Monday, September 28, 2009

Laksanakan pakej rangsangan ekonomi ketiga

Utusan Malaysia: 23.09.2009

KUALA LUMPUR 22 Sept. - Kejayaan dua pakej rangsangan ekonomi terdahulu yang dilaksanakan kerajaan perlu disusuli dengan pakej rangsangan ekonomi ketiga.

Penasihat Korporat Kumpulan Sunway, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, langkah itu boleh dipertimbangkan kerajaan dengan mengambil kira defisit ekonomi dan bajet di institusi kewangan.

Menurutnya, pakej rangsangan ekonomi ketiga itu amat penting memandangkan terdapat permintaan serta keperluan untuk memberikan lebih 'dorongan' dalam rangsangan ekonomi.

''Keperluan itu berdasarkan kesan daripada dua pakej rangsangan ekonomi terdahulu dan saya beranggapan kerajaan wajar mempertimbangkan langkah itu jika berkemampuan,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini bahawa dua pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan oleh kerajaan sebelum ini mula memberi kesan positif terhadap pemulihan ekonomi negara.

Pakej rangsangan berjumlah RM67 bilion itu telah menjana peluang pekerjaan dan pendapatan kepada kontraktor kecil termasuk mereka di kawasan pedalaman.

Katanya, setakat ini sejumlah 83,939 projek telah ditawarkan di mana 53,076 projek bernilai RM6.07 bilion di bawah pakej pertama dan baki di bawah pakej kedua dirangka meliputi tempoh masa dua tahun.

Mengulas lanjut Ramon memberitahu, beliau bersetuju sepenuhnya bahawa pakej rangsangan ekonomi sudah menunjukkan kesan terhadap pemulihan ekonomi negara.

''Saya berkata demikian kerana prestasi ekonomi semakin meningkat dan pendapatan bagi kontraktor-kontraktor kecil semakin meningkat serta menampakkan impaknya daripada segi pertambahan peluang pekerjaan,'' ujarnya.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, walaupun masih terlalu awal untuk mengatakan pakej rangsangan itu berjaya namun beberapa langkah yang diambil oleh kerajaan memberikan reaksi positif.

''Bagi langkah domestik, ia berjaya memberikan pemulihan kepada negara, namun dalam konteks serantau masih terlalu awal untuk diperkatakan kesannya kerana ia boleh dilihat dalam tempoh dua tahun lagi,'' jelasnya.

Beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan perdagangan terbuka, Malaysia juga sedikit sebanyak menerima kesan dari pertumbuhan ekonomi di kalangan negara maju.

2 comments:

crewradix said...

Radix Crew Kembali!!!Mayday!!!Mayday!!!

Dr. Haim Hilman said...

Salam crewradix

Welcome back..