Saturday, July 11, 2009

SME Corp. Malaysia perlu gigih bangunkan PKS

Utusan Malaysia: 11.07.2009

KUALA LUMPUR 10 Julai - Langkah kerajaan menjenamakan semula Perbadanan Industri Kecil dan Sederhana Malaysia (SMIDEC) kepada SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) dilihat mampu untuk mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.

Tokoh-tokoh serta penganalisis ekonomi berpendapat, SME Corp. Malaysia perlu dipimpin oleh golongan professional dan kakitangan yang boleh menunjukkan prestasi.

Seorang tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, mana-mana badan berkanun di negara ini perlu bebas berdikari dan menunjukkan prestasi sekiranya mahu dihargai oleh orang ramai.

''Nama boleh ditukar untuk menunjukkan perbezaan tetapi mereka hendaklah mempunyai kehendak dan semangat untuk membantu golongan pengusaha kecil dan sederhana.

''Golongan ini tidak seharusnya dipinggir semata-mata untuk menjaga kepentingan golongan korporat,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ramon menambah, peruntukan lebih perlu diberikan kerajaan untuk disalurkan kepada PKS bagi memfokus penjanaan ekonomi dan perniagaan tempatan.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penjenamaan semula SMIDEC untuk membangunkan sektor PKS yang kompetitif dan berdaya tahan dalam menangani krisis ekonomi.

SMIDEC yang kini dikenali sebagai SME Corp. Malaysia dijangka akan memulakan operasi pada Ogos ini.

Ia bakal berfungsi sebagai pusat maklumat rujukan setempat, penyelarasan dasar dan program serta pengurusan data informasi berkaitan PKS.

Penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah pula berkata, penjenamaan semula SMIDEC memerlukan pemantauan yang berterusan bagi memastikan PKS dapat diperkembang secara berkesan.

''Semua kakitangan SME Corp. Malaysia perlu jelas dengan matlamat dan visi yang ingin dicapai oleh organisasi tersebut.

''Mereka perlu ada sifat tanggungjawab untuk membangunkan PKS sebagai salah satu penyumbang kepada ekonomi negara,'' katanya.

2 comments:

alo said...

salam sir,

sy student strategik mngmt grup k..sy juga ada blog yg mengutarakan isu semasa..harap sir dpt luangkan masa utk berkunjung dan memberi pandangan..semoga kita dapat bertukar pandangan dan idea.

salam

www.saudagarsenja.blogspot.com

Dr. Haim Hilman said...

Salam Mohd

Terima kasih kerana layari blog saya. Insyaalah saya akan kunjungi blog tuan.