Sunday, July 12, 2009

ASM: Jangan jual kuota bumi

Oleh ainul asniera ahsan
ainul.ahsan@utusan.com.my
13.07.2009

KUALA LUMPUR 12 Julai - Permodalan Nasional Berhad (PNB) didesak supaya tidak mengambil jalan singkat menjual unit Amanah Saham Malaysia (ASM) kuota bumiputera yang masih gagal dilanggani kepada pelabur bukan bumiputera.

Tindakan itu bukan hanya tidak membantu penyertaan bumiputera dalam industri unit amanah saham tetapi bakal meluaskan lagi jurang pemilikan ekuiti kaum bumiputera dengan kaum-kaum lain di negara ini.

Sebaliknya, PNB disaran lebih kreatif termasuk menggunakan pengaruh 'paksaan' bagi menarik penyertaan bumiputera melanggan unit-unit yang ditawarkan.

Pakar ekonomi, Dr. Hamzaid Yahya mempersoalkan tindakan PNB itu sambil mendakwa tindakan itu sudah menyimpang daripada matlamat asal penubuhan firma pelaburan terkemuka itu.

Menurut beliau, PNB ditubuhkan di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan tujuan untuk meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera dan meskipun DEB sudah tiada tetapi rohnya masih kuat khususnya bagi kaum Melayu.

''Cadangan PNB ini bukan sahaja tidak membantu tetapi melebarkan lagi jurang pemilikan ekuiti kaum Melayu dengan kaum-kaum lain.

''Saya tidak nampak PNB akan mengalami kerugian sekiranya kuota ASM untuk bumiputera masih gagal dihabiskan.

''Dan, situasi ini juga menunjukkan PNB masih belum cukup berjaya untuk menarik penyertaan kaum bumiputera melabur,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman kelmarin bahawa PNB akan menjual kuota bumiputera bagi unit ASM kepada kaum lain sekiranya dana itu masih tidak mendapat sambutan di kalangan bumiputera.

ASM yang mempunyai saiz dana 3.3 bilion unit menyaksikan kuota kaum Cina habis dilanggan sepenuhnya manakala kuota India pula semakin hampir dilanggani sepenuhnya.

Hamzaid bimbang sekiranya kuota unit ASM itu mula dibuka kepada semua, tidak mustahil pendekatan yang sama akan digunapakai kepada unit-unit amanah lain juga.

Hamad Kama Piah juga berkata, selain ASM, terdapat dana lain seperti unit Amanah Saham Wawasan 2020, Amanah Saham Didik, Amanah Saham Nasional dan Amanah Saham Nasional 2 yang masih lagi belum habis dilanggani bumiputera.

Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Datuk Salleh Majid yang tidak menyetujui langsung langkah itu, berkata PNB tidak seharusnya ketandusan idea untuk menarik penyertaan bumiputera melanggan unit-unit amanah yang dijualnya.

Jelasnya, sebagai sebuah firma yang gah, PNB tidak boleh sekadar menjual produk tetapi juga perlu mempunyai kepakaran memasarkan produk-produknya khusus kepada golongan bumiputera.

''PNB tidak boleh berterusan mengguna pakai pendekatan yang berhati-hati kerana tindakan seumpama itu tidak membantu meningkatkan kefahaman atau menarik penyertaan kaum bumiputera.

''Sebab itulah, kaum bumiputera masih kurang memahami industri unit amanah dan apabila pemahaman kurang, inilah yang terjadi (kurang penyertaan bumiputera),'' jelas beliau.

Penganalisis ekonomi tempatan, Profesor Madya Dr. Mohd. Noor Yazid juga tidak setuju dengan pendekatan yang bakal diambil PNB kerana dianggap sebagai liberal dan mampu menjejaskan matlamat asal penubuhannya.

Katanya, PNB yang kini berusia 30 tahun sepatutnya mengakui hakikat bahawa kaum bumiputera masih lagi terkebelakang dalam aspek kuasa beli kerana bangsa itu bukan pemain utama dalam ekonomi negara.

''Dalam konteks sebagai sebuah negara berbilang bangsa memang menjadi satu keperluan memperuntukan kuota-kuota khusus bagi setiap bangsanya.

''Dan kuota itu perlu dihormati termasuklah dalam konteks isu ini,'' ujar beliau.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah pula berpendapat, biarpun masih terdapat dana-dana amanahnya yang lain, cadangan PNB itu seolah-olah meminggirkan kepentingan hak bumiputera.

Jelasnya, meskipun tindakan itu baik untuk pertumbuhan ekonomi negara bagi jangka pendek tetapi langkah itu seperti menarik balik keistimewaan orang Melayu.

''Dalam memacu ekonomi negara, memang perlu dasar liberalisasi tetapi sekiranya terlalu liberal dalam semua aspek ekonomi, ia akan memberi ancaman kepada kaum bumiputera sebagai kaum majoriti,'' tambahnya.

Haim Hilman berkata, sepatutnya kegagalan PNB menjual apa sahaja produk bagi kuota bumiputera tidak timbul sekiranya PNB mengubah strategi pelaburannya dengan membuka penyertaan kepada entiti yang dikuasai oleh bumiputera.

''Ia tidak setakat kepada Syarikat Milik Kerajaan tetapi juga koperasi, majlis zakat dan pertubuhan milik bumiputera.

''Mungkin dengan cara ini lebih baik daripada tertumpu kepada individu sahaja," katanya.

No comments: