Thursday, May 20, 2010

Kekalkan Momentum

Oleh LEE HOOI BOON
pengarang@utusan.com.my (Jumaat 21.05.2010)

KUALA LUMPUR 20 Mei - Malaysia perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi yang dikecapi kini hasil Program Transformasi Kerajaan (GTP) untuk terus bersaing pada masa hadapan.

Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mansor Jusoh berkata, pengiktirafan Malaysia sebagai 10 negara paling berdaya saing di dunia memberi imej positif kepada negara di peringkat antarabangsa.

"Namun, kerajaan tidak boleh leka dengan pujian ini, sebaliknya harus terus mengekalkan momentum itu kerana negara lain turut berusaha mencapai tahap yang sama.

"Dalam aspek pengurusan ekonomi, negara dilihat berada di landasan yang betul berbanding beberapa negara di rantau ini,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Beliau mengulas kejayaan Malaysia buat kali pertama berjaya menempatkan nama pada kedudukan 10 negara paling berdaya saing di dunia, mengikut laporan World Competitiveness Yearbook 2010 (WCY) yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD) yang berpusat di Switzerland.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kejayaan Malaysia meraih kedudukan itu berkait rapat dengan inisiatif dan pendekatan GTP yang lebih liberal dalam sektor pembangunan ekonomi.

Menurutnya, Perdana Menteri mewujudkan suasana mesra pelabur dan gagasan 1Malaysia dilihat memberi impak besar dalam penjenamaan negara di peringkat antarabangsa.

''Imej merupakan elemen penting dalam ekonomi dan ini yang ditekankan oleh kerajaan dalam merangka pemodenan ekonomi negara.

''Kejayaan ini menjadi platform kepada negara untuk terus mengekalkan momentum dan fokus pada bidang yang lebih spesifik contohnya perbankan Islam yang mampu melonjakkan nama negara,'' jelasnya.

Beliau berkata, kejayaan Malaysia bersaing di rantau ini perlu diberi pujian kerana bukan mudah untuk menyaingi negara yang mempunyai sumber ekonomi besar seperti China dan Vietnam.

Katanya, tidak mustahil Malaysia mampu menjadi kuasa besar dalam sektor ekonomi dunia jika semua pihak berusaha menjadi yang terbaik dan fokus dalam bidang tertentu.

Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Amir Baharuddin berkata, peningkatan status daya saing negara akan memberi persepsi positif kepada pelabur dan juga rakyat.

"Persepsi ini yang akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dalam jangka masa panjang jika daya saing berjaya dikekalkan dalam masa dua atau tiga tahun.

"Hasilnya rakyat tidak akan berkira untuk berbelanja dan pelabur akan menaruh kepercayaan terhadap perkembangan ekonomi negara,'' katanya.

Tambahnya, peranan kerajaan mewujudkan dasar yang lebih terbuka dalam perniagaan turut menyumbang kepada peningkatan daya saing negara dalam jangka masa yang singkat.

"Tetapi ia tidak akan bertahan lama kerana setiap perkara yang dirancang dalam ekonomi akan mencapai tahap optimum dan perlu diperbaharui dari semasa ke semasa untuk mengekalkan keberkesanannya,'' katanya.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik berkata, kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak membawa liberalisasi dalam sektor ekonomi negara.

Jelasnya, Model Baru Ekonomi (MBE) telah menampakkan kesannya dan melalui gagasan 1Malaysia, hasil kejayaan tersebut boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

"Selain itu, peningkatan daya saing di negara ini bukan sahaja memberi keyakinan kepada usahawan tempatan malah, menarik perhatian pelabur asing untuk melabur di sini.

"Perkembangan yang berterusan itu membolehkan Malaysia mencapai matlamat melahirkan rakyat yang berpendapatan tinggi,'' katanya.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong), Tan Sri Pheng Yin Huah pula berkata, peningkatan kedudukan daya saing tersebut merupakan satu permulaan yang baik.

Bagaimanapun, beliau menasihati para usahawan di negara ini supaya tidak sombong dengan kejayaan itu, malah, perlu bekerja lebih keras bagi memantapkan daya saing mereka.

"Mereka harus sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi persaingan di peringkat global," katanya.

Yin Huah juga berharap, kerajaan akan mendorong usahawan industri kecil dan sederhana memperluaskan pasaran ke luar negara dengan memperkenalkan insentif yang baik.

"Kerajaan boleh mencontohi negara asing yang memberikan ganjaran tertentu sebagai galakan kepada usahawan mereka mengembangkan perniagaan ke luar negara.

"Ganjaran berkenaan boleh dilakukan dengan mengurangkan cukai bagi membolehkan industri kecil meningkatkan produktiviti mereka agar mampu memenuhi permintaan di pasaran antarabangsa,'' katanya.

No comments: