Friday, November 21, 2008

Bersama Membendung Inflasi

Oleh: HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 24.10.2006

PADA umumnya inflasi bermakna “kenaikan harga yang berterusan dalam tingkat harga umum”. Harga umum itu merujuk kepada harga yang menggambarkan paras harga bagi keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi di sesebuah negara pada sesuatu masa tertentu.

Oleh kerana terlalu banyak bilangan barangan dan perkhidmatan yang ada pada sesuatu masa itu maka satu kaedah telah dibentuk untuk mengukur paras harga umum tersebut. Kaedah itu menggunakan pendekatan mengambil sebilangan barangan dan perkhidmatan di pasaran dan menjadikannya wakil kepada keseluruhan barangan dan perkhidmatan yang ada dalam sesuatu ekonomi itu. Kaedah ini jugalah yang digunakan di Malaysia dan harga barangan serta perkhidmatan tersebut diukur dan ia dipanggil sebagai Indeks Harga Pengguna (IHP).

IHP diukur dengan cara membandingkan purata harga barangan dan perkhidmatan pada tahun asas dengan purata harga bagi tahun semasa. Menerusi perbandingan inilah inflasi dapat dikenal pasti. Dengan kata lain kadar inflasi adalah peratus perubahan paras harga IHP barangan dan perkhidmatan tahun semasa berbanding tahun asas.

Peningkatan inflasi akan berlaku apabila paras harga umum terus meningkat secara berterusan dalam satu-satu tempoh masa. Sesuatu kenaikan harga yang bersifat sementara seperti kenaikan harga barang atau perkhidmatan akibat daripada faktor bencana alam atau kenaikan harga kerana dasar kerajaan seperti menaikkan kadar cukai barangan tertentu contohnya tidak dianggap sebagai inflasi kerana kenaikan harga sedemikian hanya berlaku sekali sahaja. Tetapi kenaikan harga minyak secara berterusan adalah contoh terbaik untuk mengilustrasikan faktor penyebab berlakunya kenaikan kadar inflasi.

Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, kadar semasa IHP negara pada Julai ialah 4.1 peratus berbanding 3.9 peratus pada Jun. Beliau menjangkakan kadar inflasi negara pula akan berada di bawah paras 3 peratus tahun depan berbanding 3.8 peratus pada masa ini.

Pergerakan positif penurunan kadar inflasi ini banyak disumbangkan oleh persekitaran pasaran harga minyak mentah dunia yang jatuh pada pertengahan tahun ini iaitu ke paras sekitar AS$60 setong berbanding hampir AS$80. Di samping itu pertumbuhan ekonomi global yang dijangka berkembang pada kadar sederhana dijangka turut mampu membendung tekanan inflasi untuk masa terdekat.

Usaha mengekang kenaikan kadar inflasi bukanlah tanggungjawab BNM semata-mata kerana usaha tersebut tidak akan berjaya jika tidak disokong oleh masyarakat pengguna. Kadar kenaikan harga yang tidak terkawal pasti akan memburukkan lagi kadar inflasi dan tidak mustahil mampu melumpuhkan ekonomi sesebuah negara itu. Ekonomi yang lumpuh pastinya akan membawa kepada permasalahan sosial yang serius dan akhirnya boleh menggugat kestabilan politik dan kerajaan.

Meningkatnya kadar inflasi bermakna meningkatlah kos sara hidup rakyat dan secara langsung akan menurunkan taraf hidup mereka. Asas utama kepada tuntutan kenaikan gaji yang diperjuangkan oleh kesatuan sekerja seperti Cuepacs dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sektor perkhidmatan awam/ berkanun ataupun swasta (mereka yang berpendapatan tetap) adalah kerana peningkatan kos sara hidup tersebut. Adalah jelas untuk dilihat hari ini bahawa kadar harga barang atau perkhidmatan yang sama yang pernah diperoleh dahulu telah meningkat naik. Ini bermakna kuasa beli untuk jumlah ringgit yang sama telah menjadi semakin kecil.

Jika dilihat dari sudut makro pula, kadar inflasi tinggi akan mengurangkan daya saing sesebuah negara. Secara khususnya ia akan menyebabkan syarikat menanggung peningkatan kos pengeluaran barangan dan perkhidmatan dihasilkan. Kesan negatif tersebut akan lebih dirasai oleh syarikat berorientasikan eksport. Jika ini berterusan ia mampu menyumbang kepada penurunan minat pelabur tempatan dan asing untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan mereka.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia bagi September 2006, kadar pertumbuhan ekonomi global diramalkan mengalami penurunan daripada 5.1 peratus pada tahun ini kepada 4.9 peratus pada tahun 2007. Beberapa pemerhati ekonomi tempatan pula menjangkakan kadar yang lebih perlahan lagi iaitu 4.7 peratus berbanding 4.9 peratus tersebut ekoran daripada kesan kenaikan harga minyak dan ketegangan geopolitik di beberapa negara.

Kini telah tiba masanya untuk seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memastikan kadar inflasi dapat dikawal dan diturunkan lagi dan akhirnya mencapai tahap inflasi sifar. Secara umumnya, inflasi boleh disebabkan oleh mana-mana satu daripada faktor-faktor ataupun kombinasi faktor-faktor seperti inflasi tolakan kos, tarikan permintaan dan inflasi yang diimport.

Untuk membendung inflasi tolakan kos, warga perniagaan iaitu pengeluar perlu memastikan tahap keefisienan operasi mereka berada di tahap tertinggi. Peningkatan kos upah sebagai contohnya pasti akan menurunkan kadar keuntungan mereka dan antara langkah popular yang sering diambil oleh syarikat untuk terus mengekalkan kadar keuntungan mereka ialah menaikkan harga barang. Apabila ini berlaku maka tingkat harga umum akan meningkat dan penyusutan nilai ringgit akan terus berlaku atau dengan kata lain kadar inflasi akan meningkat naik lagi.

Di samping itu pengeluar juga perlu bijak menjangkakan kadar permintaan dan penawaran barangan dan perkhidmatan mereka di pasaran. Kemampuan membuat jangkaan tepat penawaran dan permintaan mampu mengekang kenaikan kadar inflasi. Inflasi berlaku apabila terjadi peningkatan mendadak permintaan berbanding penawaran barangan dan perkhidmatan di pasaran pada sesuatu masa tertentu di sesebuah negara itu. Keadaan ini selalu juga berlaku apabila ekonomi sesebuah negara itu berada pada tingkat guna tenaga penuh.

Inflasi juga boleh wujud akibat daripada aktiviti import. Keadaan ini boleh berlaku apabila rakyat cenderung membeli barangan import. Kesannya dapat dilihat dengan ketara apabila berlaku peningkatan harga barangan akibat daripada peningkatan kos pengeluaran di negara pengeluar (asing) tersebut. Di samping itu kadar pertukaran wang di antara negara terlibat dan boleh juga menyumbang kepada peningkatan kadar inflasi. Sebagai contoh jika nilai tukaran ringgit jauh lebih rendah berbanding mata wang asing (negara pembekal) maka semakin tinggilah harga yang terpaksa dibayar oleh pengguna untuk mendapatkan barangan atau perkhidmatan yang diimport itu.

Langkah-langkah mewujudkan persekitaran pasaran terkawal amat perlu dan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KDNHEP) mengawal barangan tertentu dengan penetapan harga minimum dan siling sebagai contohnya adalah tepat pada masanya. Langkah ini pada dasarnya mampu membendung inflasi dari perspektif ini iaitu lebih dipengaruhi oleh faktor jangkaan pengguna.

Usaha harus digembleng agar pengguna tidak membuat jangkaan yang harga akan naik pada masa hadapan. Ini adalah perlu kerana jika mereka mula panik maka senario krisis gula yang berlaku baru-baru ini akan berulang dan tidak mustahil berlaku ke atas barangan atau perkhidmatan lain. Dengan kata lain inflasi akan meningkat apabila pengguna berbelanja secara ‘luar biasa’ akibat daripada andaian bahawa barangan akan kehabisan stok dan keadaan ini sering kali akan digunakan oleh pengeluar untuk meraih keuntungan berganda dengan meningkatkan harga barang atau perkhidmatan yang ditawarkan itu sesuka hati mereka.

Pendekatan semasa negara menerusi BNM iaitu mengamalkan Dasar Kewangan yang ketat dijangka mampu mengurangkan pertumbuhan penawaran wang di pasaran. Di samping itu kaedah penetapan kadar faedah pinjaman berorientasikan keadaan semasa dijangka turut mampu mewujudkan perbelanjaan awam terkawal terutamanya yang berorientasikan pinjaman.

Selain itu dasar fiskal iaitu termasuk pengawalan cukai bagi barangan seperti makanan, barang-barang elektrik, elektronik dan barang-barang isi rumah dijangka mampu menyumbang ke arah pengawalan kadar inflasi. Usaha-usaha kerajaan menggalakkan persaingan sihat antara industri agar mencapai tahap penghasilan produktiviti tertinggi, pemodenan teknologi dan daya saing industri dari segi harga produk harus terus disokong oleh warga perniagaan.

Dengan kata lain semua aspek yang menyumbang kepada peningkatan kos seperti sistem pengangkutan dan penghasilan bekalan makanan negara sebagai contohnya harus dipastikan berada pada tahap kecekapan maksimum.

Secara keseluruhannya usaha membendung inflasi ini adalah tanggungjawab seluruh rakyat Malaysia. Kempen antiinflasi ataupun inflasi sifar harus dirancakkan semula sehingga ia mampu menjadi isu utama semua pihak di setiap lapisan masyarakat.

Kempen-kempen ke arah mewujudkan persekitaran inflasi sifar yang telah diasaskan oleh kerajaan untuk membentuk pemikiran masyarakat pengguna yang mampu menyumbang kepada pembanterasan inflasi harus terus digembleng.

Langkah-langkah ke arah menggalakkan rakyat membeli barang buatan Malaysia, merancang pembelian, membeli barang keperluan sahaja, membudayakan sifat berjimat cermat, meminimumkan pembelian menggunakan kad kredit, menghapuskan amalan pencatuan di kalangan peniaga di samping terus berusaha membentuk imej pengguna bijaksana harus dipertingkat dari semasa ke semasa.

No comments: