Sunday, November 30, 2008

Menilai Kekukuhan Ekonomi Negara

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 15.02.2007

KEJAYAAN Malaysia mencatatkan jumlah dagangan melepasi paras RM1 trilion pada tahun lepas adalah petunjuk utama kepada pemulihan ekonomi negara. Perkembangan positif ini pastinya mampu menarik lebih ramai pelabur asing pada masa depan. Namun demikian usaha harus terus digembleng agar kejayaan ini bukan sekadar dapat dipertahankan tetapi mampu dipertingkatkan iaitu ke tahap lebih membanggakan.

Untuk terus merangsang keyakinan pelabur asing dan tempatan agar menjadikan negara ini sebagai pusat pengembangan perniagaan pastinya memerlukan komitmen yang tinggi dari kerajaan dan agensi-agensinya yang berperanan secara langsung.

Pada dasarnya jumlah dagangan negara pada 2006 yang mencecah RM1.069 trilion iaitu kenaikan sebanyak 10.5 peratus berbanding tahun sebelumnya atau secara khususnya nilai eksport pada RM588.949 bilion dan import RM480 bilion hingga 493 bilion adalah tidak mustahil untuk ditingkatkan lagi jika sistem penyampaian sedia ada dapat dipertingkatkan ke tahap lebih efisien.

Peluang yang wujud di pasaran ASEAN sahaja sudah cukup besar dan sewajar dieksploitasi semaksimum mungkin kerana geopolitik, sosiobudaya dan iklim perdagangan negara-negara tersebut hampir sama dengan Malaysia.

Dengan kata lain tidak sukar untuk mereka mengetahui persekitaran perdagangan dan keperluan di negara-negara tersebut. Pelabur tempatan diharap akan menjadi lebih agresif dan kompetitif dalam segala aspek jika mereka benar-benar mahu mengungguli pasaran ini.

Di samping itu industri kecil dan sederhana harus dibawa bersama dalam arus ini. Ini kerana fokus mereka yang terlalu mengkhusus kepada pasaran domestik wajar diubah dan diharap agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dari pelbagai kementerian dapat bekerjasama dengan lebih erat agar langkah lebih holistik dan komprehensif dapat dibentuk semasa membantu mereka.

Sesungguhnya itulah tuntutan semasa jika Malaysia ingin mengukuhkan lagi dagangannya untuk tahun ini walaupun kadar pertumbuhan ekonomi dunia dan perdagangan global untuk tahun 2007 ini dijangkakan berkembang pada tahap sederhana.

Jangkaan Bank Dunia, ekonomi dunia akan meningkat pada kadar 3.2 peratus sahaja pada tahun ini berbanding 3.9 peratus tahun lalu di samping perdagangan dunia yang diramal berkembang secara sederhana pada kadar 7.5 peratus berbanding 9.7 peratus tahun sebelumnya tidak seharusnya menjadikan pelabur tempatan mengambil langkah terlalu berhati-hati.

Ini kerana tindakan sedemikian akan hanya melembapkan lagi ekonomi negara dan kadar pertumbuhan ekonomi pada 5.9 peratus seperti diunjurkan oleh Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) pasti tidak akan dapat direalisasikan.

Namun demikian, dalam kerancakan negara membangunkan ekonomi, sektor pertanian masih lagi belum mampu menjadi penyumbang utama kepada imbangan dagangan negara.

Seperti yang dilaporkan negara mengalami defisit RM17 bilion dalam sektor ini. Defisit ini adalah disebabkan oleh kegagalan negara menyaingi kadar keluaran, kualiti dan harga yang ditawarkan oleh negara asing yang mana produk pertanian mereka hampir menguasai keseluruhan pasaran negara.

Sesungguhnya satu mekanisme yang lebih komprehensif dalam melaksanakan dasar pertanian negara harus dibentuk dan diharap imbangan dagangan kepada RM1.2 bilion menjelang 2010 dapat dihampiri jika tidak dicapai sekalipun. Walaupun demikian usaha kerajaan membentuk persekitaran ekonomi yang positif bukan sahaja berjaya meningkatkan jumlah dagangan negara tetapi keyakinan pengurus dana asing dan tempatan melabur di pasaran ekuiti negara.

Kembalinya pelabur asing ke pasaran ekuiti negara adalah petunjuk paling jelas akan kemapanan ekonomi negara. Krisis dalaman di beberapa negara ASEAN pastinya turut menjadi penyebab kepada kecenderungan pelabur asing memilih Malaysia sebagai destinasi baru mereka dan kesempatan ini harus direbut oleh Malaysia sebaik-baiknya.

Pasaran ekuiti negara pada tahun ini telah merekodkan aliran menaik dan indeks dijangka terus kekal di atas paras 1,220.

Perkembangan ini adalah disebabkan oleh persekitaran pasaran yang positif di samping sokongan daripada projek- projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) akan dilaksanakan.

Namun demikian trend semasa pelaburan di pasaran ekuiti negara yang masih dipacu secara keseluruhannya oleh dana asing diharap akan disokong oleh pelabur dana tempatan dan peruncit dalam masa terdekat kerana kombinasi sedemikian akan merancakkan lagi pasaran ekuiti itu khususnya dan ekonomi negara amnya.

Petunjuk seterusnya yang boleh digunakan untuk menilai kekukuhan ekonomi negara ialah peningkatan nilai ringgit. Kekukuhan ringgit pada kadar RM3.35 berbanding 1 dolar AS untuk tahun ini dan dijangkakan akan terus mengukuh pada tahun hadapan. Jika trend ini berterusan maka negara dijangka akan dapat mengurangkan kerugian mata wang yang dialami semasa krisis kewangan serantau pada 1997 yang mana pada ketika itu nilai ringgit ditambat kepada RM3.80 bagi setiap 1 dolar AS berbanding sekitar RM2.50 bagi setiap dolar sebelumnya.

Secara khususnya faktor-faktor utama yang menyebabkan kenaikan ringgit adalah disebabkan oleh kedatangan para pelabur asing ke pasaran ekuiti tempatan terutamanya di kalangan mereka yang keluar dari pasaran ekuiti Thailand.

Ini adalah ekoran daripada krisis politik di negara jiran itu, kejayaan mencatatkan lebihan dagangan, kejatuhan harga minyak mentah dunia dan kejatuhan nilai dolar AS di samping pelaksanaan projek-projek mega dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9). Adalah dijangkakan bahawa peningkatan nilai ringgit ini akan turut memberi kesan positif kepada akaun semasa dan akaun modal negara.

Dalam konteks perdagangan pula, para pengimport barangan yang menjalankan urus niaga dalam dolar AS adalah pihak yang akan mendapat manfaat semasa akibat daripada kekukuhan ringgit ini kerana mereka boleh membeli barang pada jumlah yang sama seperti sebelumnya dengan kadar lebih rendah.

Di samping itu para pengguna juga akan merasai kesan positif tersebut kerana pada amnya harga barangan import akan menjadi lebih rendah. Namun demikian pengukuhan ringgit sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada para pengeksport tempatan yang menjalankan urus niaga dalam mata wang AS itu.

No comments: