Thursday, May 27, 2010

Projek mega mampu imbangi tanggungan subsidi

Utusan Malaysia: Jumaat, 28.05.2010

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kerajaan disaran melaksanakan projek-projek mega bernilai tinggi yang mampu meningkatkan pendapatan negara dalam jangka panjang bagi mengimbangi jumlah subsidi yang diberikan kepada rakyat.

Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, projek- projek mega mampu menjana pendapatan negara dan mencipta permintaan terhadap sesuatu sumber dalam skala yang besar untuk jangka panjang.

"Permintaan yang tinggi ini juga akan meningkatkan pergerakan ekonomi dalam negara serta mewujudkan peluang pekerjaan yang banyak kepada rakyat.

"Jika perkara ini berterusan, pendapatan negara akan meningkat setiap tahun dan mampu untuk mengimbangi jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala mengenai hasrat kerajaan untuk memansuhkan subsidi secara berperingkat-peringkat bertujuan menggalakkan pemuliharaan yang lebih tinggi dan mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

Menurut Idris, cabaran masa depan dijangka lebih kompetitif dan Malaysia perlu mengikuti perkembangan terkini ke arah pengaliran pengurangan subsidi global.

Haim Hilman berkata, kejayaan projek mega dalam menyumbang kepada ekonomi negara sudah dibuktikan semasa era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dan mekanisme itu menjadi contoh terbaik.

Menurutnya, jika satu projek mega dilancarkan, kerajaan mampu mewujudkan rangkaian perniagaan vendor yang luas bagi menyokong projek tersebut dalam tempoh 10 tahun atau lebih.

"Permintaan terhadap sumber juga akan meningkat dan tidak putus. Contohnya permintaan terhadap simen, kayu, besi dan sebagainya akan terus bertambah sepanjang tempoh projek berkenaan berjalan.

"Dari segi ekonomi perkara ini sangat baik. Projek bernilai RM1 bilion dianggarkan mampu memberi pulangan sehingga RM12 bilion dan kesannya dapat dirasai rakyat secara langsung," jelasnya.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula subsidi yang diberikan kepada industri tertentu bagi memastikan setiap subsidi yang diberikan mampu memberi pulangan kepada negara.

"Ketika ini kerajaan hanya menyentuh pengurangan subsidi bagi petrol, tenaga dan tol yang ketiga-tiganya disalurkan kepada rakyat secara langsung.

"Jika subsidi ke atas sektor industri itu didapati merugikan, maka kerajaan perlu menariknya semula bagi memastikan sektor tersebut lebih kompetitif dan selaras dengan dasar liberalisasi ekonomi kerajaan,'' katanya.

Ditanya mengenai kemampuan kerajaan menjalankan projek mega, Haim Hilman berkata, pendekatan strategik boleh digunakan dan tidak semestinya kerajaan perlu menanggung keseluruhan kos sesuatu projek.

"Kerajaan harus bijak mencari pelabur atau menubuhkan syarikat usahasama. Kita boleh menggunakan dana orang lain untuk membangunkan ekonomi negara tetapi harus secara bijaksana,'' tegasnya.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Tan Sri Dr. Ramon Navaratnam berkata, pemberian subsidi secara berterusan pada dasarnya boleh membunuh ekonomi negara dalam jangka panjang tetapi untuk memansuhkannya bukan sesuatu yang mudah.

"Tindakan ini mungkin menjadikan kerajaan tidak popular tetapi rakyat boleh menerima cadangan ini jika kerajaan dapat membuktikan sesuatu daripada dasar penjimatan tersebut.

"Subsidi tidak boleh dihapuskan sepenuhnya tetapi perlu dikurangkan dan dipastikan hanya golongan yang layak sahaja menerimanya," katanya.

Menurut Ramon, negara maju seperti Amerika Syarikat juga masih memberikan subsidi kepada rakyatnya yang miskin tetapi pendekatannya berlainan dengan Malaysia.

"Mereka menggunakan sistem baucar bagi menggantikan subsidi dan cara ini dilihat mampu membantu golongan miskin di negara tersebut.

"Ini boleh dijadikan contoh, tetapi pelaksanaan dan pemantauannya perlu dijalankan dengan teliti bagi mengelakkan penyelewengan," katanya.

1 comment:

Anonymous said...

tahniah.
_wsv7087_