebuah masyarakat makmur dan maju.

Jika dilihat dari sudut ekonomi projek-projek tersebut akan merancakkan ekonomi negara dan secara langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan di semua peringkat sosioekonomi masyarakat.

Projek-projek termasuk pembinaan seperti 450 buah sekolah rendah dan menengah, jalan, jambatan, projek untuk meningkatkan bekalan air dan pembinaan terminal pengangkutan adalah projek-projek rakyat dan jelas sekali bukan untuk menjaga kepentingan golongan tertentu.

Secara khususnya pembentukan Dana Pemudahan bernilai RM5 bilion bagi membantu sektor swasta menjayakan projek menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) di bawah RMK-9 di samping kesediaan kerajaan meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan peruntukan bagi membiayai sebahagian pembangunan projek adalah isyarat dari kerajaan kepada pihak swasta agar memainkan peranan lebih aktif dalam membangunkan negara.

Usaha kerajaan ini perlu disahut oleh pihak swasta dengan penuh rasa tanggungjawab atau dengan kata lain menganggapnya sebagai satu khidmat negara.

RMK-9 adalah rancangan rakyat, rancangan masa depan dan rancangan yang dibentuk untuk memastikan pewaris negara di masa hadapan dapat berbangga dengan usaha yang digembleng oleh generasi hari ini untuk mereka.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia sama ada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bersama-sama berusaha merealisasikan RMK-9 ini. Lihatlah usaha ini sebagai satu jihad ke arah memartabatkan negara menjadi sebuah negara Islam yang makmur dan maju.

Tidak akan ada satu bangsa, negara, atau pihak luar yang akan datang membantu sesebuah negara itu menjadi maju melainkan bangsanya sendiri. Tidak akan ada kemakmuran dan kemajuan di sesebuah negara itu selagi rakyatnya tidak bangkit membela nasib negaranya sendiri. Hari ini telah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia memastikan setiap dasar RMK-9 benar-benar didukungi dengan penuh rasa tanggungjawab.

Cukai Pendapatan Lebih Rendah?

Oleh Ainul Asniera Ahsan

Utusan Malaysia: 09.09.2005

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kerajaan dijangka akan mengumumkan penurunan cukai pendapatan individu dan meningkatkan kadar pelepasan cukai dalam Bajet 2006 bagi menjamin kesejahteraan rakyat dalam menghadapi keadaan ekonomi semakin sukar diramalkan.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah yakin kerajaan akan menurunkan cukai pendapatan dan meningkatkan pelepasan cukai kerana sentimen pengguna pada hari ini begitu kuat.

Katanya, langkah itu juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan rakyat akibat inflasi.

Haim Hilman berkata, penurunan cukai pendapatan adalah langkah terbaik dalam membantu rakyat ketika ekonomi dalam keadaan tidak menentu.

``Dalam keadaan sekarang kerajaan sebenarnya perlu meningkatkan kuasa membeli kerana tanpanya ekonomi negara akan beku.

``Jadi untuk meningkatkan perbelanjaan, kerajaan perlu mengurangkan banyak cukai yang dikenakan kepada rakyat termasuk cukai pendapatan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada bajet 2005 kerajaan memberi pelepasan cukai pendapatan individu untuk caruman KWSP, takaful dan premium insurans hayat naik kepada RM6,000.

Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan tindakan itu akan mengurangkan pendapatan negara tetapi yakin kerajaan mempunyai perancangan lain untuk menggantikan kekurangan itu dengan menaikkan cukai-cukai lain yang tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau juga meramalkan kerajaan tidak akan mengurangkan jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana tindakan itu akan merugikan rakyat.

``Perlu ingat KWSP adalah simpanan untuk hari tua dan kerajaan perlu mengekalkan jumlah carumannya kerana ia tidak merugikan orang ramai,'' ujarnya.

Cuma katanya, kerajaan perlu memastikan KWSP membuat pelaburan yang lebih efektif supaya dapat meningkatkan jumlah dividen.

Menyentuh langkah-langkah yang perlu diambil dalam membendung inflasi, beliau berkata, masalah itu hanya dapat diselesaikan dengan penguatkuasaan undang-undang kerana cara itu dapat mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni.

Katanya, tidak ada gunanya kerajaan melancarkan pelbagai kempen termasuk jualan murah tetapi barangan yang dijual tidak berkualiti.


``Tanyalah sesiapa sahaja, mereka mungkin sependapat bahawa masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan penguatkuasaan yang tegas,'' ujarnya. Ketua Pengarah Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia (IKPEM), Datuk Ibrahim Saidun juga tidak menolak ada kemungkinan kerajaan mengurangkan cukai pendapatan dalam bajet nanti.

``Kalau kerajaan boleh mengurangkan cukai jalan mengapa tidak pada cukai pendapatan kerana cara ini boleh mengurangkan beban rakyat,'' katanya.

Paling penting, katanya, Bajet 2006 perlu meneruskan usaha kesinambungan untuk menghapuskan kemiskinan tegar, mempercepatkan pembangunan luar bandar dan membantu golongan tertentu melalui penyediaan pelepasan cukai.

Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mansor Jusoh pula menjangkakan ada beberapa cukai terpaksa dinaikkan tetapi tidak banyak kerana kerajaan perlu membendung inflasi.

Katanya, walaupun langkah itu dilihat akan mengurangkan pendapatan kerajaan tetapi Malaysia mempunyai akta cukai yang luas dan ia boleh diseimbangkan dengan hasil kerajaan.

``Negara sebenarnya dalam keadaan inflasi kerana pada masa sekarang banyak barang mengalami kenaikan harga dan fenomena ini turut menyebabkan pelbagai cukai berasaskan nilai barang juga meningkat.

``Inflasi mengakibatkan pendapatan kerajaan meningkat,'' ujarnya.

Dr. Mansor berkata, kerajaan mungkin akan mengurangkan perbelanjaan dengan mengawal pembangunan sekiranya tidak menaikkan atau mengenakan sebarang cukai baru. Selari dengan langkah mengurangkan defisit.

Pengurusan Strategik

Oleh Haim Hilman Abdullah

Utusan Malaysia: 20.11.2004

MINGGU ini, penulis akan mengupas sebab-sebab yang menggagalkan pengurus dalam memastikan strategi yang dipilihnya berjaya merealisasikan objektif, visi dan misi yang disasarkan. Banyak kajian yang mendapati kegagalan adalah berpunca daripada kegagalan di peringkat pelaksanaan iaitu peringkat kedua Pengurusan Strategik. Peringkat ini merupakan peringkat paling kritikal untuk semua syarikat.

Secara khususnya pelaksana strategi boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu pihak Pengurus Atasan (Ketua Pegawai Eksekutif, jemaah pengurusan), Pengurus Pertengahan (pengurus unit perniagaan, senior eksekutif, pengurus bahagian dan eksekutif bahagian) dan Pengurus Bawahan (ketua unit/operasi) serta semua pekerja. Dengan kata lain semua program, belanjawan dan prosedur yang telah ditetapkan untuk merealisasikan objektif syarikat perlu difahami dan didokongi sepenuhnya oleh mereka yang telah dipertangungjawabkan.

Pengurus boleh menggunakan kaedah pelaksanaan tertentu iaitu yang bersesuaian dengan objektif yang ingin dicapainya. Dengan kata lain tiada satu kaedah pelaksanaan yang sesuai untuk semua keadaan. Pelaksanaan bersepadu (melibatkan semua peringkat organisasi), berperingkat-peringkat (berjangka panjang) dan berpilih-pilih (mengikut kepentingan) adalah tiga bentuk pelaksaan yang sering dijadikan asas oleh kebanyakan pengurus. Namun begitu kelancaran proses pelaksanaan itu banyak bergantung kepada belanjawan yang mencukupi dan prosedur kerja yang jelas. Oleh itu, pengurus harus memastikan semua perkara tersebut diambilkira dan dipertimbangkan sewajarnya.

Di antara sebab-sebab umum kegagalan di peringkat pelaksanaan ialah tempoh sebenar pelaksanaan strategi untuk merealisasikan objektif yang disasarkan adalah lebih panjang dari tempoh yang telah dirancangkan, pengurus tidak faham matlamat syarikat dan peranannya, pengurus tidak mendapat sokongan dari pihak-pihak terlibat, pihak pengurusan tidak mempunyai strategi yang jelas untuk menangani tentangan-tentangan yang wujud semasa melaksanakan pendekatan baru, strategi tidak difahami dengan baik oleh pelaksana, tidak meletakkan ``Right people for the right job'' , tiada kesinambungan mutlak di antara strategi dan program, muncul masalah-masalah yang tidak dijangka, program tidak disusun mengikut kepentingannya kepada survival, pertumbuhan dan keuntungan syarikat, wujud persaingan di antara satu program dengan program lain terutamanya dari pespektif peruntukan kewangan, krisis dalaman yang kerap berlaku, pekerja tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan, pemimpin yang dilantik tidak mampu memimpin dan membimbing pekerja bawahan dengan baik dan proses pemantauan tidak dilaksanakan dengan baik.

Semua punca kegagalan tersebut tidak akan dapat di atasi sekiranya pengurus tidak dapat memastikan langkah-langkah tertentu yang boleh menghalang perkara tersebut daripada berlaku dilaksanakan.

Di antara langkah-langkah yang boleh pengurus pertimbangkan untuk meningkatkan kelancaran peringkat pelansanaannya ialah memastikan strategi yang ingin dilaksanakan itu bersesuaian dengan struktur syarikat, mewujudkan sistem ganjaran yang menarik apabila pekerja berjaya mencapai objektif melalui strategi yang disarankan di samping sistem dendaan yang munasabah dikenakan ke atas mereka yang gagal, sentiasa mempertingkatkan kemahiran teras, sentiasa peka dengan perubahan persekitaran dalaman dan luaran syarikat serta melakukan proses `re-engineering' di bahagian-bahagian tertentu ataupun keseluruhan syarikat apabila perlu, memastikan sistem sokongan yang digunakan bersesuaian dengan sistem utama syarikat, memastikan polisi dan prosedur yang digunakan sentiasa sesuai dengan objektif, misi dan visi syarikat, memastikan sistem kewangan dan belanjawan syarikat sesuai dengan objektif, misi dan visi syarikat, memastikan gaya kepimpinan, pengagihan kuasa dan budaya korporat yang sesuai diamalkan, memastikan tempoh masa penyiapan program realistik, memastikan pelaksana dan pemantau strategi dikenalpasti dan memastikan setiap program mempunyai strategi alternatif.

Semua pengurus yang berjaya merealisasikan faktor-faktor di atas mempunyai potensi lebih cerah untuk menjadikan syarikatnya lebih kompetitif. Semua sifat orang positif perlulah ada dalam jiwa setiap pengurus kerana dunia perniagaan adalah dunia yang penuh dengan risiko. Hanya mereka yang sanggup bangun semula dan melangkah dengan lebih gagah dan berhemah lagi setiap kali selepas gagal mempunyai peluang lebih baik untuk lebih berjaya.

Sejajar dengan itu pengurus perlu mengambil pendekatan pengawalan dan penilaian strategi yang bersesusuaian dengan bijak. Pendekatan ini merupakan bahagian ketiga pengurusan strategik. Tujuan utamanya ialah untuk mengenalpasti sejauh mana strategi yang dipraktikkan itu berjaya mencapai objektif dan menyumbang ke arah memenuhi pernyataan yang terdapat di dalam misi dan visi syarikat. Di samping itu, ia boleh berfungsi sebagai alat penggera kepada syarikat apabila dilakukan secara berkala.

Untuk membuat penilaian dan pengawalan yang baik memerlukan pengurus mengenalpasti apa yang ingin dinilainya dengan jelas, mengenalpasti piawai yang ingin digunakan itu juga jelas, memastikan penilaian dilakukan dalam tempoh masa ditetapkan dan memastikan setiap langkah pembaikan dilaksanakan seperti yang dirancang.

Di samping itu proses penilaian boleh diperincikan lagi dengan menilai aspek pencapaian kewangan dan pengurusan syarikat. Pengurus boleh mnggunakan kaedah Penilaian Atas Pelaburan, Penilaian Atas Aset dan Pendapatan Sesaham sebagai asas di samping pendekatan kewangan lain. Dari aspek pengurusan pula pengurus boleh menggunakan `Balanced Score Card' untuk menilai pencapaian syarikat dengan mengambilkira elemen pelanggan, pembekal, pekerja dan lain-lain yang pengurus rasakan mampu mempengaruhi prestasi syarikat. Pusat-pusat pengawalan seperti jualan, keuntungan, pelaburan dan pengawalan kos boleh mempermudahkan lagi proses penilaian prestasi.

Pengurus/Pemimpin Perlu Bijak Pilih Strategi

Oleh Haim Hilman Abdullah

Utusan Malaysia: 19.11.2004

Minggu ini penulis akan membincangkan strategi di peringkat perniagaan pula. Pengurus perlu bijak semasa memilih strategi perniagaanya. Strategi perniagaan yang baik mampu merealisasikan objektif syarikat.

Secara amnya terdapat berbagai jenis strategi perniagaan yang digunakan oleh syarikat untuk bersaing dengan lebih kompetitif. Strategi perniagaan yang digunakan oleh sesebuah syarikat konglomerat (banyak anak-anak syarikat) mungkin berbeza di antara satu anak syarikat dengan anak syarikat yang lain. Pengurus harus benar-benar mengenali persekitaran dalaman dan luaran perniagaannya sebelum memutuskan jenis strategi perniagaan yang akan digunakannya.

Asas strategi perniagaan yang akan penulis gunakan ialah strategi yang dibentuk oleh Micheal E. Porter yan dikenali sebagai Generic Strategies - Strategi Generik. Porter membahagikan strategi ini kepada 3 jenis utama iaitu Kepimpinan Kos, Perbezaan dan Fokus. Setiap strategi ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya yang tersendiri.

Apa yang harus ditekankan oleh pengurus ialah memastikan strategi yang dipilihnya itu mampu membantu syarikatnya mencapai objektif, visi dan misi yang telah ditetapkan. Strategi Kepimpinan Kos sebagai contohnya adalah strategi yang berorientasikan modal, kemahiran, penjimatan kos, produk mudah dicipta, komponen yang dihasilkan boleh diguna untuk produk lain dan keuntungan yang dijana amat bergantung kepada kemampuan mencapai skala ekonomi.

Di antara kelebihan strategi ini ialah mampu memberi pulangan keuntungan melebihi kadar purata keuntungan semasa, meletakan syarikat berada dalam kedudukan yang lebih kompetitif kerana pesaing sukar untuk bersaing pada harga yang rendah (perang harga), mengekang tekanan dari pembeli yang mementingkan harga murah, mampu bersaing dari aspek harga kerana margin untungnya lebih besar berbanding pesaing, mampu mengurangkan tekanan pembekal, mampu menyukarkan kemasukan pendatang baru terutamanya di kalangan mereka yang tidak mempunyai modal yang besar. Tesco, Walmart dan McDonald adalah antara syarikat yang berjaya merealisasikan objektif perniagaan mereka menerusi strategi ini.

Di samping strategi ini, pengurus boleh juga menggunakan strategi perbezaan sebagai asas pembentukan kelebihan kompetitif syarikatnya. Strategi ini berpaksikan keunikan pada produk yang dihasilkan. Semakin unik produk itu bermakna semakin besarlah potensi yang dimiliki oleh syarikat untuk meraih keuntungan lebih besar. Kreativiti, inovasi, dan keyakinan diri yang tinggi adalah komponen utama yang perlu dimiliki oleh syarikat yang ingin mengamalkan strategi ini.

Persoalan yang mungkin timbul adakah strategi ini sesuai untuk semua jenis syarikat (besar, sederhana dan kecil)? Ramai yang beranggapan bahawa melaksanakan strategi ini memerlukan modal yang besar. Anda mungkin bersetuju dengan jawapan tersebut tetapi tidak semua perbezaan itu terhasil menerusi modal yang besar sahaja kerana apa yang paling penting ialah kreativiti. Ini jelas terbukti kerana faktor inilah yang mampu membantu syarikat-syarikat yang kecil pada asalnya seperti 3M, Dell, Hewlett Packard dan lain-lain menjadi syarikat gergasi.

Pengurus yang berhasrat mengamalkan strategi ini perlu memastikan strategi pemasarannya kukuh kerana kejayaan strategi ini banyak bergantung kepada keyakinan pelanggan terhadap kelebihan perbezaan yang ditawarkan. Di samping itu prestasi, kualiti atau keunikan produknya sentiasa berada di tahap terbaik pada setiap masa kerana kemampuan sedemikian mampu meningkatkan lagi tahap keyakinan pelanggan terhadap produk. Strategi ini turut menuntut pengamalnya peka dengan perubahan dinamik yang berlaku di persekitaran luaran dan dalaman syarikat.

Secara amnya strategi ini boleh membantu pengurus meningkatkan tahap kesetiaan pelanggan terhadap produk terutamanya di kalangan pelanggan yang inginkan kelainan, mencipta margin keuntungan lebih besar dan secara tidak langsung boleh menggunakan keuntungan tersebut untuk mengimbangi kos tambahan yang diperlukan untuk mewujudkan perbezaan, meletakkan produk dalam kelasnya yang tersendiri (tiada produk ganti) dan menyukarkan syarikat baru memasuki pasaran.

Sekiranya pengurus mendapati dua strategi di atas tidak berupaya merealisasikan objektif perniagaannya maka ia boleh memilih strategi ketiga iaitu Strategi Fokus. Strategi ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu Fokus Kepimpinan Kos dan Fokus Perbezaan.

Kedua-duanya adalah perincian kepada dua strategi terdahulu dan turut berkeupayaan membantu syarikat meraih keuntungan lebih baik di pasaran khusus. Dengan kata lain skop sasaran pelanggan untuk strategi ini jauh lebih kecil dari skop sasaran pelanggan untuk strategi kepimpinan kos dan perbezaan.

Kekuatan strategi ini ialah ia mampu membantu syarikat membentuk kelebihan kompetitif yang lebih baik kerana segala sumber dan kepakaran diarahkan untuk satu pasaran khusus itu. Di samping itu kesetiaan pelanggan terhadap produk juga tingi walaupun harga yang ditawarkan jauh lebih tinggi berbanding harga produk yang menggunakan strategi lain.

Namun begitu, terdapat juga pengurus yang tidak bersetuju dengan strategi-strategi di atas kerana merasakan semua itu terlalu `rigid' sedangkan kebanyakan persekitaran perniagaan bersifat kompleks. Oleh itu mereka lebih bersetuju menggunakan strategi kombinasi yang mengambil elemen-elemen yang bersesuaian dari setiap strategi itu.

Apa yang ingin penulis tekankan di sini ialah setiap strategi tersebut mempunyai kekuatan dan kelemahannya yang tersendiri. Atas sebab itu pengurus perlu tahu persekitaran perniagaannya dengan baik dan berubah mengikut perubahan persekitaran.

Terus kekal dengan strategi yang sama di atas andaian bahawa strategi tersebut pernah membuatkan mereka berjaya di masa lalu di kala keadaan pasaran telah banyak berubah hari ini boleh menjadi perangkap paling besar kepada semua pengurus dan syarikat. Sebaik-baik strategi ialah strategi yang mampu memberi kemenangan tanpa perlu berkonfrontasi dengan pemegang kepentingan syarikat.

Visi Penentu Masa Depan Organisasi

Oleh Haim Hilman Abdullah

Utusan Malayisa: 13.11.2004

MUNGKIN ada pengurus yang berpendapat teori tidak sama dengan praktikal dan untuk persoalan ini penulis lebih suka mengajak semua pengurus melihat masa depan syaikatnya secara objektif berbanding menyerahkannya bulat-bulat kepada `gut feeling' atau nasib semata-mata. Di sinilah kelebihan pengurusan strategik berbanding cara pengurusan lain kerana ia menyediakan peralatan-peralatan yang cukup strategik dan praktikal untuk digunakan oleh semua pengurus di semua industri dan sektor. Dengan kata lain konsep ini boleh membantu mereka menempuh nasib yang lebih baik jika digunakan dengan betul, Insyaallah.

Persoalan pertama yang perlu diselesaikan oleh pengurus atasan (pasukan pengurusan) ialah mengenalpasti visi syarikatnya. Pada dasarnya ia boleh dibahagi kepada dua jenis iaitu umum (syarikat konglomerat) dan spesifik (unit perniagaan tunggal atau terlibat dalam satu industri sahaja) dan proses untuk mencapainya mungkin mengambil masa berpuluh-puluh tahun (20 hingga 30 tahun ataupun lebih). Tempoh masa ini sahaja boleh pengurus jadikan perantara untuk menunjukkan keseriusan syarikatnya dalam perniagaan yang diceburi kepada pemegang kepentingan.

Di sini penulis ingin berkongsi cara menghasilkan pernyataan visi yang baik yang mana ia memerlukan pengurus memahami sektor atau industri yang ingin diunggulinya sebaik mungkin terlebih dahulu. Soalan-soalan seperti; Apakah yang ingin dicapai oleh pengurus di masa hadapan? Bentuk perniagaan bagaimanakah yang ingin dijalankan? Kehendak pelanggan bagaimanakah yang ingin dipenuhkan? Kedudukan bagaimanakah dalam konteks persaingan yang ingin dicapai? adalah soalan-soalan penting yang mampu membantu pengurus mengenali perniagaannya dengan lebih jelas.

Pengurus tidak perlu gusar sekiranya pada ketika ini mereka masih belum pasti bidang pengkhususan perniagaan mereka kerana visi boleh disesuaikan untuk latar belakang perniagaan yang khusus ataupun pelbagai. Sekiranya pengurus percaya kepelbagaian industri yang diceburi itu merupakan faktor kejayaan kritikal syarikatnya maka ia boleh menggunakan visi bersifat umum dan jika sebaliknya maka visi bersifat spesifik boleh digunakan.

Kedua-dua jenis visi ini mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Kelebihan utama visi umum ialah ia memberi ruang yang luas kepada pengurus untuk menceburkan syarikatnya ke sektor atau industri baru pada bila-bila masa dan kelemahannya pula ialah syarikat mungkin tidak dapat mengeksploitasi peluang yang wujud di satu-satu sektor itu secara maksimum kerana sumber terpaksa diagih-agihkan kepada unit-unit perniagaan yang berbagai latar belakang. Manakala kelebihan visi spesifik pula ialah ia membolehkan pengurus mengeksploitasi peluang secara maksimum kerana semua sumber boleh disalurkan secara khusus untuk satu sektor itu dan kekurangannya pula ialah ia mungkin menyebabkan syarikat tidak dapat merebut peluang yang wujud di sektor atau industri lain. Apapun keadaannya pengurus boleh menukar visi syarikat dari umum kepada spesifik dan sebaliknya jika keperluan sedemikian perlu untuk menjadikan mereka lebih kompetitif.

Satu perkara yang perlu diingat oleh pengurus ialah visi tidak sepatutnya kerap ditukar ganti kerana perbuatan sedemikian boleh menghilangkan keyakinan stakeholders terhadap syarikat kerana adakala mereka membeli produk atau saham syarikat atas dasar menyokong visinya. Bertukar skop visi mungkin akan membuatkan mereka beralih ke syarikat lain. Berikut adalah contoh visi umum dan spesifik - Visi Umum - EON Berhad: Menyediakan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang. (Sumber: Laporan Tahunan 2004) dan Visi Spesifik - Sime UEP Properties Bhd: Kami berhasrat menjadi pemaju hartanah Malaysia yang terunggul. (Sumber: Laporan Tahunan 2004)

Selain visi pengurus perlu mengenalpasti misi syarikatnya juga. Misi sering dirujuk sebagai perantara yang boleh digunakan oleh pengurus untuk menerangkan jenis perniagaan, prinsip, kepercayaan, falsafah dan tujuan kewujudan syarikat. Peter F. Drucker; Bapa Pengurusan Moden mengandaikan pernyataan misi sebagai perniagaan seseorang syarikat itu sendiri. Beliau juga percaya syarikat yang mempunyai misi mempunyai potensi yang lebih baik untuk berjaya kerana baginya misi boleh digunakan untuk memotivasi pekerja di samping memberi maklumat kepada stakeholders tentang perniagaan syarikat.

Secara amnya pengurus boleh menentukan intipati misi syarikatnya mengikut kehendaknya. Aspek-aspek seperti Pelanggan: Siapakah pelanggan syarikat? Produk atau servis: Apakah produk utama syarikat? Pasaran: Dari sudut geografinya di manakah syarikat bersaing? Falsafah: Apakah asas kepercayaan, nilai dan aspirasi syarikat? Kesedaran terhadap pekerja: Adakah pekerja merupakan aset paling berharga kepada syarikat?

Kesedaran terhadap imej awam: Adakah syarikat memberi tindakbalas kepada masalah sosial, komuniti dan persekitaran? Kesedaran terhadap kelangsungan hidup, pertumbuhan dan keuntungan: Adakah syarikat komited ke arah pertumbuhan dan kewangan yang kukuh? boleh juga dijadikan asas. Berikut adalah contoh misi umum da spesifik - Misi Umum - Kumpulan DRB Hicom: Meningkatkan unsur-unsur daya saing yang memainkan peranan penting terhadap pertumbuhan antarabangsa. (Sumber: Laporan Tahunan 2004) dan Misi Spesifik - Petronas Gas Berhad: Kami adalah sebuah entiti perniagaan. Gas adalah perniagaan kami. Tanggungjawab utama kami ialah untuk menambah nilai ke atas sumber semulajadi ini. (Sumber: Laporan Tahunan 2004)

Berikut adalah antara kelebihan yang boleh diperolehi oleh syarikat yang memiliki visi dan misi; i) Memudahkan semua lapisan pekerja memahami matlamat utama syarikat. ii) Memaklumkan kepada semua pihak yang mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak langsung akan arah tuju syarikat. iii) Proses pengagihan sumber ke unit-unit perniagaan dan bahagian-bahagian dapat dilaksanakan dengan lebih terancang. iv) Melicinkan proses membentuk objektif, strategi dan polisi syarikatnya. Globalisasi, Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN, Pertubuhan Perdagangan Dunia dan Kawasan Perdagangan Bebas Amerika Utara adalah antara senario yang ``memaksa'' pengurus di seluruh dunia mengurus syarikat mereka dengan lebih terancang.