Thursday, April 23, 2009

Masih tertumpu pada ASB, ASN

Utusan Malaysia: 24.04.2009
Oleh NORAINI NORDIN (pengarang@utusan.com.my)

KUALA LUMPUR 23 April - Kurangnya sambutan bumiputera untuk melanggan unit dana Amanah Saham Malaysia (ASM) kerana minat mereka masih tertumpu kepada pelaburan dalam saham amanah sedia ada termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN).

Selain itu, kaum bumiputera juga berpeluang untuk melabur dalam pelbagai saham amanah lain yang diperuntukkan kepada mereka sejak awal 80-an lagi. Pandangan ini dikemukakan oleh pakar-pakar ekonomi dan ahli akademik ketika diminta mengulas mengenai kurangnya sambutan bumiputera terhadap unit tambahan ASM yang diumumkan Isnin lalu.

Berbeza dengan kaum Cina, kesemua 999 juta unit-unit dana ASM yang diperuntukkan pada mereka dan mula dijual kelmarin habis dilanggan sepenuhnya. Bagaimanapun daripada 1.665 bilion unit ditawarkan kepada bumiputera, hanya 7.65 juta sahaja yang berjaya dijual manakala 53.5 juta daripada 499.5 juta peruntukan kepada kaum India telah dilanggan.

Pakar ekonomi, Datuk Salleh Majid berkata, kurangnya sambutan bumiputera untuk melabur dalam ASM bukan kerana tidak berkemampuan tetapi mempunyai peluang melabur dalam mana-mana saham amanah yang banyak ditawarkan kepada mereka sebelum ini.
Tambahan pula, katanya, dana ini adalah tawaran unit tambahan yang masih baru dibuka untuk langganan dan terlalu awal untuk dibuat kesimpulan mengenai minat kaum itu untuk melabur dalam saham-saham tersebut.

''Oleh itu kurangnya sambutan untuk unit-unit saham ini tidak boleh dikaitkan dengan ketidakmampuan bumiputera untuk melabur,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur itu berpendapat, sambutan kurang menggalakkan kaum bumiputera terhadap ASM juga tidak boleh dikaitkan dengan ekonomi semasa kerana peratus yang terjejas agak kecil.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perakaunan Fakulti Ekonomi UKM, Prof. Azmi Harun juga berpendapat, faktor kurang sambutan bumiputera terhadap ASM juga ada kaitannya dengan saham-saham amanah yang diperkenalkan sebelum ini. Katanya, bumiputera mempunyai banyak pilihan untuk melabur dalam mana-mana saham amanah yang dibuka untuk mereka. Tambahnya, sambutan kurang mungkin kerana kesedaran kaum bumiputera terhadap kepelbagaian melabur dalam saham-saham amanah yang lain juga agak rendah.
Katanya, situasi ini berbeza dengan kaum Cina kerana peluang untuk mereka melanggan saham-saham amanah agak terhad.

Pensyarah ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah juga memberi pendapat sama iaitu rata-rata bumiputera lebih tertumpu untuk menambah pelaburan dalam ASB atau ASN. Selain itu, katanya, kemampuan bumiputera untuk menabung masih terhad berbanding dengan kaum Cina. Katanya, kebanyakan kaum bumiputera di negara ini masih lagi bergelut dengan keperitan hidup terutama yang tinggal di kawasan bandar. ''Kos hidup tinggi juga menjadi faktor yang menghalang mereka untuk melabur dalam amanah-amanah saham yang diperkenalkan,'' katanya.

Ahli akademik yang juga Pensyarah Kolej Undang-Undang Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM, Mad Shukri Shuib berkata, kurangnya sambutan bumiputera terhadap ASM bukan tanda penolakan kepada amanah saham tersebut. Sebaliknya beliau berpendapat bumiputera lebih cenderung memilih ASB dan ASN kerana pulangan dividen tinggi dan mudah diuruskan. ''Mungkin juga kebanyakan bumiputera suka melabur dalam satu tabungan sahaja kerana bagi mereka lebih mudah untuk menguruskan kewangan tersebut,'' katanya.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr. Lee Yok Fee berkata, kaum Cina merebut peluang melabur dalam ASM kerana peluang mereka untuk melabur dalam saham-saham amanah yang lain sangat terhad. Katanya, ASM yang berisiko rendah dan dijamin kerajaan menyebabkan mereka tidak mahu menolak peluang itu.

No comments: