Sunday, November 30, 2008

Naik Gaji Rangsang Produktiviti

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 23.05.2007

Keprihatinan kerajaan terhadap keluhan kakitangan awam khususnya dan rakyat amnya jelas terserlah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan kenaikan gaji baru kakitangan awam.

Kenaikan gaji ini membawa kepada pertambahan perbelanjaan negara sebanyak RM6.8 bilion setahun di samping pembayaran Elaun Sara Hidup (COLA) sebanyak RM1.2 bilion setahun. Secara keseluruhannya RM8 bilion setahun diperuntukkan oleh kerajaan untuk semakan gaji ini.

Fokus utama kerajaan untuk semakan gaji ini jelas kepada kumpulan sokongan. Kenaikan gaji ini dijangka memberi kesan besar kepada sosioekonomi kakitangan kerajaan yang berjumlah seramai 1,002,040 orang di samping 557,033 pesara. Secara khususnya, kenaikan ini menuntut kakitangan awam menjadi lebih komited, cekap dan produktif semasa menjalankan tugas.

Kesanggupan kerajaan memperuntukkan RM8 bilion setahun untuk membayar gaji kakitangannya diharap akan menjadi pemangkin kepada mutu kerja yang lebih berkualiti dan terpuji. Segala sifat negatif yang sering dikaitkan dengan kakitangan awam selama ini harus dihapuskan segera.

Sekarang adalah masa terbaik untuk kakitangan membalas jasa kerajaan iaitu dengan memberi mutu perkhidmatan terbaik setanding dengan negara maju. Hasrat ini tidak mustahil untuk dicapai sekiranya setiap kakitangan benar-benar bertanggungjawab terhadap tugas yang dipikul walaupun jawatan yang disandang serendah pembantu pejabat.

CUEPACS pastinya boleh memainkan peranan lebih berkesan dalam mendorong ahlinya memberi perkhidmatan lebih berkualiti tinggi iaitu setanding dengan negara maju.

Pada dasarnya faktor-faktor seperti kecekapan pemungutan cukai, kecekapan pengurusan kos, penurunan defisit perdagangan, peningkatan jumlah dagangan yang melepasi paras RM1 trilion tahun lepas, pertumbuhan purata KDNK pada 5.6 peratus, tahap kadar inflasi rendah, dan arah aliran positif Bursa Malaysia jelas menyumbang kepada kemampuan kerajaan melaksanakan semakan gaji dan menghadiahkan kepada kakitangannya kenaikan gaji tertinggi dalam sejarah.

Namun demikian usaha perlu terus digembleng agar setiap faktor yang menyumbang kepada kejayaan ini dapat dipertingkatkan dan pada masa yang sama segala usaha untuk mengatasi sebarang kelemahan sedia ada dapat diteruskan iaitu sehingga wawasan negara untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020 mampu direalisasikan.

Manfaat daripada kenaikan gaji ini pasti akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara kerana perbelanjaan pengguna akan memberi kesan gandaan dalam kitaran ekonomi. Namun demikian perbelanjaan berhemat harus menjadi teras kepada setiap kakitangan kerajaan khususnya dan rakyat amnya. Kesempitan hidup terutamanya di kalangan mereka yang berada di kategori kumpulan sokongan I dan II harus menggunakan pertambahan pendapatan ini sebijak-bijaknya.

Peruntukanlah sebahagian besar daripada pertambahan pendapatan itu untuk pelaburan hari tua dan pendidikan. Jadilah golongan yang sentiasa beringat dan berusaha keras ke arah mempertingkatkan diri dan keluarga dari perspektif pendidikan terutamanya.

Sekiranya setiap keluarga kakitangan awam daripada kumpulan sokongan I dan II iaitu berjumlah sekitar 754,235 orang itu memperuntukkan sebahagian besar pertambahan pendapatan itu untuk pendidikan diri sendiri untuk mereka yang masih bekesempatan ataupun untuk anak-anak mereka iaitu sehingga ke tahap memperoleh segulung ijazah dan akhirnya menjadi golongan profesional. Jika ini berjaya dilakukan maka pasti mereka akan dapat mengubah senario ekonomi keluarga mereka khususnya dan negara amnya.

Saranan Perdana Menteri yang mahukan kakitangan awam meningkatkan produktiviti dan kecekapan mereka dalam menjalankan tugas harus direalisasikan dengan penuh rasa tanggungjawab. Bermula dari hari ini sistem penyampaian yang tidak cekap harus menjadi sejarah di sektor perkhidmatan awam. Dengan kata lain telah tidak ada sebab untuk kakitangan awam tidak bermotivasi untuk melaksanakan setiap perancangan yang telah dirancang selama ini. Buat mereka yang mungkin terpaksa melakukan dua ataupun tiga pekerjaan dalam satu masa semata-mata kerana desakan kehidupan boleh menarik sedikit nafas kelegaan dan memberi tumpuan kepada tugas mereka sebagai kakitangan kerajaan selepas ini.

Kesan kenaikan gaji ini sewajarnya mampu memotivasi semua kakitangan kerajaan yang berkhidmat di seluruh negara termasuklah bagi mereka yang bertugas di kawasan pedalaman. Sewajarnya kerajaan mula memberi perhatian yang lebih serius ke arah penyediaan prasarana dan perkhidmatan yang lebih bermutu untuk masyarakat di luar bandar dan pedalaman. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mereka ini tidak terdedah kepada hak-hak mereka apabila berurusan dengan agensi kerajaan ataupun kakitangan kerajaan. Berapa ramaikah antara mereka yang akan menulis surat kepada kementerian terbabit apabila urusan mereka tidak ditangani dengan sewajarnya oleh kakitangan yang dipertanggungjawabkan. Oleh itu kerajaan perlu terus memantau mereka yang bertugas di pedalaman agar sistem penyampaian bermutu tinggi yang disasarkan itu tidak hanya boleh dirasai oleh mereka yang berurusan di Putrajaya sahaja tetapi di mana juga agensi kerajaan beroperasi.

Fenomena

Kenaikan harga barang setiap kali kerajaan menaikkan gaji telah menjadi satu fenomena. Peniaga menggunakan pelbagai alasan untuk menaikkan harga. Apa pun alasan mereka, tindakan menaikkan harga boleh ditakrifkan sebagai rompakan di siang hari. Siapakah mangsa utamanya? Jawapannya adalah jelas iaitu mereka yang berpendapatan rendah. Dalam konteks ini perompak tidak mengira mangsa tetapi golongan paling teraniaya adalah mereka yang berpendapatan rendah dan tidak tetap seperti petani. Satu langkah komprehensif dalam menangani masalah ini harus dibentuk, laksana dan perkemaskan dari semasa ke semasa.

Pada dasarnya langkah penguatkuasaan yang dilakukan setakat ini hanya tertumpu di bandar-bandar. Bagaimanakah nasib mereka yang menghadapi dilema yang sama di pedalaman Sabah dan Sarawak sebagai contohnya.

Ketegasan yang ditunjukkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP untuk memastikan penguatkuasaan dilaksanakan amat dialu-alukan dan perlu disokong. Namun demikian, usaha tersebut masih belum mencukupi kerana jumlah anggota penguat kuasa yang dimiliki oleh KPDNHEP terlalu kecil untuk memantau aktiviti perniagaan runcit di seluruh negara.

Oleh itu, satu kerjasama untuk mewujudkan Rakan KPDNHEP wajar diwujudkan dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain khususnya dan anggota masyarakat amnya. Sebagai contoh kerjasama dengan Kementerian Pelajaran akan membolehkan guru menjadi Rakan KPDNHEP iaitu menjadi mata dan telinga kepada KPDNHEP. Guru juga adalah golongan penguna.

Di samping itu kerjasama serupa wajar digembleng dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil masyarakat setempat dan individu yang berminat. Satu kempen berterusan untuk meningkatkan kesedaran rakyat juga wajar dibentuk dan diteruskan dan segala usaha yang berkaitan dengan pembentukan Rakan KPDNHEP atau seumpamanya wajar diperkemas dan direalisasikan agar masyarakat pengguna tidak terus menjadi mangsa kerakusan peniaga.

Pengguna sendiri perlu menggunakan kuasa beli yang ada di tangan mereka dengan bijak. Tindakan seperti memboikot barang yang dinaikkan harga ataupun membelinya pada kadar minimum mampu memaksa peniaga menurunkan harga barang terutamanya untuk barang-barang yang mudah rosak atau berjangka hayat pendek. Namun demikian kesan ini akan hanya dapat dirasai oleh peniaga jika pengguna bekerjasama dan bergerak secara kolektif.

Pada dasarnya usaha ini masih memerlukan penyelarasan kerana masyarakat pengguna masih belum begitu terdedah kepada pendekatan ini. Oleh itu NGOs berkaitan boleh memainkan peranan tersebut. Dengan kata lain hanya pengguna sahaja yang mampu mengubah keadaan itu. Setinggi mana komitmen KPDNHEP membuat penguatkusaan tidak akan dapat memberi impak yang besar kepada gejala rompakan di siang hari ini.

Gunakanlah kuasa membeli yang dimiliki sebaik-baiknya. Jika ini dapat dilakukan maka kesan daripada kenaikan gaji kakitangan awam yang majoritinya bumiputera akan dapat memberi impak lebih besar kepada mereka khususnya dan rakyat amnya.

No comments: