Oleh FADZILAH BAHARUDIN
fadzilah.bahar@utusan.com.my: 02.09.2009
KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pelbagai lagi inisiatif perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan ekonomi negara tumbuh dengan lebih cepat dan pesat.
Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah berkata, negara kini dalam proses fasa pemulihan tetapi pertumbuhannya tidak memberangsangkan.
"Negara kita sedang mengalami proses pergerakan ekonomi yang positif tetapi kita masih belum benar-benar keluar daripada kemelut tersebut. Kita masih bergantung kepada negara-negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan rakan dagangan utama yang sedia ada.
"Selagi kita bergantung kepada mereka sahaja, selagi itu ekonomi kita akan pulih pada kadar perlahan. Ini kerana ekonomi utama dunia seperti AS, Jepun dan Eropah masih bermasalah, jadi kita tetap akan menerima tempias," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Beliau yang juga pensyarah pengurusan strategik di Universiti Utara Malaysia (UUM) mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa ekonomi negara kini memasuki fasa pemulihan.
Najib berkata, tindakan kerajaan memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah puluhan bilion ringgit terbukti sebagai satu langkah yang tepat dalam membantu memulihkan prestasi ekonomi negara.
Jelas Haim Hilman, bagi memastikan ekonomi negara pulih, sudah tiba masanya kerajaan menjalinkan hubungan perdagangan lebih kukuh dengan kuasa ekonomi baru seperti negara-negara Amerika Selatan dan Eropah Timur.
"Kita sewajarnya tidak terlalu bergantung harap pada negara-negara besar seperti AS dan Jepun. Mengekalkan hubungan dengan mereka disamping meningkatkan lagi hubungan perdagangan dengan negara-negara lain seperti Brazil, China, India, Amerika Selatan dan Eropah Timur mampu mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara disamping mengukuhkan ekonomi untuk tempoh jangka masa masa panjang."
Mengulas isu yang sama, tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya dan kerajaan perlu mengubah beberapa dasar bagi memastikan pertumbuhan ekonomi terjamin.
"Sekarang memang kita lihat ekonomi berkembang perlahan namun ia tetap meningkat. Tetapi kita tidak tahu fasa pemulihan ini akan bertahan atau tidak.
"Jadi kerajaan perlu menukar lagi dasar-dasar sedia ada untuk membantu ekonomi dan rakyat," katanya.
Malah, katanya, kerajaan patut menarik lebih ramai pelabur asing masuk ke dalam negara bagi memastikan ekonomi negara berkembang pesat.
Pensyarah Pengurusan, Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Dr. Sarminah Samad berkata, ekonomi negara berpotensi untuk meningkat naik tetapi masih memerlukan masa dan pemantauan yang sempurna daripada kerajaan.
"Masih terlalu awal untuk melihat ekonomi kita berkembang atau tidak. Tetapi kerajaan perlu mewujudkan satu pelan bagi memastikan segala pakej rangsangan yang diperkenalkan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," katanya.
Sunday, September 6, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
salam sir..
usaha kerajaan membantu rakyat ptt dipuji..tp yg mencacatkan suma itu skrg adalah dari pelaksanaan..dari segi ketelusan dan sejauh mana dana yg diperuntukan kerajaan smpai kpd golongan sasaran.
melihat kpd situasi skrg kadar keyakinan rkyt terhadap kerajaan amat lah rendah..mgkn kerajaan ptt mengubahkan strategi agihan sebarang dana dan peruntukan agar lebih telus dan tepat kpd golongan sasaran tanpa menguntung mana2 pihak.
saya juga mengharapkan kerajaan dpt mengawal inflasi..kerana iflasi yg meningkat akan membebankan rakyat..sekaligus merencatkan proses pemulihan ekonomi scra menyeluruh
Salam Izzuan
Saya bersetuju dengan pandangan tuan. Kerajaan atau sesiapa sahaja yang berkuasa atau diberikan kepercayaan mentadbir negara atau organisasi bersedia meletakkan dirinya sebagai 'hamba'dan bukan 'raja' kepada golongan atau kumpulan yang mereka pimpin. Mungkin dengan cara itu mereka akan lebih ikhlas dalam memberi khidmat.
Kita tukar kerajaan..Yeahhhh...Kerajaan skang KapiTaLLis!!
Salam crewradix
Kematangan rakyat dan pemimpin adalah asas kepada pembentukan sebuah negara yang lebih adil dan demokratik.
Post a Comment