Tuesday, April 28, 2009

Liberalisasi kewangan mampu tingkat taraf hidup rakyat

Utusan Malaysia: 29.04.2008

KUALA LUMPUR 28 April - Langkah meliberalisasi sektor kewangan mampu meningkatkan taraf kehidupan rakyat kerana suntikan dana bank asing bakal menjana pelbagai peluang pekerjaan di dalam negara.

Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Syed Ali Al-Atas bagaimanapun menegaskan, kerajaan perlu menyediakan garis panduan kepada institusi perbankan agar mempermudahkan proses pinjaman daripada usahawan.

"Kami menyokong usaha kerajaan merangsang ekonomi melalui sektor kewangan dan sudah pasti banyak peluang pelaburan menarik yang tersedia melalui langkah ini.

"Namun, penting bagi kerajaan memastikan rakyat menikmati kesan positif daripada dasar ini. Jika ekonomi domestik mampu dirangsang, negara mampu bertahan daripada krisis ekonomi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah liberalisasi kewangan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Dasar liberalisasi itu menggariskan enam teras bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi selain menjadikan Malaysia sebagai hab kewangan Islam antarabangsa.

Tambah Syed Ali, tiada makna jika sektor kewangan mendapat suntikan modal yang besar tetapi bank termasuk bank antarabangsa liat meluluskan pinjaman bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

Turut menyambut baik dasar itu ialah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkan langkah liberalisasi kewangan akan meningkatkan aliran tunai negara.

"Sudah tentu kita menyokong usaha membawa kemajuan kepada ekonomi dan sekali gus membebaskan diri daripada cengkaman krisis.

"Perkasa melihat langkah ini tepat dan wajar tetapi agak kritikal apabila kerajaan meningkatkan pegangan ekuiti asing sehingga 70 peratus," katanya.

Tambah Ibrahim, sebarang dasar liberalisasi yang ingin dilaksanakan kerajaan mestilah tidak bertentangan dengan Fasal 153 Perlembagaan berhubung hak keistimewaan orang Melayu.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah berkata, dasar itu menjadikan sektor kewangan sebagai teras pembangunan kepada ekonomi negara melengkapi sektor sedia ada.

"Kerajaan sebenarnya sedar salah satu aspek utama untuk keluar daripada belenggu masalah ekonomi ialah melalui pelaburan langsung asing (FDI).

"Dalam keadaan sektor perindustrian negara sudah tidak kompetitif, sektor kewangan mampu menarik lebih banyak FDI," ujarnya.

Haim Hilman menjelaskan dasar baru itu menunjukkan kerajaan bersungguh-sungguh mengembangkan sistem kewangan Islam yang sememangnya lebih baik berbanding sistem kewangan konvensional kerana menawarkan keadilan kepada peminjam dan pihak bank.

Katanya, jika kerajaan hanya mengharapkan perbankan tempatan bagi menerokai sistem kewangan Islam, kemajuannya adalah lambat kerana kekangan dana walaupun sektor itu terbukti mempunyai tadbir urus yang cemerlang dan muncul sebagai perbankan serantau.

"Negara-negara lain mula menyedari kelebihan sistem kewangan Islam dan mula serius menerokainya. Jika kerajaan tidak melaksanakan pembaharuan dengan segera kita akan ketinggalan walaupun kita pelopor sistem ini.

"Saya yakin perbankan asing terutamanya dari Asia Barat tidak akan melepaskan peluang persekitaran yang begitu selesa dengan pemilikan ekuiti sehingga 70 peratus," jelasnya.

No comments: