Sunday, February 14, 2010

Jadikan penjualan MV Agusta sebagai iktibar

Utusan Malaysia:Sabtu: 13.2.2010

KUALA LUMPUR 12 Feb. - Penganalisis ekonomi berharap isu penjualan pegangan Proton Holdings Bhd. (Proton) dalam MV Agusta Motor Spa (MV Agusta) menjadi pengajaran kepada syarikat milik kerajaan (GLC) dalam membuat keputusan perniagaan.

Pensyarah ekonomi Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Amir Hussin Baharuddin berkata, penjualan tersebut yang dilakukan hampir empat tahun lepas boleh dikatakan satu kesilapan kerana syarikat tersebut berpotensi untuk maju.

"Sepatutnya Proton menggunakan kelebihan yang ada pada MV Agusta untuk menaikkan imejnya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan Utusan Malaysia mengenai isu itu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam blognya.

Menerusi laporan sebuah majalah, MV Agusta yang dibeli oleh sebuah syarikat dari Itali dengan harga 1 euro (RM4) untuk 57.75 peratus pegangan saham Proton telah berjaya dijual semula dengan harga yang jauh lebih tinggi.

Kata Amir Hussin, Proton telah mengabaikan peluang tersebut hanya disebabkan kegagalan untuk menganalisis perniagaannya dengan baik.

Baginya, jika Proton ingin menjadi syarikat yang dipandang tinggi dalam dunia permotoran, ia seharusnya berusaha memperkembangkan MV Agusta dan menyelongkar kelebihannya daripada menjual pegangannya pada harga yang murah.

"Jika tidak, Proton boleh dijadikan satu bahan jenaka dalam dunia permotoran," ujarnya

Pensyarah Pengurusan Strategik Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman turut sependapat dalam hal itu apabila berkata, Proton tidak menilai potensi yang ada pada MV Agusta sebelum menjual pegangannya.

"Sekalipun ingin menjual pegangan tersebut, biarlah pada harga yang bersesuaian dengan imej MV Agusta," katanya.

Menurutnya, meskipun MV Agusta dikatakan memberi bebanan hutang kepada Proton, banyak alternatif lain boleh digunakan untuk mengatasi masalah itu seperti menjalin kerjasama strategik dengan pihak lain.

"Sekurang-kurangnya Proton tidak menanggung beban sepenuhnya, malah mampu mewujudkan jaringan pasaran yang lebih luas," katanya lagi.

Baginya, GLC perlu mengambil iktibar daripada insiden itu selaras kedudukannya sebagai nadi ekonomi negara termasuk dalam aspek teknologi.

Walaupun menyedari perkara itu lebih bersangkut paut dengan risiko perniagaan, tetapi bagi beliau, GLC harus lebih terbuka menerima pandangan pelbagai pihak sebelum membuat keputusan yang boleh menjatuhkan imejnya

No comments: