Utusan Malaysia: 13.04.2009
Oleh: Liau Pei Wen
KUALA LUMPUR 12 April - Kerajaan diminta menimbangkan cadangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya pendekatan menangani krisis kewangan pada 1997 dan 1998 dilaksanakan sekarang bagi mengurangkan kesan kegawatan ekonomi dunia semasa.
Pelbagai pihak berpendapat, saranan Dr. Mahathir supaya kerajaan melakukan penilaian harian serta mengutip data prestasi ekonomi dunia dan tempatan untuk dijadikan panduan sebelum mengambil langkah seterusnya, wajar dilaksanakan.
Pensyarah Ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, pendekatan itu harus dilaksanakan agar kerajaan boleh merancang strategi pemulihan ekonomi negara secara komprehensif berdasarkan maklumat yang tepat.
''Langkah mengutip data prestasi ekonomi memberi gambaran sebenar kepada kerajaan tentang arah aliran ekonomi tempatan dan dunia.
''Ini sekali gus membolehkan kerajaan mengambil langkah tepat untuk mengukuhkan semula ekonomi negara," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Dr. Mahathir memberitahu, pendekatan penilaian harian dan kutipan data prestasi ekonomi dunia serta tempatan mendorong kerajaan memperkenalkan harga istimewa bagi menjual unit rumah dan bangunan yang tidak terjual pada tahun 1997 dan 1998.
Beliau berkata, hasilnya ketika itu, kerajaan berjaya menjual bangunan-bangunan tersebut sehingga mencecah RM3 bilion sehari.
Haim Hilman menambah, data prestasi ekonomi dunia dan tempatan mampu membantu kerajaan melaksanakan pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan sebelum ini dengan lebih efektif.
''Data berkenaan akan membantu kerajaan menyalurkan peruntukan sewajarnya untuk membangunkan program-program yang mampu menggerakkan ekonomi negara demi kebaikan semua pihak,'' katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Datuk Syed Amin Al-Jeffri berkata, cadangan Dr. Mahathir itu suatu pendekatan universal yang boleh digunakan untuk menyelesaikan krisis ekonomi negara secara berkesan.
''Krisis ekonomi negara tidak dapat diselesaikan jika langkah-langkah yang diambil tidak berpandukan maklumat berhubung prestasi ekonomi dunia dan tempatan yang dikutip serta dinilai setiap hari,'' katanya.
Menurut Syed Amin, pendekatan mengutip data prestasi ekonomi dunia dan tempatan adalah permulaan baik untuk kerajaan menggubal satu pelan tindakan pemulihan ekonomi yang lebih tepat dan mantap.
''Kerajaan harus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dengan menggalakkan perbelanjaan dan pelaburan domestik berbanding menumpukan kepada pasaran eksport,'' ujarnya.
Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar menyokong saranan Dr. Mahathir yang dipercayai dapat membantu kerajaan mengurangkan kesan kegawatan ekonomi dunia kepada negara.
''Data itu akan membantu kerajaan khususnya MITI (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) untuk bertindak lebih agresif bagi memulihkan krisis ekonomi negara," katanya.
Tambah beliau, kerajaan perlu meningkatkan hubungan dagang Malaysia dengan negara anggota ASEAN dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.
''Kerajaan boleh menarik pelabur dari Kuwait dan Qatar untuk melabur dalam industri halal tempatan kerana produk-produknya mempunyai permintaan tinggi di pasaran meskipun ketika kelembapan ekonomi dunia,'' katanya.
Friday, April 10, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment