Sunday, November 30, 2008

FTA: Ke Mana Hala Tuju Malaysia?

Oleh HAIM HILMAN ABDULLAH

Utusan Malaysia: 13.01.2007

KAWASAN Perdagangan Bebas (FTA) terbentuk menerusi kerjasama antara dua atau lebih negara yang pada dasarnya bersetuju untuk tidak mengenakan sebarang tarif atau mengurangkan tarif ke atas semua produk ataupun sejumlah produk yang diperdagangkan di antara negara-negara terbabit.

Malaysia adalah antara negara yang aktif membentuk kerjasama seperti ini. Setakat hari ini Malaysia telah melaksanakan empat pendekatan untuk memperkukuhkan kedudukannya dalam perdagangan dunia iaitu:

Menerusi kerjasama ekonomi-politik serantau - Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC)

Menerusi blok dagangan serantau - Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA)

Menerusi kerjasama perdagangan pelbagai hala di peringkat global - Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)

Menerusi perjanjian dua hala - FTA.

Rundingan-rundingan di peringkat kepimpinan tertinggi negara, menteri-menteri perdagangan antarabangsa dan industri, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan di antara negara-negara terbabit masih berlangsung dan harus diteruskan dari semasa ke semasa. Usaha ini wajar menjadi agenda semua pihak dan keadilan untuk semua harus menjadi asas utamanya. Dengan kata lain kesanggupan negara terbabit untuk merealisasikan konsep menang-menang pasti mewujudkan iklim perdagangan yang lebih sihat dan harmoni suatu hari nanti.

Namun demikian adalah diakui akan kesukaran untuk mewujudkan dan menggerakkan blok-blok dagangan yang berteraskan kesatuan seperti NAM dan OIC, serantau -ASEAN-AFTA, dan pelbagai hala - WTO secara menyeluruh kerana kebanyakan negara terbabit lebih terikat dengan mentaliti mementingkan diri sendiri.

Secara amnya selagi kecenderungan ini masih menebal di kalangan negara terbabit maka selagi itulah sukar untuk membentuk satu kawasan perdagangan yang bebas dan adil. Dengan kata lain program pengintegrasian ekonomi perlu disokong dengan program pengintegrasian dan pemahaman sosio dan budaya negara-negara yang terbabit juga.

Di atas kesukaran itu jugalah buat masa ini Malaysia mengambil langkah membentuk FTA dua hala iaitu dengan negara-negara tertentu sejajar dengan kepentingan ekonominya. Pada dasarnya pendekatan ini lebih berkesan dan mudah dilaksanakan. Sehingga kini Malaysia telah dan sedang merancang untuk melaksanakan perjanjian perdagangan dua hala FTA dengan Pakistan, Jepun, Chile, dan Amerika Syarikat (AS). Manakala melalui ASEAN, Malaysia sedang merundingkan FTA dengan Korea, Australia, New Zealand, China dan India.

Namun demikian Malaysia amat optimis bahawa kerjasama ini kemudiannya akan membawa kepada penubuhan Kawasan Perdagangan Bebas Asia Timur (EAFTA) yang dibentuk daripada satu jaringan beberapa FTA yang lebih kecil termasuk ASEAN-China FTA, ASEAN-Jepun FTA, ASEAN-Korea FTA, Jepun-China FTA, Jepun-Korea FTA dan China-Korea FTA.


Globalisasi

East Asia Summit (EAS) turut diharap mampu menjadi landasan yang lebih berkesan dalam membincangkan sesuatu perkara mengenai kepentingan ASEAN dan negara-negara Asia Timur iaitu China, Jepun dan Korea Selatan terutamanya dalam sektor perdagangan. Ini sekali gus diharap dapat mewujudkan pakatan yang lebih mantap bagi menghadapi cabaran globalisasi.

Produk-produk yang menjadi tumpuan perbincangan untuk setiap bentuk kerjasama FTA itu adalah berbeza-beza. Antara produk-produk yang sering dibincangkan oleh Malaysia dalam pembentukan FTAnya dengan negara tertentu ialah produk berasaskan pertanian, telekomunikasi, kewangan hak paten, kelengkapan elektrik, minyak sawit, peralatan optik dan instrumen, perubatan, perhutanan, penternakan haiwan dan perikanan, hartanah, borong dan peruncitan di samping berbagai-bagai produk lagi.

Namun demikian jika rundingan itu menggunakan kaedah blok perdagangan serantau seperti ASEAN FTA maka produk-produk yang dibincangkan dalam rundingan tersebut adalah berteraskan produk-produk yang dikeluarkan oleh negara-negara ASEAN itu.

Di samping itu perjanjian sepenting pembentukan FTA ini pastinya mengambil kira segala aspek kerana implikasinya bukan sahaja dapat dilihat dari sudut ekonomi tetapi politik dan juga sosial. Oleh itu kepentingan-kepentingan golongan tertentu seperti petani yang masih dikategorikan sebagai golongan berpendapatan rendah akan sentiasa dilindungi. Isu beras yang cuba dimainkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan akan berlaku lambakan beras dari AS di pasaran negara adalah tidak berasas sama sekali. Ini kerana beras tidak pernah disenaraikan dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas antara kedua-dua negara. Apa yang berlaku harus menjadi pengajaran kepada semua supaya perlunya perkongsian maklumat dilakukan secara menyeluruh. Penggunaan media elektronik dan cetak untuk menyebar maklumat terus kepada rakyat harus terus ditingkatkan.

Pelaksanaan FTA bergantung kepada apa yang termaktub dalam sesebuah perjanjian itu. Apabila termeterainya sesebuah FTA itu maka segala polisi perdagangan terdahulu terhadap produk-produk yang tersenarai dalam FTA akan terbatal. Namun demikian pembentukan FTA itu selalunya mengambil masa yang lama untuk dimeterai dan puncanya adalah jelas iaitu terlalu banyak aspek yang harus dihalusi. Sebagai contoh hasil rundingan FTA di antara Malaysia dan AS akan hanya dimeterai pada 2010. Pada dasarnya lebih kompleks dan rumit faktor yang dirundingkan itu maka lebih lamalah masa yang diperlukan.

Senario sikap berhati-hati ini dapat dilihat dengan jelas dalam konteks ASEAN sendiri kerana masih terdapat negara-negara yang masih belum membuat komitmen terhadap Kawasan Dagangan Bebas ASEAN (AFTA). ASEAN dianggotai oleh Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam. Kurangnya semangat ASEAN yang tinggi dalam aspek keterbukaan ekonomi harus diatasi dengan segera kerana cepat atau lambat ASEAN perlu bergerak sebagai satu entiti jika ia ingin terus menjaga kebajikan negara anggotanya dan rantau ini.

Produk
Adalah jelas bahawa FTA yang berjaya akan memudahkan perdagangan dan pelaburan serta melancarkan aktiviti eksport negara terbabit. Malaysia sebagai contohnya akan mempunyai hubungan perdagangan lebih baik dengan AS apabila FTA dengan negara berkenaan dimeterai pada 2010. Dengan kata lain produk-produk Malaysia akan lebih mudah memasuki pasaran negara itu berbanding para pesaingnya yang tidak mempunyai hubungan FTA dengan negara terbabit.

FTA harus dilihat lebih kepada usaha membuka pasaran dan menurunkan ataupun menghapuskan tarif sahaja tetapi hendaklah secara lebih menyeluruh. Di sinilah perlunya agensi yang terlibat secara langsung dalam pembentukan FTA secara khususnya memainkan peranan mereka dengan lebih berkesan lagi dalam mendidik masyarakat tentang apa itu FTA dan implikasinya kepada negara, bangsa dan individu itu sendiri.

Kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan dari berbagai latar belakang dan pertubuhan bukan kerajaan wajar dibentuk kerana pendekatan sedemikian akan mempercepatkan proses pemahaman rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat terhadap isu ini.

Rakyat harus diberi kefahaman sebaiknya tentang perlunya mereka meningkatkan daya produktiviti dan kualiti iaitu sehingga mampu bersaing secara terbuka dalam FTA yang dibentuk. Rakyat wajar melihat FTA sebagai satu peluang besar untuk mereka menjadi pemimpin atau pemain utama dalam sesuatu industri itu. Program-program pengkomersialan berkapasiti tinggi dan bermutu tinggi harus dijadikan budaya.

Mentaliti kerajaan akan terus melindungi sektor tertentu membuatkan mereka yang berada dalam sektor itu terus berasa selesa dan berkemungkinan tidak mahu memajukan diri ke tahap tertinggi. Sektor pengeluaran beras umpamanya yang mendapat perlindungan kerajaan dalam semua rundingan FTAnya harus melihat perlindungan itu sebagai satu kelemahan dan bukannya kelebihan.

Sifat tidak mahukan perlindungan istimewa pada setiap masa wajar dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Rakyat dan negara harus merenung apakah corak pertanian negara yang ingin dibangunkan untuk 100 tahun akan datang. Jika jawapannya negara mahukan warga tani berilmu dan berdaya saing hingga ke tahap global maka usaha itu harus digembleng dari hari ini dan di usia muda. Begitulah juga dengan sektor-sektor lain.

FTA bukanlah satu perkara yang menakutkan sekiranya seluruh rakyat Malaysia tahu peranan mereka. Kerajaan sewajarnya terus melindungi sektor-sektor yang masih lemah tetapi usaha berterusan dan secara komprehensif untuk memajukan sektor terbabit harus dikenal pasti dan dilaksanakan. Lihatlah FTA sebagai peluang dan bukannya ancaman. FTA itu wajar dilihat bukan hanya terbatas untuk tujuan mengeksport produk keluaran negara iaitu ke negara kerjasamanya tetapi kesempatan untuk syarikat-syarikat dari negara ini mengembangkan perniagaan mereka dan melabur di negara terbabit.

Oleh itu semua golongan perlulah bersifat optimis dan bukannya mengambil kesempatan untuk mengucar-ngacirkan keadaan terhadap segala usaha kerajaan dalam membentuk dan merealisasikan FTA dengan negara-negara maju seperti AS, Eropah, Jepun, Korea Selatan dan kuasa ekonomi dunia yang baru seperti China dan India.

No comments: