Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH
Utusan Malaysia: 29.8.2006
TANGGAL 31 Ogos yang merupakan tarikh keramat bagi rakyat negara ini wajar menjadi peringatan kepada bangsa Melayu tentang kedudukan kita di bumi berdaulat ini.
Jika dilihat dari sudut ekonomi, ternyata pencapaian orang Melayu masih lemah jika dibandingkan dengan bangsa lain. Tiada jalan lain untuk mengatasinya melainkan orang Melayu itu sanggup melakukan jihad ekonomi.
Setiap mereka harus membina kekuatan ekonomi diri dan keluarga masing-masing. Kejayaan di peringkat inilah yang akan menyumbang kepada perkembangan pengukuhan ekonomi bangsa Melayu. Jadilah satu bangsa yang memerlukan satu peluang sahaja untuk membuktikan kemampuan diri dalam apa juga bidang yang diceburi. Buat usahawan Melayu pula jadikanlah perniagaan sebagai medan untuk memartabatkan bangsa.
Alangkah hinanya bangsa Melayu itu jika mereka (usahawan) yang dianggap penjana ekonomi Melayu terus gagal dalam perniagaan dan kegagalan itu disebabkan oleh kelemahan diri sendiri seperti keengganan untuk mengubah sikap. Mereka wajar menganggap kegagalan tersebut sebagai pengkhianatan kepada bangsa.
Begitu juga hakikat yang wajar dirasai oleh semua orang Melayu yang terus bergantung kepada bantuan kerajaan untuk mencatur kehidupan walaupun pada hakikatnya mereka berkemampuan untuk berdikari.
Mentaliti bahawa kerajaan akan membantu jika mereka susah yang telah lama bertapak harus dihakis segera kerana adalah menjadi satu keaiban besar buat orang Melayu jika mereka masih gagal untuk berjaya di kala bangsa lain terus maju walaupun tanpa bantuan pihak kerajaan.
Di samping itu orang Melayu janganlah jadi seperti enau di hutan yang melepaskan pucuk masing-masing. Kesanggupan untuk bekerjasama dengan bangsa lain atas alasan bangsa sendiri tidak berkebolehan adalah satu sikap yang akan membawa kemunduran bangsa sendiri. Adakah itu yang dimahukan oleh orang Melayu? Pastinya tidak. Berilah peluang kepada rakan sebangsa dan buat mereka yang diberi peluang jadikanlah ia sebagai pentas terbaik untuk membuktikan kemampuan.
Setelah 49 tahun merdeka, orang Melayu juga masih belum mampu menjadi bangsa ilmu. Masih sukar untuk melihat orang Melayu mendominasi bidang akademik. Berita-berita kejayaan anak Melayu masih jarang didengar dan jika ada, pasti akan dirayakan dengan penuh kemeriahan. Itulah bangsa Melayu, satu bangsa yang begitu dahagakan berita kejayaan anak bangsanya.
Kini mungkin telah tiba masanya untuk orang Melayu merenung di mana silapnya sehingga jumlahnya yang ramai masih belum mampu menjadikannya yang terbaik. Orang Melayu sebenarnya masih gagal untuk menjadi satu bangsa yang benar-benar hebat ilmunya.
Apakah puncanya? Adakah kerana kealpaan ibu bapa dalam merancang masa depan anaknya? Mungkin benar dakwaan itu kerana kebanyakan orang Melayu sememangnya boleh merancang dan berjimat cermat untuk membeli harta benda tetapi apa yang menyedihkan terlalu sedikit di antara mereka yang membuat perancangan terperinci masa depan dan pendidikan anak-anak mereka.
Sebahagian besar orang Melayu bagaikan melepaskan tanggungjawab untuk menanggung perbelanjaan pendidikan anak mereka kepada kerajaan. Sememangnya wajar kerajaan memberi bantuan tetapi biarlah kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Hari ini begitu banyak program bercorak hiburan dihidangkan kepada masyarakat. Sebahagian program tersebut adalah program berkonsepkan realiti televisyen yang mana semakin menjadi kegilaan masyarakat terutama golongan remaja. Keadaan ini pastinya membimbangkan kerana orang Melayu bagaikan leka dan terus dibuai angan-angan bahawa kejayaan itu boleh dicapai menerusi jalan singkat.
Sebenarnya tiada jalan singkat untuk berjaya. Sekiranya bangsa Melayu ingin menjadi bangsa berjaya ia harus kembali kepada landasan sebenar membina kemajuan iaitu ilmu pengetahuan. Lihatlah sekeliling, apakah orang Melayu itu masih berpegang teguh dengan ajaran agamanya atau semua itu telah goyah. Sesungguhnya keruntuhan moral yang dialami oleh kebanyakan anak muda Melayu hari ini amat mendukacitakan.
Bagaimanakah bangsa Melayu ingin membina satu tamadun jika ilmunya lemah dan akhlaknya rendah. Sesungguhnya tidak ada tamadun yang terbina hasil daripada hiburan tetapi banyak sudah tamadun yang runtuh akibat daripada kerendahan ilmu, kelekaan dan hiburan keterlaluan.
Oleh itu usaha untuk mengisi kemerdekaan dan memastikan kemerdekaan itu dapat diwariskan kepada generasi akan datang pastinya memerlukan perancangan rapi. Acara sambutan hari kebangsaan bersifat hiburan harus dinilai semula dan segala usaha untuk memperbanyakkan aktiviti bercorak pengukuhan kefahaman dari aspek sejarah dan perjuangan harus terus digembleng.
Orang Melayu harus peka kedudukannya dalam segala aspek. Mereka perlu merancang, melaksana serta memantau setiap objektif dan strategi yang digubal sebaik mungkin kerana dengan pendekatan sedemikian kedudukan bangsa Melayu itu dapat dikenal pasti dan terus ditingkatkan.
Dasar-dasar dan perancangan yang telah dibentuk harus dikemas kini dari semasa ke semasa dan didukung dengan penuh rasa tanggungjawab.
Kurikulum pendidikan negara perlu terus diperkemas. Penekanan dari aspek character building kelas pertama harus dipupuk dari peringkat pra-sekolah lagi kerana pendidikan yang diterima oleh satu-satu generasi itulah yang akan mencorak pentadbiran mereka semasa memerintah negara di masa hadapan. Dengan kata lain keperluan kepada satu sistem pendidikan berpandangan jauh dan diyakini oleh setiap lapisan masyarakat adalah amat penting.
Wajibkan semua anak Melayu mendapat pendidikan di sekolah yang sistem pendidikannya dibentuk oleh bangsanya sendiri. Sesungguhnya orang Melayulah yang lebih tahu tentang apa yang terbaik untuk bangsanya.
Dengan kata lain usaha memperkasakan ketuanan Melayu memerlukan perancangan yang strategik. Pemimpin negara, pemimpin parti politik dan para sarjana Melayu harus duduk semeja mengkaji, merancang, melaksana, memantau dan menilai pencapaian bangsa Melayu itu secara komprehensif.
Friday, November 21, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment