Friday, April 10, 2009

Kabinet Baru Berupaya Tarik Pelabur Asing

Utusan Malaysia: 11.04.2009

KUALA LUMPUR 10 April - Beberapa ahli ekonomi menyifatkan barisan Kabinet baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam sebagai segar dan bebas dari sebarang persepsi negatif serta skandal.

Mereka menjelaskan, barisan kepimpinan baru yang 'bersih' meyakinkan para pelabur luar bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang kondusif untuk pelbagai aktiviti ekonomi.

Namun mereka berharap, Najib akan terus membangunkan projek-projek pembangunan koridor ekonomi yang dimulakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi supaya pelaburan luar dapat dipertingkatkan, sambil memanfaatkan modal insan negara.

Pensyarah Ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, projek koridor ekonomi yang dilancarkan Abdullah beberapa tahun dulu harus diteruskan dan jika tidak, ia hanya merugikan negara.

''Saya harap projek ini tidak menjadi 'gajah putih' kerana ia mampu menarik banyak pelaburan asing seperti di Wilayah Pembangunan Ekonomi Iskandar, Johor.

''Selain itu, koridor pembangunan ekonomi di Sabah dan Sarawak serta Pantai Timur pula berupaya menyediakan peluang pekerjaan yang memanfaatkan golongan belia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, jika Najib dan barisan menterinya berasakan sesuatu yang tidak kena dengan pembangunan wilayah-wilayah itu, mereka perlu melakukan penambahbaikan ke atas platform yang tersedia itu.

Ketua Jabatan Penyelidikan, Institut Antarabangsa Penyelidikan Syariah Mengenai Kewangan Islam (ISRA), Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keterbukaan media terutama blog 'menghasilkan' perspektif negatif terhadap barisan Kabinet lama seperti tuduhan skandal dan rasuah.

''Jadi barisan baru ini nampak lebih segar dan 'bersih'. Jadi saya percaya para pelabur dalaman serta pelabur luar yakin dengan keupayaan mereka, seterusnya menambah pelaburan di sini," katanya.

Beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan Najib pula bakal memberi keyakinan lebih buat para pelabur domestik dan luar negara untuk menjalankan kegiatan ekonomi mereka di negara ini.

Pengerusi Pusat Kaji Selidik Dasar Awam Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (Asli), Tan Sri Ramon Navaratnam pula berpendapat, KPI yang diusahakan Najib perlu ditetapkan pada satu piawaian yang tinggi setanding dengan negara-negara maju.

''Selain itu, saya harap para ahli Majlis Penasihat Ekonomi yang sedang diusahakan Najib akan dianggotai oleh ahli-ahli akademik dalam bidang ekonomi serta para penggiat industri itu," jelasnya.

Ramon menambah, ahli-ahli majlis itu juga harus bersikap ikhlas dengan mengambil kira kepentingan rakyat semua peringkat, dan bukan hanya tertumpu untuk menolong golongan usahawan dan peniaga.

Pengarah Bersekutu OSK Research Sdn. Bhd., Chris Eng pula berkata, barisan kepimpinan Kabinet baru tidak menunjukkan apa-apa perubahan berbanding barisan sebelumnya.

''Sudah tentu apabila barisan baru menteri-menteri dilantik, persepsi terhadap mereka biasanya positif dan anda akan mendengar komen-komen yang baik sahaja," katanya.

Namun beliau berpendapat, Najib perlu menyenaraikan ahli-ahli ekonomi yang berkualiti ke dalam majlis penasihat itu seperti Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Datuk Seri Zarinah Anwar dan Pengerusi TM International Bhd., Tan Sri Azman Mokhtar bagi merealisasikan impian pembangunan ekonomi negara.

1 comment:

hamba said...

salam doc....mintak pandangan dr segi pru 12