Oleh Ainul Asniera Ahsan
Utusan Malaysia: 09.09.2005
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Kerajaan dijangka akan mengumumkan penurunan cukai pendapatan individu dan meningkatkan kadar pelepasan cukai dalam Bajet 2006 bagi menjamin kesejahteraan rakyat dalam menghadapi keadaan ekonomi semakin sukar diramalkan.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah yakin kerajaan akan menurunkan cukai pendapatan dan meningkatkan pelepasan cukai kerana sentimen pengguna pada hari ini begitu kuat.
Katanya, langkah itu juga dapat membantu mengurangkan tekanan dan bebanan rakyat akibat inflasi.
Haim Hilman berkata, penurunan cukai pendapatan adalah langkah terbaik dalam membantu rakyat ketika ekonomi dalam keadaan tidak menentu.
``Dalam keadaan sekarang kerajaan sebenarnya perlu meningkatkan kuasa membeli kerana tanpanya ekonomi negara akan beku.
``Jadi untuk meningkatkan perbelanjaan, kerajaan perlu mengurangkan banyak cukai yang dikenakan kepada rakyat termasuk cukai pendapatan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada bajet 2005 kerajaan memberi pelepasan cukai pendapatan individu untuk caruman KWSP, takaful dan premium insurans hayat naik kepada RM6,000.
Mengulas lanjut, beliau tidak menafikan tindakan itu akan mengurangkan pendapatan negara tetapi yakin kerajaan mempunyai perancangan lain untuk menggantikan kekurangan itu dengan menaikkan cukai-cukai lain yang tidak membebankan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau juga meramalkan kerajaan tidak akan mengurangkan jumlah caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana tindakan itu akan merugikan rakyat.
``Perlu ingat KWSP adalah simpanan untuk hari tua dan kerajaan perlu mengekalkan jumlah carumannya kerana ia tidak merugikan orang ramai,'' ujarnya.
Cuma katanya, kerajaan perlu memastikan KWSP membuat pelaburan yang lebih efektif supaya dapat meningkatkan jumlah dividen.
Menyentuh langkah-langkah yang perlu diambil dalam membendung inflasi, beliau berkata, masalah itu hanya dapat diselesaikan dengan penguatkuasaan undang-undang kerana cara itu dapat mewujudkan suasana perniagaan yang harmoni.
Katanya, tidak ada gunanya kerajaan melancarkan pelbagai kempen termasuk jualan murah tetapi barangan yang dijual tidak berkualiti.
``Tanyalah sesiapa sahaja, mereka mungkin sependapat bahawa masalah ini hanya dapat diselesaikan dengan penguatkuasaan yang tegas,'' ujarnya. Ketua Pengarah Institut Kajian Pertumbuhan Ekonomi Melayu Malaysia (IKPEM), Datuk Ibrahim Saidun juga tidak menolak ada kemungkinan kerajaan mengurangkan cukai pendapatan dalam bajet nanti.
``Kalau kerajaan boleh mengurangkan cukai jalan mengapa tidak pada cukai pendapatan kerana cara ini boleh mengurangkan beban rakyat,'' katanya.
Paling penting, katanya, Bajet 2006 perlu meneruskan usaha kesinambungan untuk menghapuskan kemiskinan tegar, mempercepatkan pembangunan luar bandar dan membantu golongan tertentu melalui penyediaan pelepasan cukai.
Pengerusi Pusat Pengajian Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mansor Jusoh pula menjangkakan ada beberapa cukai terpaksa dinaikkan tetapi tidak banyak kerana kerajaan perlu membendung inflasi.
Katanya, walaupun langkah itu dilihat akan mengurangkan pendapatan kerajaan tetapi Malaysia mempunyai akta cukai yang luas dan ia boleh diseimbangkan dengan hasil kerajaan.
``Negara sebenarnya dalam keadaan inflasi kerana pada masa sekarang banyak barang mengalami kenaikan harga dan fenomena ini turut menyebabkan pelbagai cukai berasaskan nilai barang juga meningkat.
``Inflasi mengakibatkan pendapatan kerajaan meningkat,'' ujarnya.
Dr. Mansor berkata, kerajaan mungkin akan mengurangkan perbelanjaan dengan mengawal pembangunan sekiranya tidak menaikkan atau mengenakan sebarang cukai baru. Selari dengan langkah mengurangkan defisit.
Thursday, November 20, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment