Friday, November 21, 2008

Harap Bajet 2007 Bersifat Proaktif

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 23.8.2006

BAJET 2007 yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 1 September ini digambarkan oleh Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai menarik.

Adalah menjadi harapan semua agar ia akan menjadi bajet yang terus proaktif dalam memesatkan kegiatan ekonomi negara dan pada masa yang sama mesra perniagaan serta prihatin kepada rakyat.

Faktor-faktor seperti kenaikan harga minyak, kadar faedah, inflasi dan kedudukan geopolitik antarabangsa yang secara amnya memberi tekanan kepada rakyat di setiap peringkat sosioekonomi sememangnya wajar diambil kira secara serius.

Diharap Bajet 2007 mampu memberi kelegaan kepada rakyat dan sebagai contoh kesan kenaikan harga petrol sebanyak 18 peratus, elektrik 12 peratus dan tarif air yang bakal dinaikkan amat dirasakan hari ini terutamanya oleh mereka yang berpendapatan rendah.

Oleh itu, amat wajar kerajaan mempertimbangkan usul yang dibawa oleh Cuepacs yang menuntut kenaikan gaji sebanyak 40 peratus untuk kakitangan berpendapatan rendah yang mana gaji mereka sekarang ini sekitar RM550 sebulan.

Itulah jumlah yang dibawa pulang ke rumah setiap bulan untuk menyara keluarga dengan anak yang mungkin sedang membesar dan bersekolah. Kehidupan keluarga tersebut akan menjadi lebih perit lagi jika mereka tinggal di bandar besar.

Sebagai rakyat sebuah negara yang sedang pesat membangun, kelompok ini harus diberi keutamaan kerana majoriti mereka adalah orang Melayu dan antara penyumbang utama kepada penghasilan modal insan negara.

Menurut pakar ekonomi pembangunan, Profesor Jeffrey S. Sachs dari Columbia University, Amerika Syarikat baru-baru ini bahawa beliau yakin Malaysia boleh merealisasikan Wawasan 2020 jika dapat menyediakan sumber manusia bermutu terutamanya dalam bidang sains dan teknologi serta sektor perkhidmatan.

Dengan kata lain, usaha membina melahirkan modal insan kelas pertama harus dilakukan dan dilihat dari semua aspek perancangan negara.Insentif-insentif untuk golongan berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak cemerlang dalam pelajaran perlu dibentuk oleh kerajaan kerana pelajar cemerlang ini adalah aset terbaik sesebuah keluarga itu untuk keluar daripada kepompong kemiskinan untuk tempoh jangka panjang.

Guru boleh menjadi perantara terbaik untuk memastikan pelajar-pelajar berpotensi terus cemerlang.

Insentif seperti pengecualian yuran di semua peringkat pengajian rendah, menengah dan universiti untuk mereka yang benar-benar cemerlang di samping kemasukan secara automatik ke sekolah berasrama penuh wajar diwujudkan.

Usaha ini dijangka dapat merealisasikan agenda satu keluarga mempunyai seorang profesional dan modal insan kelas pertama. Dari sudut perniagaan pula, Menteri Kewangan Kedua menggambarkan bahawa Bajet 2007 akan terus memberi tumpuan kepada usaha-usaha membangunkan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Insentif-insentif baru dijangka diperkenalkan sejajar dengan usaha kerajaan yang menginginkan sumbangan PKS kepada ekonomi negara dipertingkatkan daripada kadar semasa iaitu antara 60 peratus ke 70 peratus sahaja ke tahap lebih tinggi. Kerajaan dijangka terus memberi tumpuan terhadap industri berorientasikan teknologi, perkhidmatan dan asas tani.

Potensi sektor ini untuk memberi sumbangan kepada pembangunan negara adalah amat besar dan secara khususnya di sini jugalah terletaknya pola terbesar masyarakat perniagaan dan perindustrian bumiputera.

Dalam pada itu, dana modal teroka di negara telah meningkat 14 peratus kepada RM2.6 bilion tahun lalu berbanding tahun sebelumnya dan hampir 40 peratus adalah dana yang disediakan kerajaan. Untuk industri asas tani satu pelan tindakan program pembangunan usahawan asas tani seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini adalah amat perlu.

Sejajar dengan itu adalah diharapkan agar Bajet 2007 akan mencetuskan kesungguhan tinggi di kalangan usahawan bumiputera untuk mempersiapkan diri dengan ilmu perniagaan dan sentiasa bersedia untuk bersaing merebut peluang yang wujud.

Kerjasama strategik antara usahawan, agensi kerajaan dan swasta harus dikenal pasti kerana menerusi perkongsian bijak yang dibentuk akan meningkatkan lagi daya saing mereka. Namun demikian usahawan bumiputera tidak harus berasa selesa (zon selesa) dengan bantuan-bantuan yang sedang dan bakal diberikan.

Adalah amat perlu buat mereka melihat sokongan dan insentif yang diberikan kerajaan itu sebagai kelebihan bersifat sementara. Mereka harus melipatgandakan usaha dalam membentuk kelebihan kompetitif dan berdaya saing serta mampu memperluaskan pasaran ke peringkat serantau dan antarabangsa dalam jangka masa singkat.

Semua tidak mustahil untuk dicapai jika mereka membuat perancangan yang baik, pelaksanaan dan pemantauan yang bersungguh-sungguh. Sejajar dengan itu kerajaan juga diharap dapat mengurangkan kadar cukai korporat sekarang ini iaitu pada 28 peratus ke paras lebih rendah.

Penurunan secara berperingkat-peringkat mungkin pendekatan terbaik. Penurunan ini penting kerana kadar cukai korporat yang tinggi berbanding negara serantau akan menjadikan Malaysia kurang kompetitif dalam konteks menarik pelabur asing melabur. Sebagai perbandingan kadar cukai korporat negara jiran seperti Singapura ialah 20 peratus, Hong Kong 17.5 peratus dan Taiwan 25 peratus.

No comments: