Friday, April 24, 2009

Peluang bagi rakyat bersaing majukan perniagaan ke peringkat global

Utusan Malaysia (25.04.2009)

KUALA LUMPUR 24 April - Keputusan kerajaan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan di negara ini adalah landasan yang baik untuk menggalakkan rakyat tempatan bersaing secara sihat memajukan perniagaan mereka ke luar negara.

Pensyarah Ekonomi Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, rakyat Malaysia terutama bumiputera perlu berfikiran lebih terbuka untuk menyahut cabaran dasar liberalisasi yang memberi kebaikan kepada semua pihak itu.

"Kita sepatutnya melihat dasar liberalisasi sebagai platform untuk meningkatkan daya saing sektor perkhidmatan negara dalam era globalisasi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan keputusan kerajaan untuk meliberalisasikan 27 subsektor perkhidmatan berkuat kuasa serta-merta tanpa sebarang syarat ekuiti dikenakan.

Ini bermakna syarat peruntukan ekuiti 30 peratus tempatan untuk subsektor berkenaan tidak lagi terpakai.

Menurut Najib, subsektor yang diliberalisasikan itu adalah dalam bidang perkhidmatan kesihatan dan sosial, pelancongan, pengangkutan, perniagaan, komputer dan yang berkaitan.

Semalam, Najib juga memberi jaminan bahawa dasar berkenaan tidak akan menjejaskan kaum bumiputera kerana yakin golongan berkenaan mampu mengambil bahagian dalam persaingan terbuka.

Haim Hilman berkata, kerajaan perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan dasar liberalisasi itu dapat dilaksanakan secara adil dan saksama serta tidak hanya menguntungkan segelintir pihak.

"Kerajaan harus mencari satu pendekatan untuk menjelaskan kepada semua rakyat apakah kesan-kesan yang dapat mereka rasai melalui dasar liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan itu.

"Kita tidak mahu wujudnya sentimen eksploitasi terhadap isu liberalisasi itu sehingga mewujudkan suasana tidak selesa di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini," katanya.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan pula berkata, keputusan liberalisasi 27 subsektor perkhidmatan itu menepati kehendak persekitaran perniagaan global pada masa ini.

"Pasaran ekonomi dunia sekarang tidak menggalakkan sebarang sekatan dikenakan sebaliknya kemasukan lebih ramai pelabur asing juga akan menguntungkan rakyat tempatan.

"Kaum bumiputera khususnya berpeluang menjadi rakan kongsi perniagaan bersama pelabur asing, mereka mungkin mempunyai hak pengurusan yang besar dan tidak lagi tertakluk pada syarat peruntukan ekuiti 30 peratus," katanya.

Menurut Shamsuddin, liberalisasi sektor perkhidmatan juga akan mewujudkan peluang pekerjaan yang bertaraf tinggi kepada rakyat tempatan selain dapat mempelajari kepakaran yang dimiliki oleh negara lain.

No comments: