Friday, May 14, 2010

Kaji Gabung Bank-Bank Awam

Utusan Malaysia: 11.05.2010

KUALA LUMPUR 10 Mei - Pakar ekonomi, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan memberi pandangan bercampur berhubung cadangan supaya bank-bank awam di negara ini bergabung.

Kalangan mereka yang bersetuju berpendapat, penggabungan itu mampu menambah dana terkumpul bank berkenaan sekali gus meningkatkan keupayaan untuk mengurangkan kadar faedah yang dikenakan kepada peminjam.

Ia juga membolehkannya mempelbagai produk pinjaman yang ditawarkan.

Bagaimanapun, ada juga yang menolak cadangan itu dengan alasan setiap bank berkenaan mempunyai matlamat penubuhan berbeza yang akan terhakis sekiranya digabungkan.

Penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, bank- bank milik kerajaan kini tidak dapat menawarkan kadar faedah pinjaman yang rendah berikutan dana terhad yang dimiliki mereka.

"Penggabungan bank-bank awam ini adalah idea yang menarik untuk dikaji kerana akan mewujudkan sinergi dan membolehkan ia mempelbagaikan produk pinjaman yang ditawarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas cadangan Awang Selamat dalam ruangan Bisik-Bisik Mingguan Malaysia kelmarin supaya bank-bank awam di negara ini bergabung sesama mereka.

Menurut Awang, langkah itu dapat menghentikan situasi bank-bank milik kerajaan yang kini hanya mengayakan golongan yang sudah kaya manakala yang susah terpaksa mencari ah long.

Haim Hilman berkata, penggabungan bank-bank awam terbabit akan memudahkan peminjam berurusan kerana akan terdapat lebih banyak cawangan di setiap negeri dan daerah.

"Sekiranya SME Bank kini mempunyai satu cawangan dan Agrobank sebanyak 10 cawangan, ini bermakna bank baru hasil penggabungan ini akan mempunyai 11 cawangan," ujarnya.

Mengulas isu sama, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, penggabungan itu tidak wajar dilaksanakan kerana ia menjejaskan fokus bank sedia ada.

"Misalnya tujuan penubuhan Agrobank adalah untuk memberi pinjaman dalam bidang pertanian manakala SME Bank untuk membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negara ini.

"Jika penggabungan ini dilakukan, bank terbabit tidak lagi dapat memberikan perhatian secara khusus kepada sektor pertanian dan IKS seperti matlamat asal penubuhannya," kata beliau.

Tambah beliau, bank-bank awam sedia ada perlu dikekalkan dengan kerajaan membuat beberapa langkah penambahbaikan termasuk memastikan ia tidak menawarkan produk pinjaman yang sama sehingga berlaku pertindihan.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Syed Amin Aljeffri berkata, bank-bank milik kerajaan sedia ada dilihat tidak menghadapi masalah dari segi kualiti perkhidmatan.

Namun, jelasnya, bank berkenaan hanya perlu memperbaiki nilai atau kaedah yang diguna pakai terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.

"Bank-bank itu juga harus melihat tujuan asal penubuhan mereka iaitu untuk membantu golongan usahawan terutama bumiputera.

"Tetapi, kebelakangan ini, operasi bank berkenaan seakan 'ditekan' agar mengikuti amalan bank-bank komersial atau swasta.

"Oleh kerana itu, matlamat asal penubuhannya sudah lari," katanya.

Bagi Pensyarah Ekonomi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Amir Baharuddin pula berkata, setiap bank yang dimiliki kerajaan mempunyai bidang tugas yang berbeza.

Sambil menolak cadangan penggabungan itu, beliau menjelaskan bahawa mereka seharusnya memperbaiki sumber kewangan masing-masing dengan tidak hanya menumpukan kepada bon semata-mata.

"Kalau kita melihat model kejayaan bank-bank milik kerajaan atau koperasi di luar negara, banyak yang dilihat mencapai kejayaan berbanding bank swasta.

"Bank milik koperasi, sebagai contoh, permodalan mereka adalah berasaskan daripada ahli. Untuk itu, pengurusan permodalan ini perlu dititik berat agar perjalanan bank dijamin kukuh," tambahnya.

No comments: