Utusan Malaysia: 22/01/2009
Oleh Ainul Asniera Ahsan, Daliza Ariffin dan Sarah Nadlin Rohim
KUALA LUMPUR 21 Jan. - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan kadar dasar semalaman (OPR), penanda aras utama kadar faedah sebanyak 75 mata asas kepada 2.50 peratus dalam pengurangan yang paling besar pernah diumumkannya.
Kadar OPR baru itu yang menjadikan kos pinjaman lebih murah, juga berada di paras terendah sejak Mei 2004.
Pada masa yang sama, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) turut menurunkan kadar Keperluan Rizab Berkanun (SRR) juga dikurangkan kepada 2.0 peratus daripada 3.5 peratus mulai 1 Februari ini.
Pengumuman itu adalah bertepatan dengan spekulasi penganalisis ekonomi yang meramalkan OPR akan diturunkan sebanyak 50 hingga 75 mata asas pada suku pertama dalam usaha untuk merangsang aktiviti ekonomi.
''Dengan risiko pertumbuhan perlahan, pengurungan OPR dan SRR bertindak sebagai penyokong kepada persekitaran kewangan yang lebih kukuh kepada ekonomi domestik,'' kata kenyataan yang dikeluarkan oleh BNM di sini hari ini.
Kali terakhir BNM menurunkan kadar OPR adalah pada 24 November tahun lalu, sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus buat pertama kali sejak April 2006 daripada paras 3.50 peratus sebelumnya.
BNM dalam kenyataannya berkata, industri ekonomi utama sedang mengalami kemelesetan dan keadaan ini telah menyebabkan timbulnya risiko yang besar terhadap pertumbuhan global.
''Penguncupan permintaan dan dagangan global serta penurunan harga komoditi dunia telah meninggalkan kesan kepada pendapatan eksport negara-negara rantau, termasuk Malaysia.
''Faktor penguncupan itu telah diburukkan oleh krisis berpanjangan pasaran kewangan dunia,'' katanya.
BNM berkata, penurunan yang ketara dalam ekonomi global dijangka memberikan kesan yang mendalam terhadap ekonomi Malaysia.
''Kemerosotan nyata dalam permintaan luar negeri telah mengakibatkan penguncupan eksport dan aktiviti pelaburan swasta yang sederhana. Perkembangan ini juga memberikan kesan terhadap keadaan pasaran pekerja.
''Dalam keadaan ini, pelaksanaan segera langkah dasar adalah penting ke arah memastikan ekonomi Malaysia terus mencapai pertumbuhan yang positif pada tahun ini,'' jelasnya.
Berikutan itu, pertumbuhan yang sederhana dan harga komoditi yang lebih rendah mengakibatkan inflasi terus berkurangan kepada 4.4 peratus pada bulan Disember 2008.
''Penurunan ini dijangka berterusan berikutan keadaan permintaan yang lebih lemah dan inflasi diimport yang lebih rendah,'' katanya.
Sambil menyatakan sistem perbankan Malaysia terus kukuh, BNM menambah, pihaknya akan terus berusaha ke arah memastikan kesemua sektor ekonomi mendapat akses kepada kredit dan penurunan kadar faedah melalui kos pinjaman yang lebih rendah.
Sementara itu, tokoh ekonomi tempatan, Datuk Zainal Aznam Yusof berkata, pengurangan OPR itu semenangnya dijangkakan dalam usaha BNM mengukuhkan kedudukan ekonomi domestik.
Beliau berkata, bank pusat itu telah mengguna pakai secara serentak dasar fiskal dan polisi monetari untuk membantu ekonomi daripada terus terjejas.
''Kerajaan mengunjurkan pertumbuhan ekonomi negara 3.5 peratus tahun ini. Meskipun berdepan kesukaran, penurunan OPR ini sekurang-kurangnya dapat mengelakkan berlakunya pertumbuhan negatif,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berharap penurunan OPR dapat membantu institusi perbankan tempatan menyalurkan pinjaman kepada sektor swasta, sekali gus dapat meningkatkan sentimen pengguna.
Pengurus Kanan Kumpulan TA Investment Management Bhd., Alsetdek Al Haj Ali pual menyifatkan penurunan OPR itu mengejutkan kerana kebanyakan penganalisis menjangka penurunan hanya antara 25 hingga 50 mata asas sahaja.
Bagaimanapun, penurunan itu tiada gunanya jika institusi perbankan tempatan begitu selektif dalam memberi pinjaman kepada mereka yang memerlukan untuk tujuan perniagaan.
''Dalam keadaan sekarang kepada peniaga-peniaga tidak kira apa kategori memerlukan aliran tunai untuk menyokong perniagaan.
''Tetapi sekiranya bank mengambil sikap berhati-hati untuk mengeluarkan pinjaman, tidak ada gunanya juga,'' katanya.
Berikutan itu, beliau menyarankan supaya BNM 'turun padang' dan memantau secara dekat permasalahan yang dihadapi oleh golongan peniaga.
Seorang lagi pakar ekonomi, Haim Hilman berkata, pengurangan OPR adalah bertepatan dengan usaha kerajaan untuk mengelak daripada terjerumus dalam kemelesetan ekonomi.
Katanya, penurunan kadar faedah ini akan meningkatkan keyakinan pengguna untuk memohon pinjaman dan seterusnya bakal memberi kesan kepada sektor yang berkaitan.
''Adalah tidak mustahil bagi BNM menurunkan lagi OPR pada suku kedua atau ketiga tahun ini tetapi ia masih tertakluk kepada perkembangan ekonomi ketika itu,'' jelasnya.
Saturday, January 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment