Thursday, November 20, 2008

Projek Pacu Ekonomi

Oleh: HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 21.07.2006

MENYOROT kembali sejarah dasar pembangunan ekonomi negara adalah pendekatan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia mengetahui kesungguhan kerajaan membina sebuah masyarakat Malaysia yang makmur dan maju.

Realiti dasar hari ini amat jauh berbeza dengan dasar-dasar yang dibentuk oleh kerajaan Inggeris semasa mereka menjajah Tanah Melayu ini kerana teras dasar mereka pada ketika itu ialah menjaga kepentingan mereka dan bukannya rakyat.

Kehidupan penuh kemiskinan yang dilalui oleh rakyat pada masa itu adalah titik hitam dalam sejarah negara. Namun demikian bukan marah tidak bertempat yang harus disemarakkan di sini tetapi kebijaksanaan mencorak hala tuju bangsa dan negara secara telus dan adil semasa memerintah anak bangsa sendiri harus menjadi agenda bersama.

Atas kesedaran itulah kerajaan dan rakyat yang diterajui oleh negarawan terbilang bersatu dan bersama-sama menggembleng fikiran dan tenaga untuk membentuk dasar pembangunan yang lebih telus dan adil. Jelas sekali pengorbanan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak Hussein, Tun Hussien Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara makmur dan maju adalah satu usaha yang tidak pernah sia-sia.

Kesinambungan kepada usaha mereka dan generasi terdahulu dapat dilihat menerusi kesungguhan seluruh rakyat Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini yang berusaha keras merealisasikan agenda membina kemakmuran dan kemajuan itu benar-benar menjadi kenyataan.

Sejarah jelas menunjukkan bahawa agenda membina kemakmuran adalah dasar utama kepada Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) sehinggalah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) 2006-2010.

Dasar ini menuntut semua lapisan masyarakat bermula daripada pemimpin tertinggi kerajaan, pendukung parti pemerintah, pemimpin dan pendukung parti pembangkang khususnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya bersama-sama berganding bahu supaya setiap agenda dalam rancangan besar ini menjadi realiti.

Tidak dinafikan kesungguhan seluruh rakyat Malaysia dalam beberapa tahun yang lalu telah membawa kepada tercapainya pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial yang membanggakan. Semangat ingin berjaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang mampu memberi kehidupan yang makmur kepada rakyatnya dan mampu menjadi negara maju pada tahun 2020.

Kemampuan negara mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 6.2 peratus setahun antara 1991 dengan 2005 walaupun pelbagai cabaran datang melanda adalah bukti kepada kemampuan negara menghadapi apa juga cabaran. Peningkatan lebih sekali ganda pendapatan isi rumah daripada RM1,169 sebulan pada tahun 1990 ke RM3,249 sebulan pada 2004 harus menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia dan patut dijadikan asas kepada penggemblengan tenaga secara kolektif yang lebih terancang ke arah mencapai wawasan negara.

Jika dilihat dari aspek sosial pula kadar kemiskinan telah menurun daripada 22.8 peratus pada 1990 kepada 5.7 peratus pada 2004. Ini jelas menunjukkan bahawa dasar-dasar yang digunakan oleh kerajaan telah berjaya membela nasib mereka yang terpinggir. Namun demikian ia menuntut usaha yang berterusan. Kesungguhan kerajaan dan rakyat harus bergerak seiringan.

Salah satu langkah yang harus diberikan penekanan ialah pendidikan kerana penurunan tersebut tidak akan membawa apa-apa makna sekiranya pendidikan ke arah melahirkan lebih ramai golongan pertengahan tidak diusahakan secara komprehensif.

Jurang pendapatan dan kekayaan masih yang wujud terutamanya antara kaum dan antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar harus dijadikan cabaran untuk berusaha dengan lebih gigih lagi.

Kemiskinan tidak harus menjadi label kepada mana-mana kaum di negara ini. Hapuskanlah polarisasi kaum yang masih boleh dilihat di sekolah, di tempat kerja dan dalam kehidupan awam keseluruhannya.

Hari ini negara berada dalam fasa kedua ke arah menjadi sebuah negara maju pada 2020 nanti. Era ini menuntut seluruh rakyat Malaysia melipatgandakan usaha dan kemajuan harus bersifat lebih holistik dan berjangka panjang serta mengikut acuan sendiri.

Lima teras utama yang menjadi misi nasional iaitu meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara, meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk ‘minda kelas pertama’, menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif, meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara harus difahami sebaiknya oleh mereka yang bertanggungjawab melaksanakan dan memantaunya.

Di samping itu rakyat bertanggungjawab menjadi mata dan telinga kepada kerajaan. Kepekaan rakyat dalam menyatakan kebenaran secara berhikmah adalah asas kepada ketelusan sebuah kerajaan dan kemakmuran sebuah negara.

Jika disorot pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan berkenaan 880 buah projek pembangunan baru bernilai RM15 bilion di bawah RMK-9 yang akan dikeluarkan tender tidak lama lagi jelas membuktikan bahawa kerajaan sentiasa berusaha membina sebuah masyarakat makmur dan maju.

Jika dilihat dari sudut ekonomi projek-projek tersebut akan merancakkan ekonomi negara dan secara langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan di semua peringkat sosioekonomi masyarakat.

Projek-projek termasuk pembinaan seperti 450 buah sekolah rendah dan menengah, jalan, jambatan, projek untuk meningkatkan bekalan air dan pembinaan terminal pengangkutan adalah projek-projek rakyat dan jelas sekali bukan untuk menjaga kepentingan golongan tertentu.

Secara khususnya pembentukan Dana Pemudahan bernilai RM5 bilion bagi membantu sektor swasta menjayakan projek menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) di bawah RMK-9 di samping kesediaan kerajaan meminta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengeluarkan peruntukan bagi membiayai sebahagian pembangunan projek adalah isyarat dari kerajaan kepada pihak swasta agar memainkan peranan lebih aktif dalam membangunkan negara.

Usaha kerajaan ini perlu disahut oleh pihak swasta dengan penuh rasa tanggungjawab atau dengan kata lain menganggapnya sebagai satu khidmat negara.

RMK-9 adalah rancangan rakyat, rancangan masa depan dan rancangan yang dibentuk untuk memastikan pewaris negara di masa hadapan dapat berbangga dengan usaha yang digembleng oleh generasi hari ini untuk mereka.

Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia sama ada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung bersama-sama berusaha merealisasikan RMK-9 ini. Lihatlah usaha ini sebagai satu jihad ke arah memartabatkan negara menjadi sebuah negara Islam yang makmur dan maju.

Tidak akan ada satu bangsa, negara, atau pihak luar yang akan datang membantu sesebuah negara itu menjadi maju melainkan bangsanya sendiri. Tidak akan ada kemakmuran dan kemajuan di sesebuah negara itu selagi rakyatnya tidak bangkit membela nasib negaranya sendiri. Hari ini telah menjadi tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia memastikan setiap dasar RMK-9 benar-benar didukungi dengan penuh rasa tanggungjawab.

No comments: