Wednesday, December 29, 2010

Penubuhan UPB satu keperluan

Utusan Malaysia: Khamis, 30.12.2010

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Penganalisis ekonomi menyokong penubuhan Unit Perancangan Pelaksanaan dan Pemantauan Prestasi Ekonomi Bumiputera (UPB) yang dicadangkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana terdapat keperluan mendesak terhadap kewujudannya.

Penubuhan tersebut dilihat perlu bagi memastikan pencapaian 30 peratus ekuiti bumiputera tercapai.

Ketua Penyelidik, Akademi Kajian Syariah Mengenai Kewangan Islam (ISRA), Prof. Madya Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kewujudan unit tersebut perlu dilihat secara komprehensif dan holistik demi pembangunan ekonomi bumiputera.

“Sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) ditubuhkan pada 1971 hingga 1990, sasaran penguasaan 30 peratus ekuiti bumiputera masih tidak dicapai.

“Ia perlu direalisasikan agar bumiputera dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kaum lain dan memastikan pembangunan ekonomi negara yang seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas gesaan Perkasa supaya kerajaan menubuhkan UPB yang setaraf dengan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu).

Tambah Asyraf, UPB dapat memantau pembangunan ekonomi bumiputera secara keseluruhan dan memastikan tidak timbul sebarang ketirisan dalam agenda pembangunan itu.

Sementara itu pensyarah pengurusan strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, unit tersebut sepatutnya ditubuhkan lebih awal lagi.

“Ia boleh memantau dan menilai secara holistik segala agenda pembangunan bumiputera agar mencapai sasarannya. UPB akan menjadi lidah dan telinga kepada bumiputera.

“Gesaan tersebut perlu diperhalusi dan dilaksanakan agar satu bentuk pemantauan yang komprehensif dapat dibuat. Penubuhan unit ini juga dapat menghalang bumiputera daripada tercicir dalam arus transformasi negara,” ujarnya.

Tambahnya, penubuhan tersebut adalah amat baik kerana sebelum ini tiada badan yang memantau pembangunan ekonomi bumiputera secara menyeluruh.

Penjualan QSR, KFCH dibantah

KUALA LUMPUR 26 Dis. - Penganalisis ekonomi tidak bersetuju dengan langkah Johor Corporation (JCorp) mahu menjual QSR Brands Bhd. (QSR) dan KFC Holdings Bhd. (KFCH) kerana ia akan memberi kesan negatif kepada pelaburan bumiputera.

Pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, QSR serta KFCH merupakan satu cabang pelaburan bumiputera dalam bidang perniagaan.

Menurutnya, ia perlu terus diterajui golongan itu selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera.

Tambah beliau, memang tidak dinafikan JCorp akan mendapat keuntungan daripada penjualan tersebut tetapi ia hanya untuk tempoh yang singkat.

"Buat apa mereka mahu menjual kedua-duanya sedangkan keuntungan dijana QSR serta KFCH adalah jauh lebih baik selain dapat mengukuhkan kedudukan syarikat bagi tempoh jangka panjang.

"Lagipun, kedua-duanya merupakan wakil bumiputera dalam bidang perniagaan. Ia juga merupakan pelaburan terbaik bumiputera dalam bidang korporat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Beliau mengulas mengenai kemelut yang dihadapi JCorp dan usaha syarikat itu untuk menjual QSR serta KFCH.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin pula berkata, JCorp tidak perlu menjual kedua-duanya tetapi perlu menambahkan sedikit inovasi kepada penghasilan produk oleh QSR dan KFCH.

Katanya, tiada sebab untuk menjual kedua-duanya melainkan ia memberi beban kepada JCorp.

"Bumiputera akan rugi besar sekiranya JCorp berkeras mahu menjual QSR serta KFCH kerana jelas sekali ia membantu menjana keuntungan syarikat sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi bumiputera," jelasnya.

Pensyarah Kanan Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohamad Noorizuddin Nooh pula berkata, kemelut tersebut perlu diselesaikan segera kerana khuatir ada pihak yang cuba mengambil kesempatan terhadap isu itu untuk kepentingan peribadi.

Justeru, beliau berharap JCorp dapat mempertimbangkan semula rancangan untuk menjual QSR dan KFCH kerana ia akan memberi banyak kesan negatif kepada bumiputera.

Saturday, November 13, 2010

Ringgit wajar ditambat semula – Pakar ekonomi

Utusan Malaysia: Sabtu: 13hb Nov 2010

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Pakar ekonomi bersetuju dengan cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar ringgit ditambat semula bagi membolehkan negara mendapat lebih banyak faedah.

Penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, perkara itu memang wajar dikaji semula secara menyeluruh dan komprehensif.

“Membenarkan nilai ringgit ditentukan oleh pasaran terbuka telah menyebabkan nilai ringgit menjadi tidak stabil.

“Kestabilan ringgit penting dalam memberi keyakinan kepada pelabur dan pada masa sama akan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai cadangan Dr. Mahathir supaya ringgit ditambat semula bagi membolehkan negara mendapat faedah daripada pengukuhan nilainya.

Dr. Mahathir pada September 1998 telah melaksanakan sistem tambatan ringgit, sebagai salah satu reaksi untuk menangani kemelut mata wang Asia Timur 1997-1998 yang melanda Malaysia dan negara-negara rantau ini.

Bagaimanapun pada 21 Julai 2005, kerajaan memutuskan memansuhkan tambatan ringgit dan nilainya kemudian ditentukan dengan mengapungkannya secara terurus berbanding sekumpulan mata wang asing terpilih.

Jelas beliau, langkah tersebut perlu kerana apabila nilai ringgit dalam keadaan tidak menentu ia akan turut menyebabkan perniagaan tidak dapat diteruskan dengan cara yang boleh memberi keuntungan.

“Kita perlu menentukan nilai ringgit secara yang tetap supaya peniaga dan individu dapat tahu kedudukan kewangannya dan dengan itu urusan ekonomi akan berjalan dengan baik,” ujarnya.

Friday, November 12, 2010

Kusyukuri AnugerahMu Ini Ya Allah

Oleh: Samsudin Oli Mohamed
Gambar Oleh: Zamarizul Salleh

PENSYARAH KANAN UUM TERBAIK PhD DI UPM

UUM ONLINE: 20 Okt. 2010. Pensyarah Kanan, College of Business ( UUM COB ) Dr. Haim Hilman Abdullah, 37, di anugerahkan graduan Terbaik Doktor Falsafah daripada Graduate School of Management (GSM), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini.

Beliau yang sudah menyiapkan PhD dalam bidang Pengurusan Strategik sentiasa menjadi rujukan dari pihak akhbar di negara ini berkaitan dengan isu-isu perniagaan dan juga ekonomi.

Anak kelahiran Tanjung Malim Perak ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Selisek, Hulu Selangor dan Sekolah Menengah Khir Johari Tanjung Malim sebelum melanjutkan pengajiannya di University Portsmouth United Kingdom pada tahun 1996.

Dr. Haim Hilman yang ditemui berkata, kesusahan yang dialami ketika membesar dengan ibu bapa banyak mengajar beliau untuk terus menimba ilmu dan menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.

“Sewaktu saya berusia 13 tahun saya telah kehilangan ayah dan dibesarkan oleh ibu dan pendapatan kami bergantung kepada hasil upah menoreh di kebun getah milik penduduk kampung,” katanya.

Sewaktu di sekolah menengah beliau terpaksa bekerja kerana ibunya jatuh sakit pada usianya 15 tahun beliau mula menyara keluarga dengan menoreh di sebelah petang iaitu selepas pulang dari sekolah. Kepayahan hidup tidak pernah melunturkan semangatnya untuk berjaya di mana beliau berjaya melanjutkan pelajarannya ke University of Portsmouth, England.

Kepayahan yang dilalui ketika kecil dan bekerja sebagai pekerja am sambil belajar ketika menuntut di England membuatkan pensyarah yang telah menghasilkan lima buah buku akademik ini berjaya menghabiskan pengajian beliau di peringkat sarjana muda dan sarjana di England.

Beliau juga terbabit dengan pembentangan kertas kerja di seminar-seminar yang diadakan di dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat dan Australia.

Menyentuh mengenai bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini beliau berkata, keseluruhan bajet itu dapat membantu merangsang ekonomi negara selari dengan dasar kerajaan ke arah Model Ekonomi Baru (MEB).

“Saya lihat kekecewaan mungkin dirasai oleh kakitangan perkhidmatan awam dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dalam pemberian bonus namun kita perlu menyedari keadaan ekonomi negara sekarang tidak mengizinkannya kerana mengambil kira kewangan negara,” kata beliau.

Dr. Haim Hilman menambah Cuepacs telah berusaha menyampaikan suara majoriti hasrat kakitangan awamnya namun dalam masa yang sama mereka perlu melihat beberapa penambahbaikan dan keistimewaan yang telah dibentangkan dalam bajet itu.

“Disinilah perlunya ada kefahaman dari kedua belah pihak antara kerajaan dan Cuepacs untuk menangani isu-isu berkaitan,”sambungnya.

Setelah menghabiskan pengajian PhD ini, beliau berhasrat untuk bersama-sama universiti ini untuk menuju ke arah Universiti Pengurusan Terkemuka di dunia.

Menyentuh mengenai peluang yang ditawarkan kepada kakitangan akademik UUM untuk memilih mana-mana universiti terbaik di dunia untuk melanjutkan pengajian mereka dalam bidang PhD beliau berkata, ini merupakan langkah yang baik bagi meningkatkan lagi daya saing universiti untuk menjadi lebih kompetitif.

Beliau juga berharap dapat menyumbangkan buah fikirannya kepada dunia pendidikan terutama di UUM, Kementerian Pengajian Tinggi dan negara ini.

Tuesday, August 17, 2010

Respect existing cooperation

By ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
(Tuesday: 17.08.2010)

The request by MCA for the government to give priority to merit, instead of quota, in ensuring genuine partnership between bumiputera and the non-bumiputera in realising the objective of the New Economic Model (NEM) reflects the party’s unwise attitude to compete with DAP in wanting to win the hearts of Chinese voters.

As a 61-year-old party, the top-ranking MCA leaders should not have over reacted to DAP’s antics which has no respect at all for the feelings of its allies in the opposition pact, especially Pas, when making any statements.

For example, in the issue on the setting up of a Pas’ Islamic state, which DAP blatantly rejects, raising dissatisfaction among the Pas senior leaders.

Just look at the demands by MCA at the Chinese Economic Congress on achieving the objectives of NEM and the Tenth Malaysia Plan (10MP) in Kuala Lumpur last Aug 14. Among the demands were for the government to give licence for Class F contractors to those eligible based on their records and performance, regardless their race. Doesn’t the MCA President, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, realise that the Class F contractors, majority of who are bumiputera, have to depend on Chinese suppliers for building materials and others.So, who is the “economic king”, not the Chinese?.

Economic analyst and lecturer in strategic management, College of Business, Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah said the demands made at the Chinese Econonic Congress showed the shallow-thinking of the MCA leaders.

He said the MCA leaders were aware that the economy of the Chinese was far ahead from other race, including with high per capita income , followed by India and then the Malays.

“They know but are not sensitive and lack the spirit to help colleagues from the other races to also improve their economy.

“They also know that the income of majority of the Malays is still below the poverty level. If they are sensitive, they would not have made such demands,” he told Utusan Malaysia.

From the demands made by the MCA, Haim said it reflected that the MCA leaders had no understanding of fairness in the distribution of the country’s economic cake.

He said what they understood was that the country’s economy should be based on a free market.

“If that is implemented, the Malays will never succeed in all aspects of life, including economy, education and others.

“This is because majority of the Malays can’t still afford to compete with the Chinese since almost all the economic sectors are monopolised by the Chinese,” he added.

Therefore, he said, there was a need to enhance awareness among the MCA leaders on the concept of fairness and freedom in mobilizing the country’s economy.

Could the demands from this congress came about following the 31 resolutions on the improvement to the NEM passed by the Bumiputera Economic Congress organised by the Malay Consultative Council (MPM) last May.

If it is, this is an unhealthy development. Looking at this development, it is better that both parties sit at a table and come up with a resolution that would satisfy both sides in accordance to what is enshrined in the Constitution.

We understand that in current situation, MCA is under pressure to woo back the confidence of the Chinese voters. In almost all the by-elections held after the 12th general election, the Chinese votes have swung to the opposition.

Having been in the country’s mainstream politics for so long, MCA is expected to be wiser in dealing with the situation . The parry should also realise that the victory obtained by its candidates was because of the bumiputera votes .

What is worrying is that every request and statement from MCA could upset other races and this could create a prolong anger.

A mistake can destroy all that have been built with other component parties in Barisan Nasional (BN). Worst, it will show that there no longer exist cooperation among them.

It should be understood that the bumiputera, especially the Malays, have long suffered because of the action of the non-bumiputera, especially the Chinese and Indian, for their outrageous demands to win the votes of their respective communities.

What should be realized by all races is that whenever there is a new demand which affects the privilege and rights of the bumiputera, the bumiputera, especially the Malays feel slighted.

Therefore, all component parties in BN should ask themselves whether they want to sacrifice the harmony and peace which they have been enjoying for the sake of a political struggle of a certain race.

We are confident that nobody wants another May 13 to happen.

Hence, respecting the feeling of other races and understanding the meaning of cooperation should be understood by all leaders in the BN coalition.

Chief Statistician and Census Commissioner Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof . in a newspaper report dated Aug 12, 2010, revealed that among the problems faced by surveyors was on Chinese residents not being able to speak Malay or English.

“This should not happen because as Malaysians living in a country which has been independent for almost 53 years , they must at least know one of the languages,” she said.

Therefore, the resolution by the Chinese Economic Congress for more vernacular schools to produce students fluent in Mandarin is an irony.

If that is fulfilled, it is believed that one day, there would be no Chinese in the country who understands the national language.

With all the demands made at the Chinese Economic Congress, the existence of the lPertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) in defending the rights of the bumiputera should be viewed positively.

Monday, August 16, 2010

Hormati sepakatan sedia ada

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
Selasa: 17.08.2010


PERMINTAAN MCA yang mahu kerajaan mementingkan keupayaan merit dan bukannya kuota dalam memastikan perkongsian tulen antara bumiputera dan bukan bumiputera dalam menjayakan matlamat Model Baru Ekonomi (MBE) memperlihatkan sikap tidak matang parti itu untuk mendepani persaingan dengan DAP demi memenangi hati pengundi Cina.

Sebagai sebuah parti yang telah berusia 61 tahun, sepatutnya pemimpin tertinggi MCA tidak cepat melatah dengan tindak-tanduk DAP yang langsung tidak menghormati perasaan parti komponen pakatannya terutama Pas dalam mengeluarkan kenyataan. Misalnya, dalam isu penubuhan negara Islam mengikut acuan Pas yang jelas ditolak oleh DAP sehingga menimbulkan tidak puas hati sebahagian besar pemimpin tertinggi Pas.

Lihat sahaja apa yang dituntut oleh MCA dalam Kongres Ekonomi Cina Mencapai Sasaran MBE dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) di Kuala Lumpur pada 14 Ogos lalu. Antara lain yang dituntut adalah meminta kerajaan memberi lesen kontraktor kelas F kepada mereka yang layak berdasarkan rekod dan prestasi tanpa mengira kaum. Tidak tahukah Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek bahawa kontraktor kelas F yang majoritinya bumiputera terpaksa bergantung hidup kepada pembekal Cina untuk mendapatkan bahan-bahan binaan dan lain-lain.

Dalam soal itu, siapakah yang menjadi 'raja ekonomi', jika tidak peniaga Cina? Jika itu pun mahu diberi kepada bukan bumiputera, apa lagi yang bumiputera mampu lakukan dalam sektor ekonomi yang rata-ratanya dibolot oleh bukan bumiputera khususnya kaum Cina.

Penganalisis ekonomi dan pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, tuntutan yang terkandung dalam Kongres Ekonomi Cina itu menunjukkan betapa dangkalnya cara berfikir para pemimpin MCA.

Menurutnya, para pemimpin MCA tahu selama ini taraf ekonomi kaum Cina jauh mendahului kaum-kaum lain termasuk memperoleh pendapatan perkapita tertinggi, diikuti kaum India dan paling rendah adalah kaum Melayu.

"Mereka tahu tetapi tidak sensitif dan tidak ada semangat untuk membantu rakan-rakan daripada kaum lain untuk sama-sama meningkatkan taraf ekonomi.

"Mereka juga tahu majoriti orang Melayu masih hidup di bawah paras kemiskinan. Jika mereka sensitif, tentu mereka tidak buat tuntutan seperti itu," katanya kepada Utusan Malaysia.

Dalam meneliti tuntutan itu, Haim berkata ia jelas menunjukkan pemimpin MCA tidak faham maksud keadilan dalam pembahagian kek ekonomi negara.

Menurutnya, apa yang mereka faham adalah sektor ekonomi negara mesti digerakkan berasaskan pasaran bebas iaitu siapa yang bagus, dia yang akan dapat.

"Kalau itu yang dilaksanakan, maka sampai bila-bila pun orang Melayu tidak akan berjaya dalam segala aspek kehidupan termasuk ekonomi, pendidikan dan lain-lain.

"Ini kerana majoriti orang Melayu belum mampu bersaing secara kompetitif dengan orang Cina memandangkan hampir seluruh sektor ekonomi dikuasai oleh kaum itu," ujarnya.

Justeru, katanya, perlu ditingkatkan kesedaran para pemimpin MCA mengenai konsep keadilan dan kebebasan dalam menggerakkan ekonomi negara.

"Selagi mereka tak faham, selagi itulah mereka akan membuat tuntutan seperti ini," katanya.

Mungkinkah kesemua tuntutan daripada kongres itu lahir ekoran daripada 31 resolusi berkaitan penambahbaikan pelaksanaan MBE yang diluluskan oleh Kongres Ekonomi Bumiputera anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada Mei lalu?

Jika ya, ini satu perkembangan yang tidak sihat dalam suasana politik negara hari ini. MCA seolah-olah mahu membalas kesemua resolusi MPM tersebut.

Melihat perkembangan ini, mungkin lebih baik kedua-dua pihak duduk satu meja bagi mencapai resolusi yang mampu memuaskan hati kaum masing-masing mengikut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan.

Kita faham bahawa dalam keadaan sekarang, MCA terlalu terdesak untuk meraih semula sokongan pengundi Cina selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 dan pilihan raya-pilihan raya kecil selepas itu.

Hampir semua keputusan menunjukkan sokongan pengundi Cina beralih arah kepada pakatan pembangkang. Sepatutnya, dalam meniti 'usia emas', MCA semakin matang mengharung 'sepak terajang' dunia politik yang semakin mencabar pada masa kini.

Selain itu, MCA sepatutnya sedar bahawa calon mereka yang menang dalam pilihan raya adalah kerana undi bumiputera. Jangan lupa siapa yang memilih mereka.

Apa yang dibimbangi, setiap permintaan dan kenyataan MCA itu akan membuatkan perasaan kaum-kaum lain terhiris sekali gus membangkitkan kemarahan yang berpanjangan.

Tentu sekali jika tersilap langkah, pasti segala usaha baik yang dilakukan bersama parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) akan hancur berkecai dan lebih ditakuti jika ia menunjukkan bibit-bibit tiada lagi persepakatan yang dipersetujui selama ini.

Perlu difahami bahawa kaum bumiputera khususnya Melayu sudah lama 'menderita' akibat tingkah laku bukan bumiputera terutama Cina dan India yang membuat permintaan melampau dan keterlaluan demi meraih sokongan pengundi daripada kaum masing-masing.

Tidak adakah cara lain yang boleh digunakan untuk memujuk semula sokongan kaum masing-masing ke pangkuan MCA dan MIC. Kenapa mahu menjadikan kaum Melayu sebagai 'kambing hitam' dalam perkara ini?

Adakah kerana kaum Melayu terlalu berlembut hati dan tidak ambil peduli terhadap segala permintaan itu?

Hakikat yang harus diketahui oleh semua kaum adalah setiap kali muncul permintaan baru yang menghakis keistimewaan dan hak-hak bumiputera yang telah dipersetujui sebelum ini, hati dan perasaan kaum bumiputera khususnya orang Melayu yang menjadi majoriti penduduk negara ini disakiti.

Justeru, setiap parti komponen dalam BN perlulah insaf dan beringat iaitu apakah keharmonian dan keamanan yang dinikmati sekarang mahu dipertaruhkan demi perjuangan politik kaum yang begitu sempit?

Kita yakin bahawa setiap penduduk yang mempunyai akal fikiran yang waras tidak mahu mala petaka menimpa negara seperti peristiwa berdarah 13 Mei.

Justeru, menghormati perasaan setiap kaum dan memahami erti persepakatan yang telah diatur dan dilaksanakan selama ini menjadi satu tuntutan yang wajib dipenuhi oleh setiap pemimpin parti politik yang bernaung di bawah payung BN.

Hakikatnya, telah lama kaum Melayu beralah dan bertolak ansur sehingga ada yang berkata: "Biarkanlah ada penduduk yang tidak tahu berbahasa Kebangsaan, asalkan rakyat hidup aman.

Pesuruhjaya Banci dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof dalam laporan akhbar bertarikh 12 Ogos 2010 mendedahkan, antara masalah yang dihadapi oleh petugas banci adalah terdapat antara mereka tidak tahu berbahasa Melayu atau Inggeris.

"Rungutan kebiasaannya datang daripada masyarakat Cina yang hanya tahu berbahasa Mandarin. Ini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai penduduk Malaysia sejak merdeka hampir 53 tahun, sudah pasti mereka tahu menggunakan salah satu bahasa itu," katanya.

Justeru, resolusi Kongres Ekonomi Cina yang meminta agar digalakkan lebih banyak sekolah vernakular kerana ia akan membolehkan negara menghasilkan lebih ramai pelajar yang mahir berbahasa Mandarin serta meminta kerajaan tidak meminggirkan sekolah tersebut, amatlah ironis sama sekali.

Jika tuntutan itu dipenuhi maka kita percaya, satu hari nanti tidak akan ada penduduk Cina negara ini yang tahu berbahasa kebangsaan. Justeru, abaikan sahaja permintaan yang jelas meluaskan lagi jurang perbezaan kaum jika ia dipenuhi.

Diasak dengan pelbagai tuntutan yang semakin merimaskan, sepatutnya kemunculan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang lantang bersuara mempertahankan hak-hak bumiputera diterima dengan positif.

Sekurang-kurangnya setiap komen balas terhadap permintaan dan tuntutan melampau tersebut dapat diimbangi dengan maklum balas yang lebih adil sekali gus menyelamatkan maruah kaum bumiputera yang semakin tercalar.

Justeru, perjuangan mengekalkan ekuiti 30 peratus penyertaan bumiputera dalam semua sektor ekonomi negara perlu menjadi perjuangan setiap mereka yang mengakui status sebagai kaum bumiputera negara ini.

Ia bukan lagi perjuangan sebuah pertubuhan, sebaliknya perjuangan semua kaum bumiputera dari Sabah sehingga ke bumi Perlis.

Thursday, July 29, 2010

Melayu tercicir jika mansuh diskaun bumiputera

Utusan Malaysia: 29.07.2010 (Khamis)

KUALA LUMPUR 28 Julai - Walaupun tidak menjejaskan ekonomi Selangor, pemansuhan diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah boleh menyebabkan orang Melayu tercicir dalam aspek pemilikan hartanah mewah.

Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berpendapat, DAP sepatutnya lebih sensitif dengan pembangunan hartanah strategik yang lebih adil untuk semua kaum dan bukan sahaja berfokus kepada keuntungan semata-mata.

"Orang Melayu akan tercicir jika diskaun itu dimansuhkan kerana kuasa beli mereka kurang baik berbanding masyarakat Cina ditambah pula dengan harga hartanah yang meningkat setiap tahun.

"Langkah tersebut menyebabkan hanya masyarakat berkemampuan sahaja yang akan menguasai kawasan strategik di Selangor itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai sikap kerajaan negeri Selangor yang menyambut baik saranan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang meminta supaya dimansuhkan pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, cadangan Penasihat Ekonomi kepada Setiausaha Agung DAP itu merupakan sesuatu yang rasional kerana ia hanya melibatkan hartanah bernilai tinggi.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Hussin Baharuddin berkata, pemberian diskaun bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan rumah mewah tidak akan menjejaskan ekonomi di selangor.

"Saya yakin pemberian diskaun tersebut tidak akan menghilangkan keyakinan pelabur untuk melabur di negeri itu kerana ia sudah sekian lama berkuat kuasa malah diskaun yang diberikan hanya 5 peratus.

"Namun terjadi juga penipuan yang mana harga yang ditawarkan kepada orang Melayu jauh lebih tinggi berbanding harga asal iaitu lebih tinggi 10 peratus.

"Pemberian diskaun ini juga tidak melibatkan kepentingan pelabur jadi tidak perlu risau kerana ia hanyalah helah DAP untuk menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu supaya sama dengan orang bukan bumiputera,'' katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Shaufique Fahmi Sidique berkata, pemberian diskaun tersebut akan menggalakkan pemilikan hartanah oleh bumiputera tetapi tidak akan mengurangkan keyakinan pelabur kerana mereka akan membuat pelaburan jika ada keuntungan.

"Dari segi ekonomi memang diakui pengurangan diskaun atau subsidi akan menjadikan pasaran lebih efisien tetapi tidak semestinya adil dan baik untuk semua serta akan berlaku penguasaan hartanah oleh pihak yang berkemampuan sahaja.

"Saya bersetuju dengan cadangan Pas Selangor supaya satu kajian terperinci bagi membuktikan bahawa pemansuhan pemberian diskaun berkenaan akan meningkatkan lagi persaingan ekonomi serta keyakinan pelabur di Selangor,'' ujarnya.

Tambah beliau, jika cadangan pemansuhan itu diterima kerajaan Selangor, ia akan menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan kaum bumiputera.

Thursday, July 15, 2010

Ekuiti Bumiputera Perlu Telus

MStar Online Sabtu Jun 12, 2010

Oleh IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

PETALING JAYA: Pemilikan ekuiti korporat Bumiputera 30 peratus seharusnya dilihat secara lebih komprehensif dan memastikan kuota itu perlu ‘dihadiahkan’ kepada rakyat secara telus.

Penganalisis ekonomi, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, kerajaan perlu memastikan hanya mereka yang benar-benar layak dan kompetitif.

“Justeru, kita perlu melihat dari segi penguasaan ekonomi secara menyeluruh, bukan sekadar menumpukan sektor korporat semata-mata.

“Contohnya, apa guna Malaysia ada 10 jutawan Melayu, antara mereka yang menguasai ekuiti 30 peratus korporat Bumiputera jika masih ramai orang Melayu berpendapatan rendah dan berada di bawah paras kemiskinan?

“Tidak dinafikan bahawa nilai ekuiti itu boleh diteruskan sebagai penggerak untuk memperkasakan kekayaan Bumiputera, namun ia harus realistik dan lebih adil,” katanya ketika dihubungi mStar Online.

Beliau mengulas mengenai sasaran kerajaan untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro kekal.

Perkara itu terkandung di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kelmarin.

Antara lain yang terkandung di dalam RMK-10 adalah lima inisiatif strategik memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera.

Pertama, meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian.

Kedua, mempertingkatkan pemilikan harta golongan berkenaan.

Ketiga, menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera.

Keempat, membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas.

Kelima, menubuhkan satu majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.

Memperkasakan agenda membangunkan Bumiputera terus menjadi teras utama dasar pembangunan negara sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1971.

Mengenai pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian, kerajaan telah menubuhkan Ekuinas sebagai sebuah institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera.

Ekuinas turut berhadapan dengan cabaran seperti DEB, namun ia ditubuhkan khusus bagi memastikan penyertaan lebih bermakna dan berkesaan kepada Bumiputera dalam perniagaan.

Bagaimanapun Haim berkata, menerusi Ekuinas, ekutiti korporat itu lebih menumpukan kumpulan elit golongan berkenaan.

“Kita tidak mahu melihat Bumiputera elit sahaja maju ke hadapan, sedangkan golongan berpendapatan rendah dan di bawah paras kemiskinan terus kekal ‘keciciran’.

“Justeru, dengan lima inisiatif strategik yang terkandung dalam RMK-10 diharapkan dapat membantu memperkasakan Bumiputera secara menyeluruh dan seiring,” ujarnya.

Beliau menambah, keadaan itu sebenarnya merupakan wawasan besar dalam pemantapan ekonomi negara dan kerajaan juga seharusnya berlaku adil kepada bangsa lain.

“Kita tidak mahu bukan Bumiputera melihat dasar itu sekadar meminggirkan hak mereka untuk bersaing secara sihat dalam pembangunan ekonomi.

"Perkara ini perlu diteliti lebih jelas mengenai mekanisme persaingan itu dengan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri,” jelasnya.

Menurut Haim, pemilikan ekuiti masih lagi terhad sebanyak 30 peratus yang dilihat seolah-olah meneruskan kesinambungan kepada sasaran ekuiti melalui DEB.

Namun katanya, ia sekadar angka yang mungkin dianggap rasional oleh kerajaan dan bukan penentu nilai penguasaan mereka dalam ekonomi semata-mata.

Beliau berkata, keutamaan adalah menjadikan ia sebagai penanda aras kepada semua pihak untuk terus berusaha memastikan dasar ini benar-benar tersusun dan terancang.

“Sama ada pemilikan ekuiti 30 peratus itu masih lagi rasional atau tidak, apa yang lebih penting adalah melihat sasaran itu dapat direalisasikan.

“Kegagalan DEB mencapai sasaran ekuiti 30 peratus adalah pengajaran untuk kita semua agar terus ke hadapan memperkasakan ekonomi Bumiputera,” ujar Haim.

Sunday, May 30, 2010

Jambatan Bengkok Perlu Dikaji, Perhalusi Semula

Utusan Malaysia, Isnin (31.05.2010)

KUALA LUMPUR 30 Mei - Cadangan agar projek pembinaan Jambatan Bengkok dikaji semula disambut dengan pelbagai reaksi oleh pakar-pakar ekonomi namun rata-ratanya menyokong ia diteruskan.

Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, rundingan antara kerajaan Malaysia dengan Singapura perlu diadakan bagi mengkaji semula projek jambatan tersebut sama ada dibina semula atau dimansuhkan terus.

Jelasnya, perundingan di antara kedua-kedua negara membolehkan situasi menang-menang dicapai dan akhirnya akan memanfaatkan semua pihak.

Dalam pada itu, beliau berkata, dari segi ekonomi, kewujudan projek itu amat baik kepada pembangunan Malaysia terutama untuk kemajuan selatan negara ini.

"Lantaran itu, projek itu perlu dilaksanakan bagi meningkatkan aktiviti perdagangan di Johor.

"Kesungguhan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu-isu lama di antara Malaysia dan Singapura ini menyebabkan kemungkinan besar projek pembinaan Jambatan Bengkok akan dapat direalisasi semula," katanya apabila dihubungi oleh Utusan Malaysia semalam.

Projek pembinaan Jambatan Bengkok bagi menggantikan Tambak Johor telah dibatalkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada April 2006 atas perkiraan ia menelan belanja besar iaitu RM2.379 bilion.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO bahagian Pasir Gudang, Rohazam Shah Ahmad meminta kerajaan menggunakan kelebihan hubungan dua hala yang erat Malaysia-Singapura untuk meneruskan semula projek tersebut.

Jelasnya, ini kerana idea pembinaan jambatan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tetap relevan dan amat penting untuk diteruskan kerana akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada masa depan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari firma Fundsupermart.com, Koay Yi Chuan percaya projek berkenaan akan dikaji semula.

Beliau turut menjangka pelbagai idea lain akan dicetuskan oleh Malaysia dan Singapura demi kebaikan bersama.

"Lagipun kedua-dua pucuk pimpinan Malaysia dan Singapura bersetuju membangun dan memperkembangkan Iskandar Malaysia di Johor.

"Lantaran itu, ia mempunyai kemungkinan projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) akan diadakan di antara kedua-dua negara ini," katanya.

Bagaimanapun Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh tidak setuju dengan cadangan melaksanakan semula projek jambatan tersebut.

Katanya, ekonomi di negara ini sedang bergerak dengan baik, maka projek jambatan tersebut yang merupakan salah satu komponen fiskal tidak sesuai dijalankan pada masa ini.

"Projek jambatan ini akan memberi rangsangan yang baik apabila ekonomi sedang merosot kerana ia boleh mewujudkan peluang pekerjaan ketika itu.

"Tetapi, kini ekonomi Malaysia sedang bergerak dengan baik. Oleh itu, kerajaan seharusnya lebih memfokuskan kepada usaha memantapkan pembangunan berbanding melaksanakan projek gergasi yang tidak pasti keuntungannya," katanya.

Tambahnya, beban hutang kerajaan termasuk RM30 bilion kepada Bank Komanwel menyebabkan Malaysia ketika ini tidak lagi mampu untuk menanggung hutang lain termasuk untuk projek pembinaan jambatan tersebut.

"Kalau kerajaan melaksanakan projek jambatan ini, hutang negara akan meningkat kepada lebih 50 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Ia akan membawa kesan negatif yang besar kepada negara. Oleh itu saya rasa ia tidak sesuai dilaksanakan sekarang," katanya.

Thursday, May 27, 2010

Projek mega mampu imbangi tanggungan subsidi

Utusan Malaysia: Jumaat, 28.05.2010

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kerajaan disaran melaksanakan projek-projek mega bernilai tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan negara dalam jangka panjang bagi mengimbangi jumlah subsidi yang diberikan kepada rakyat.

Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, projek- projek mega mampu menjana pendapatan negara dan mencipta permintaan terhadap sesuatu sumber dalam skala yang besar untuk jangka panjang.

"Permintaan yang tinggi ini juga akan meningkatkan pergerakan ekonomi dalam negara serta mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat.

"Jika perkara ini berterusan, pendapatan negara akan meningkat setiap tahun dan mampu untuk mengimbangi jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai hasrat kerajaan untuk memansuhkan subsidi secara berperingkat-peringkat bertujuan menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Menurut Idris, cabaran masa depan dijangka lebih kompetitif dan Malaysia perlu mengikuti perkembangan terkini ke arah pengaliran pengurangan subsidi global.

Haim Hilman berkata, kejayaan projek mega dalam menyumbang kepada ekonomi negara sudah dibuktikan semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan mekanisme itu menjadi contoh terbaik.

Menurutnya, jika satu projek mega dilancarkan, kerajaan mampu mewujudkan rangkaian perniagaan vendor yang luas bagi menyokong projek tersebut dalam tempoh 10 tahun atau lebih.

"Permintaan terhadap sumber juga akan meningkat dan tidak putus. Contohnya permintaan terhadap simen, kayu, besi dan sebagainya akan terus bertambah sepanjang tempoh projek berkenaan berjalan.

"Dari segi ekonomi perkara ini sangat baik. Projek bernilai RM1 bilion dianggarkan mampu memberi pulangan sehingga RM12 bilion dan kesannya dapat dirasai rakyat secara langsung," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula subsidi yang diberikan kepada industri tertentu bagi memastikan setiap subsidi yang diberikan mampu memberi pulangan kepada negara.

"Ketika ini kerajaan hanya menyentuh pengurangan subsidi bagi petrol, tenaga dan tol yang ketiga-tiganya disalurkan kepada rakyat secara langsung.

"Jika subsidi ke atas sektor industri itu didapati merugikan, maka kerajaan perlu menariknya semula bagi memastikan sektor tersebut lebih kompetitif dan selaras dengan dasar liberalisasi ekonomi kerajaan,'' katanya.

Ditanya mengenai kemampuan kerajaan menjalankan projek mega, Haim Hilman berkata, pendekatan strategik boleh digunakan dan tidak semestinya kerajaan perlu menanggung keseluruhan kos sesuatu projek.

"Kerajaan harus bijak mencari pelabur atau menubuhkan syarikat usahasama. Kita boleh menggunakan dana orang lain untuk membangunkan ekonomi negara tetapi harus secara bijaksana,'' tegasnya.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pemberian subsidi secara berterusan pada dasarnya boleh membunuh ekonomi negara dalam jangka panjang tetapi untuk memansuhkannya bukan sesuatu yang mudah.

"Tindakan ini mungkin menjadikan kerajaan tidak popular tetapi rakyat boleh menerima cadangan ini jika kerajaan dapat membuktikan sesuatu daripada dasar penjimatan tersebut.

"Subsidi tidak boleh dihapuskan sepenuhnya tetapi perlu dikurangkan dan dipastikan hanya golongan yang layak sahaja menerimanya," katanya.

Menurut Ramon, negara maju seperti Amerika Syarikat juga masih memberikan subsidi kepada rakyatnya yang miskin tetapi pendekatannya berlainan dengan Malaysia.

"Mereka menggunakan sistem baucar bagi menggantikan subsidi dan cara ini dilihat mampu membantu golongan miskin di negara tersebut.

"Ini boleh dijadikan contoh, tetapi pelaksanaan dan pemantauannya perlu dijalankan dengan teliti bagi mengelakkan penyelewengan," katanya.

Thursday, May 20, 2010

Kekalkan Momentum

Oleh LEE HOOI BOON
pengarang@utusan.com.my (Jumaat 21.05.2010)

KUALA LUMPUR 20 Mei - Malaysia perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang dikecapi kini hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk terus bersaing pada masa hadapan.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mansor Jusoh berkata, pengiktirafan Malaysia sebagai 10 negara paling berdaya saing di dunia memberi imej positif kepada negara di peringkat antarabangsa.

"Namun, kerajaan tidak boleh leka dengan pujian ini, sebaliknya harus terus mengekalkan momentum itu kerana negara lain turut berusaha mencapai tahap yang sama.

"Dalam aspek pengurusan ekonomi, negara dilihat berada di landasan yang betul berbanding beberapa negara di rantau ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kejayaan Malaysia buat kali pertama berjaya menempatkan nama pada kedudukan 10 negara paling berdaya saing di dunia, mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 (WCY) yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpusat di Switzerland.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kejayaan Malaysia meraih kedudukan itu berkait rapat dengan inisiatif dan pendekatan GTP yang lebih liberal dalam sektor pembangunan ekonomi.

Menurutnya, Perdana Menteri mewujudkan suasana mesra pelabur dan gagasan 1Malaysia dilihat memberi impak besar dalam penjenamaan negara di peringkat antarabangsa.

''Imej merupakan elemen penting dalam ekonomi dan ini yang ditekankan oleh kerajaan dalam merangka pemodenan ekonomi negara.

''Kejayaan ini menjadi platform kepada negara untuk terus mengekalkan momentum dan fokus pada bidang yang lebih spesifik contohnya perbankan Islam yang mampu melonjakkan nama negara,'' jelasnya.

Beliau berkata, kejayaan Malaysia bersaing di rantau ini perlu diberi pujian kerana bukan mudah untuk menyaingi negara yang mempunyai sumber ekonomi besar seperti China dan Vietnam.

Katanya, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi kuasa besar dalam sektor ekonomi dunia jika semua pihak berusaha menjadi yang terbaik dan fokus dalam bidang tertentu.

Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Amir Baharuddin berkata, peningkatan status daya saing negara akan memberi persepsi positif kepada pelabur dan juga rakyat.

"Persepsi ini yang akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang jika daya saing berjaya dikekalkan dalam masa dua atau tiga tahun.

"Hasilnya rakyat tidak akan berkira untuk berbelanja dan pelabur akan menaruh kepercayaan terhadap perkembangan ekonomi negara,'' katanya.

Tambahnya, peranan kerajaan mewujudkan dasar yang lebih terbuka dalam perniagaan turut menyumbang kepada peningkatan daya saing negara dalam jangka masa yang singkat.

"Tetapi ia tidak akan bertahan lama kerana setiap perkara yang dirancang dalam ekonomi akan mencapai tahap optimum dan perlu diperbaharui dari semasa ke semasa untuk mengekalkan keberkesanannya,'' katanya.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membawa liberalisasi dalam sektor ekonomi negara.

Jelasnya, Model Baru Ekonomi (MBE) telah menampakkan kesannya dan melalui gagasan 1Malaysia, hasil kejayaan tersebut boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Selain itu, peningkatan daya saing di negara ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada usahawan tempatan malah, menarik perhatian pelabur asing untuk melabur di sini.

"Perkembangan yang berterusan itu membolehkan Malaysia mencapai matlamat melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi,'' katanya.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah pula berkata, peningkatan kedudukan daya saing tersebut merupakan satu permulaan yang baik.

Bagaimanapun, beliau menasihati para usahawan di negara ini supaya tidak sombong dengan kejayaan itu, malah, perlu bekerja lebih keras bagi memantapkan daya saing mereka.

"Mereka harus sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi persaingan di peringkat global," katanya.

Yin Huah juga berharap, kerajaan akan mendorong usahawan industri kecil dan sederhana memperluaskan pasaran ke luar negara dengan memperkenalkan insentif yang baik.

"Kerajaan boleh mencontohi negara asing yang memberikan ganjaran tertentu sebagai galakan kepada usahawan mereka mengembangkan perniagaan ke luar negara.

"Ganjaran berkenaan boleh dilakukan dengan mengurangkan cukai bagi membolehkan industri kecil meningkatkan produktiviti mereka agar mampu memenuhi permintaan di pasaran antarabangsa,'' katanya.

Friday, May 14, 2010

Kaji Gabung Bank-Bank Awam

Utusan Malaysia: 11.05.2010

KUALA LUMPUR 10 Mei - Pakar ekonomi, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan memberi pandangan bercampur berhubung cadangan supaya bank-bank awam di negara ini bergabung.

Kalangan mereka yang bersetuju berpendapat, penggabungan itu mampu menambah dana terkumpul bank berkenaan sekali gus meningkatkan keupayaan untuk mengurangkan kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam.

Ia juga membolehkannya mempelbagai produk pinjaman yang ditawarkan.

Bagaimanapun, ada juga yang menolak cadangan itu dengan alasan setiap bank berkenaan mempunyai matlamat penubuhan berbeza yang akan terhakis sekiranya digabungkan.

Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, bank- bank milik kerajaan kini tidak dapat menawarkan kadar faedah pinjaman yang rendah berikutan dana terhad yang dimiliki mereka.

"Penggabungan bank-bank awam ini adalah idea yang menarik untuk dikaji kerana akan mewujudkan sinergi dan membolehkan ia mempelbagaikan produk pinjaman yang ditawarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Malaysia kelmarin supaya bank-bank awam di negara ini bergabung sesama mereka.

Menurut Awang, langkah itu dapat menghentikan situasi bank-bank milik kerajaan yang kini hanya mengayakan golongan yang sudah kaya manakala yang susah terpaksa mencari ah long.

Haim Hilman berkata, penggabungan bank-bank awam terbabit akan memudahkan peminjam berurusan kerana akan terdapat lebih banyak cawangan di setiap negeri dan daerah.

"Sekiranya SME Bank kini mempunyai satu cawangan dan Agrobank sebanyak 10 cawangan, ini bermakna bank baru hasil penggabungan ini akan mempunyai 11 cawangan," ujarnya.

Mengulas isu sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, penggabungan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia menjejaskan fokus bank sedia ada.

"Misalnya tujuan penubuhan Agrobank adalah untuk memberi pinjaman dalam bidang pertanian manakala SME Bank untuk membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini.

"Jika penggabungan ini dilakukan, bank terbabit tidak lagi dapat memberikan perhatian secara khusus kepada sektor pertanian dan IKS seperti matlamat asal penubuhannya," kata beliau.

Tambah beliau, bank-bank awam sedia ada perlu dikekalkan dengan kerajaan membuat beberapa langkah penambahbaikan termasuk memastikan ia tidak menawarkan produk pinjaman yang sama sehingga berlaku pertindihan.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Syed Amin Aljeffri berkata, bank-bank milik kerajaan sedia ada dilihat tidak menghadapi masalah dari segi kualiti perkhidmatan.

Namun, jelasnya, bank berkenaan hanya perlu memperbaiki nilai atau kaedah yang diguna pakai terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

"Bank-bank itu juga harus melihat tujuan asal penubuhan mereka iaitu untuk membantu golongan usahawan terutama bumiputera.

"Tetapi, kebelakangan ini, operasi bank berkenaan seakan 'ditekan' agar mengikuti amalan bank-bank komersial atau swasta.

"Oleh kerana itu, matlamat asal penubuhannya sudah lari," katanya.

Bagi Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Amir Baharuddin pula berkata, setiap bank yang dimiliki kerajaan mempunyai bidang tugas yang berbeza.

Sambil menolak cadangan penggabungan itu, beliau menjelaskan bahawa mereka seharusnya memperbaiki sumber kewangan masing-masing dengan tidak hanya menumpukan kepada bon semata-mata.

"Kalau kita melihat model kejayaan bank-bank milik kerajaan atau koperasi di luar negara, banyak yang dilihat mencapai kejayaan berbanding bank swasta.

"Bank milik koperasi, sebagai contoh, permodalan mereka adalah berasaskan daripada ahli. Untuk itu, pengurusan permodalan ini perlu dititik berat agar perjalanan bank dijamin kukuh," tambahnya.

Tuesday, February 16, 2010

Jangan pandang ringan penipuan pelaburan

Utusan Malaysia: Rabu: 17.02.2010


KUALA LUMPUR 16 Feb. - Jangkaan Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengenai peningkatan penipuan menerusi pelaburan tidak harus dipandang ringan kerana ia mungkin membawa kerugian besar kepada individu yang kurang berpengetahuan dan berilmu dalam bidang itu.

Kalangan penganalisis ekonomi berpendapat, langkah awal perlu diambil bagi memastikan penipuan seperti itu tidak berleluasa.

Pakar ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pendidikan merupakan jalan terbaik bagi mengatasi kelicikan penipu yang mengambil kesempatan terhadap kelemahan individu-individu tertentu.

"Saya rasa PNB perlu turun ke kampung-kampung bagi menyedarkan penduduk luar bandar mengenai bentuk pelaburan yang selamat dengan yang terang-terang menipu.

"Perbanyakkan cawangan PNB di kampung-kampung. Ia bukan sahaja akan menggalakkan mereka melabur malah penduduk luar bandar juga boleh membuat rujukan terhadap sebarang bentuk pelaburan yang mereka minati," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman mengenai jangkaan itu yang dibuat berdasarkan peningkatan minat masyarakat khususnya di luar bandar terhadap bidang pelaburan.

Rektor Kolej Yayasan Melaka, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam kesal kerana masyarakat negara ini masih belum belajar daripada kebanyakan kes penipuan yang didedahkan.

Katanya, penipuan seperti itu bukanlah sesuatu yang baru tetapi ia tidak dijadikan pengajaran untuk masyarakat lebih berhati-hati dalam memilih pelaburan.

"Terdapat individu merasakan diri mereka lebih bijak berbanding orang lain yang pernah 'terkena' dan itu membuatkan mereka yakin tidak akan tertipu.

"Malangnya, mereka tidak sedar betapa penipu itu jauh lebih cerdik. Mereka sudah terlebih dahulu membuat kajian tentang bagaimana mahu melepaskan diri daripada mangsa masing-masing juga dari segi perundangan," jelasnya.

Justeru beliau mengingatkan bakal pelabur agar memilih bank atau organisasi yang memang diketahui selamat walaupun ada di antaranya cuma memberi pulangan wang yang sedikit.

"Berhati-hatilah membuat pelaburan terutamanya melalui Internet. Dalam mana-mana pelaburan, tidak boleh ada teori atas angin. Pelaburan itu perlu dipastikan jelas dan barang yang didagangkan juga perlu dipastikan wujud," katanya.

Pensyarah Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah pula menjelaskan golongan penipu itu biasanya akan menyenaraikan testimoni daripada individu terawal menyertai pelaburan ditawarkan dengan cara memberi pulangan lumayan dan konsisten kepada mereka.

"Individu berkenaan pula tentunya berasa seronok dan akan memperkenalkan pelaburan itu kepada rakan dan saudara-mara mereka.

"Daripada situ pelaburan itu akan berkembang sehinggalah sampai satu ketika, apabila yang menipu itu mula mendapat keuntungan lumayan, para pelabur akan ditinggalkan tanpa diberi pulangan dijanjikan," katanya.

Sunday, February 14, 2010

Jadikan penjualan MV Agusta sebagai iktibar

Utusan Malaysia:Sabtu: 13.2.2010

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Penganalisis ekonomi berharap isu penjualan pegangan Proton Holdings Bhd. (Proton) dalam MV Agusta Motor Spa (MV Agusta) menjadi pengajaran kepada syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membuat keputusan perniagaan.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, penjualan tersebut yang dilakukan hampir empat tahun lepas boleh dikatakan satu kesilapan kerana syarikat tersebut berpotensi untuk maju.

"Sepatutnya Proton menggunakan kelebihan yang ada pada MV Agusta untuk menaikkan imejnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai isu itu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya.

Menerusi laporan sebuah majalah, MV Agusta yang dibeli oleh sebuah syarikat dari Itali dengan harga 1 euro (RM4) untuk 57.75 peratus pegangan saham Proton telah berjaya dijual semula dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Kata Amir Hussin, Proton telah mengabaikan peluang tersebut hanya disebabkan kegagalan untuk menganalisis perniagaannya dengan baik.

Baginya, jika Proton ingin menjadi syarikat yang dipandang tinggi dalam dunia permotoran, ia seharusnya berusaha memperkembangkan MV Agusta dan menyelongkar kelebihannya daripada menjual pegangannya pada harga yang murah.

"Jika tidak, Proton boleh dijadikan satu bahan jenaka dalam dunia permotoran," ujarnya

Pensyarah Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman turut sependapat dalam hal itu apabila berkata, Proton tidak menilai potensi yang ada pada MV Agusta sebelum menjual pegangannya.

"Sekalipun ingin menjual pegangan tersebut, biarlah pada harga yang bersesuaian dengan imej MV Agusta," katanya.

Menurutnya, meskipun MV Agusta dikatakan memberi bebanan hutang kepada Proton, banyak alternatif lain boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu seperti menjalin kerjasama strategik dengan pihak lain.

"Sekurang-kurangnya Proton tidak menanggung beban sepenuhnya, malah mampu mewujudkan jaringan pasaran yang lebih luas," katanya lagi.

Baginya, GLC perlu mengambil iktibar daripada insiden itu selaras kedudukannya sebagai nadi ekonomi negara termasuk dalam aspek teknologi.

Walaupun menyedari perkara itu lebih bersangkut paut dengan risiko perniagaan, tetapi bagi beliau, GLC harus lebih terbuka menerima pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan yang boleh menjatuhkan imejnya