Sunday, April 5, 2009

Empat Syor Atasi Krisis Ekonomi

Utusan Malaysia: 06.04.2009

KUALA LUMPUR 5 April – Krisis ekonomi yang melanda negara dapat diselesaikan jika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keutamaan kepada empat langkah pembangunan.

Seorang pakar ekonomi yang juga Pensyarah Ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, keutamaan pertama ialah perhatian dan bantuan diperlukan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS).

“Bidang IKS salah satu tulang belakang ekonomi Malaysia. Ia perlu terus berjaya demi kestabilan negara.

“Dengan IKS, rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan penduduk di luar bandar mempunyai pekerjaan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau mengulas ucapan sulung yang disampaikan Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin.

Salah satu topik ucapan Najib itu ialah janjinya untuk terus komited memastikan kepimpinan terus teguh bagi menghadapi krisis ekonomi negara dan dunia yang begitu mencabar pada masa ini.

Langkah kedua, jelas Haim Hilman, Najib perlu turun padang berjumpa pegawai tertinggi termasuk Ketua-ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat besar atau multinasional tempatan bagi mengenal pasti masalah perniagaan mereka.

Jelasnya, kajian terperinci dan penyelesaian berkesan berhubung masalah syarikat berkenaan perlu dibuat segera.

“Ia bagi mengelakkan pengurusan syarikat ini mengalihkan perniagaan ke luar negara yang pastinya merugikan negara. Banyak cara mungkin boleh dilakukan dalam membantu syarikat ini termasuk mengecualikan cukai,” katanya.

Haim Hilman berkata, keutamaan ketiga ialah menggerakkan projek mega yang baru atau tergendala seperti pembinaan Jabatan Pulau Pinang 2.

Katanya, projek berbilion ringgit yang dijalankan mampu memberi kesan ekonomi yang besar kepada negara pada masa terdekat atau jangka panjang.

Katanya, antara kesan itu ialah peluang pekerjaan kepada golongan bawahan dan atasan seperti pembawa lori pasir, syarikat pengorek pasir dan jurutera.

No comments: