Saturday, July 4, 2009

Memanfaatkan Ekuinas

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (04.07.2009)
rencana@utusan.com.myUtusan

JIKA dilihat kepada hasrat kerajaan, negara hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi untuk mencapai kadar pegangan ekuiti Bumiputera sebanyak 30 peratus.

Sasaran yang diharapkan menjadi kenyataan pada 2010 itu bertujuan memastikan wujudnya pembangunan dan pengagihan yang seimbang antara etnik dan wilayah di negara ini.

Menjelang 2020 pula iaitu ketika negara mencapai status maju, penguasaan ekuiti di kalangan Bumiputera disasarkan sebesar 40 hingga 50 peratus.

Ke arah itu, kerajaan telah menyusun pelbagai program pembangunan ekonomi bertujuan menarik penglibatan masyarakat Bumiputera. Antara yang memberi implikasi lonjakan besar ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan pada 1970.

Merentasi zaman, intipati dasar DEB yang secara pentadbirannya berakhir pada 1990 terus disuburkan menerusi pelbagai dasar pembangunan negara yang lain. Antaranya Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010), Misi Nasional (2006-2020) dan rancangan pembangunan lima tahun Malaysia.

Ia diperkemas dengan pelbagai agenda pembangunan sektoral lain yang meneruskan kelangsungan semangat DEB.

Namun sesuatu yang pasti, di sebalik pelbagai usaha yang dilaksanakan, kita masih jauh daripada mencapai sasaran 30 peratus pegangan ekuiti Bumiputera.

Penguasaan ekuiti Bumiputera hanya berjumlah 19 peratus ketika ini juga tidak berganjak sejak 19 tahun lalu.

Selain pegangan ekuiti yang rendah, masyarakat Bumiputera juga jauh terkebelakang dalam penguasaan kekayaan dan pengagihan kek ekonomi negara.

Dalam pemilikan syarikat misalnya, Bumiputera hanya menguasai 20.3 peratus berbanding bukan Bumiputera sebanyak 75.7 peratus. Selebihnya ialah pemilikan asing.

Begitu juga dengan pemilikan bangunan komersial yang mana bukan Bumiputera menguasai sehingga 88.3 peratus berbanding hanya 11.7 peratus oleh Bumiputera.

Perbezaan yang nyata juga dapat dilihat daripada purata pendapatan isi rumah yang mana kaum Bumiputera menjana sekitar RM2,711 berbanding RM4,435 (Cina) dan RM3,456 (India).

Secara keseluruhannya, Bumiputera mewakili kumpulan masyarakat dengan tahap sosioekonomi terendah yang paling besar iaitu kira-kira 76 peratus.

Bukan Bumiputera pula sekitar 23.2 peratus sahaja. Jelaslah. meskipun Bumiputera merupakan kaum majoriti, tetapi mereka merupakan masyarakat ekonomi yang minoriti.

Tidak dinafikan pengenalan dasar dan model ekonomi baru terutamanya DEB berjaya melahirkan masyarakat ekonomi Bumiputera yang berdaya saing.

DEB sendiri adalah cerminan kejayaan dasar kerajaan apabila berjaya melonjakkan penguasaan ekuiti daripada dua peratus ketika ia diperkenalkan kepada 19 peratus ketika ini.

Bagaimanapun, kadar pemilikan ekuiti Bumiputera itu seakan-akan tepu apabila langsung tidak berganjak sejak 19 tahun lalu. Dalam erti kata yang lain, pemilikan ekuiti Bumiputera statik meskipun persekitaran ekonomi domestik dan global mengalami transformasi yang drastik.

Maka di sinilah perlunya satu suntikan baru kepada model ekonomi sedia ada bagi mengubah senario pemilikan ekuiti Bumiputera yang seolah-olah sudah berada pada 'zon selesa' tersebut. Penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini misalnya, dilihat mampu menggalas cabaran itu.

Ekuinas merupakan sebuah institusi pelaburan baru dengan modal awal RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Keyakinan terhadap kemampuan Ekuinas turut disuarakan oleh pensyarah kanan, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Sarminah Samad.

Menurut beliau, sebagai sebuah sayap pelaburan alternatif, konsep yang diunjurkan Ekuinas berupaya memacu penglibatan bumiputera dalam perniagaan bermodal besar dan mencabar.

Antaranya sektor pengangkutan dan logistik yang mana selama ini lebih banyak dikuasai oleh bangsa lain.

Penumpuan juga boleh diberikan kepada perniagaan yang sememangnya dikuasai oleh Bumiputera terutamanya dalam bidang industri kecil dan sederhana (IKS) yang kini dijalankan oleh kira-kira 10,000 syarikat Bumiputera. Bagaimanapun Sarminah menekankan, Ekuinas harus mempunyai konsep atau kerangka yang jelas terutama mencakupi aspek menyeluruh berkaitan perniagaan Bumiputera.

''Ini bagi memudahkan ukuran dibuat ke atas keberkesanan atau kegagalan pelaksanaannya nanti," ujar beliau.

Pandangan yang serupa turut dikongsi oleh pensyarah ekonomi di Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah.

Bagi Haim, Ekuinas mampu menjadi platform baru yang boleh digunakan untuk meningkatkan kadar penguasaan ekuiti Bumiputera dalam agihan ekonomi negara.

Ekuinas juga bakal memberi manfaat kepada sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi. Antaranya pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

Langkah kerajaan membenarkan hak kepentingan asing dalam syarikat-syarikat pembrokeran yang akan ditingkatkan daripada 49 peratus kepada 70 peratus juga pada dasarnya mampu merancakkan pasaran saham.

Ini pastinya memberi kesan positif kepada produk derivatif seperti opsyen, bon, kontrak dan sebagainya. Beliau menambah, potensi Ekuinas untuk meningkatkan penguasaan ekuiti Bumiputera juga bergantung kepada kemampuan syarikat yang mana kerajaan melabur di dalamnya.

Iaitu mempunyai ekuiti di dalamnya bersaing secara kompetitif. Untuk itu, kerajaan perlu benar-benar telus dalam mengenal pasti syarikat-syarikat yang berpotensi.

Langkah pengkategorian syarikat boleh diberi perhatian dengan kerajaan memperuntukkan kuota tertentu bagi setiap kategori tersebut.

Pengkategorian mengikut kaedah-kaedah tertentu seperti modal pusingan, sektor, pasaran dan lain-lain juga memastikan dana Ekuinas tertumpu kepada syarikat mega dan sektor tertentu sahaja.

''Langkah ini dapat memperkemas peranan Ekuinas dalam meningkatkan kadar penguasaan ekuiti Bumiputera dalam skop sektor yang lebih luas dan menyeluruh," ujar Haim. Dengan peranan yang dimainkan, Ekuinas tidak dinafikan mampu menjadi platform ekonomi baru yang boleh membantu meningkatkan kadar penguasaan ekuiti Bumiputera.

Bagaimanapun pada dasarnya, masih banyak yang perlu dilakukan oleh kerajaan terutamanya dalam memastikan syarikat yang dipilih benar-benar mempunyai merit yang unggul.

Kerajaan juga perlu berhati-hati supaya strategi ini tidak memberi keuntungan kepada segelintir Bumiputera sama ada pemilik atau pelabur yang menguasai syarikat. Jika tidak, usaha ini akan disalah tafsir sebagai kaedah baru untuk membantu syarikat kroni.

Kerana itu juga Haim menekankan, kerajaan perlu melihat hakikat sebenar pembinaan kekuatan ekonomi Bumiputera secara menyeluruh. Iaitu menerusi pembabitan setiap lapisan masyarakat. Tertumpu kepada kumpulan tertentu katanya, hanya akan menyuburkan sistem ekonomi kapitalis yang mana kumpulan kaya akan terus kaya dan dan miskin akan terus miskin.

''Sebaliknya, sistem ekonomi berteraskan keadilan sosial harus menjadi falsafah pembangunan ekonomi negara dan ia amat tidak wajar menjadi retorik semata-mata," ujar Haim.

No comments: