Monday, August 24, 2009

Wujudkan KPI untuk Felda, RISDA dan Felcra

Utusan Malaysia: 25.08.2009


KUALA LUMPUR 24 Ogos - Kerajaan digesa mewujudkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi memantau prestasi agensi-agensi perladangan Felda, RISDA dan Felcra di seluruh negara.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah berkata, sekarang masa terbaik bagi melihat semula objektif penubuhan ketiga-tiga agensi berkenaan serta menilai keberkesanannya.

"Jadi sebesar mana pun konsortium yang hendak ditubuhkan, ia tidak akan membebaskan golongan ini daripada belenggu kemiskinan sekiranya pelaksanaannya masih lemah.

"Oleh itu kita perlu wujudkan KPI untuk pantau prestasi Felda, RISDA dan Felcra di seluruh negara,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya ketiga-tiga agensi berkenaan bergabung mewujudkan satu konsortium, bagi melaksanakan pelbagai projek industri hiliran.

Dalam satu majlis di Pekan, Pahang semalam, Najib menyarankan ketiga-tiga agensi itu membentuk konsortium secara bersama bagi melaksanakan pelbagai projek industri hiliran berimpak tinggi.

Bagi Haim, sekiranya konsortium itu berjaya dilaksanakan dengan telus dan cekap pada masa hadapan, kerajaan sudah tentu berupaya membasmi golongan miskin tegar yang kebanyakannya melibatkan petani dan pekebun kecil.

"Konsortium itu nanti sudah tentu dapat menolong pekebun kecil dengan membeli produk mereka pada harga tinggi berbanding apa yang ditawarkan orang tengah sekarang, jadi pekebun kecil tidak lagi akan menangis kelaparan seperti sebelum ini,'' tegasnya.

Seorang lagi pakar ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya berpendapat, pelaksanaan konsortium itu harus dilakukan secara berhati-hati agar tidak timbul masalah pertindihan fungsi di antara ketiga-tiga agensi itu.

"Contohnya, sekarang mungkin ketiga-tiga agensi mempunyai koperasi masing-masing jadi selepas ini, perlu ada mekanisme memastikan fungsi sebegitu tidak bertindih,'' jelasnya.

Dalam pada itu, bekas Pengerusi RISDA, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib percaya rancangan penubuhan konsortium itu bakal memberi manfaat besar kepada golongan petani dan pekebun kecil serta para peserta rancangan pembangunan tanah terlibat.

"Tetapi ia harus dilakukan dengan berhati-hati iaitu secara berperingkat. Mungkin kerajaan juga perlu mendapatkan kepakaran daripada Universiti Putra Malaysia (UPM),'' katanya.

Bekas Pengerusi Felcra, Datuk Hamzah Zainudin pula berkata, ketiga-tiga agensi itu boleh bekerjasama dalam pelbagai bidang selain industri pembuatan baja.

"Contohnya adakan sebuah loji penapisan yang boleh diguna secara bersama dan yang paling penting, terokai pasaran dan perkara lain di luar negara secara bersama,'' ujarnya.

No comments: