Monday, January 19, 2009

Kemas Kini Sumber Manusia

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (Wartawan Utusan)

20.01.2009

KEMUNGKINAN untuk kira-kira 45,000 pekerja daripada pelbagai sektor perkilangan hilang mata pencarian seperti laporan Kementerian Sumber Manusia kelmarin, sememangnya sesuatu yang sudah dijangkakan.

Malah, kira-kira 14,000 pekerja dari pelbagai sektor terutamanya yang berkait secara langsung dengan syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) lebih dahulu kehilangan pekerjaan awal tahun ini selepas ekonomi dunia terjerumus ke kancah kegawatan sepanjang tahun lalu.

Jumlah itu pastinya bertambah, malah mungkin mencecah sehingga 200,000 hingga 400,000 pekerja seperti yang dibimbangi oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) jika mengambil kira ramalan kelembapan ekonomi sepanjang suku pertama dan kedua tahun ini.

Kemungkinan itu diburukkan lagi dengan kebanjiran pekerja Malaysia di luar negara, terutamanya dari Singapura yang turut kehilangan kerja dan terpaksa mencari kerja baru di tanah air.

Dalam persekitaran yang menuntut perbelanjaan yang tinggi seperti hari ini, kehilangan punca pendapatan bukanlah satu tekanan yang mudah untuk dihadapi.

Beban kewangan yang mendesak boleh mendorong seseorang untuk bertindak lebih jauh, sehingga tergamak melakukan jenayah semata-mata untuk mencari sesuap nasi.

Justeru, krisis pemberhentian kerja ketika ini tidak wajar dipandang sebelah mata. Sebaliknya, ia perlu dilihat sebagai isu perdana yang memerlukan penglibatan semua pihak dalam mencari penyelesaian.

Bagaimanapun ketika berdepan dengan kegawatan ketika ini, sektor swasta tidak sewajarnya mengambil pendekatan mudah dengan membuang pekerja sesuka hati.

Sesebuah syarikat lebih-lebih lagi yang bertaraf internasional pastinya mempunyai pelan atau pakej sokongan untuk menyerap sebaik mungkin risiko kegawatan ekonomi tanpa perlu membuang pekerja dalam jumlah yang besar.

Sekiranya pengurangan pekerja dilihat jalan terakhir untuk mengurangkan kos operasi sekali pun, pekerja asing yang lebih mendominasi peringkat bawahan di sektor-sektor swasta seharusnya diberi keutamaan. Merekalah yang seharusnya diberhentikan kerja dan dihantar pulang dan bukannya menjadikan rakyat tempatan sebagai mangsa.

Bagi syarikat yang beroperasi 24 jam sehari misalnya, waktu operasi itu mungkin boleh dikurangkan bersama-sama tempoh bekerja dengan gaji yang berpatutan.

Pendekatan itu jauh lebih baik bagi mengelak pekerja kehilangan punca pendapatan secara kekal. Pada masa yang sama, ia boleh memberi peluang kepada pekerja melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Dalam hal ini, kerajaan menerusi agensi berwajib boleh memainkan peranan yang lebih agresif mendekati golongan pekerja dengan skim dan bantuan kewangan tertentu untuk mereka menceburkan diri dalam sektor perniagaan secara kecil-kecilan.

Peluang yang sama juga boleh digunakan untuk menarik minat pekerja swasta terbabit menceburi bidang lain yang berpotensi.

Sebagai contoh di daerah yang terkenal dengan aktiviti pertanian, kerajaan boleh membuka peluang dengan projek-projek yang dirancang dan diusahakan secara berkelompok.

Bagi penyelesaian jangka panjang pula, pensyarah ekonomi di Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah berkata, pihak berwajib terutamanya Kementerian Sumber Manusia perlu menyusun keperluan sumber manusia mencakupi semua peringkat dan lapangan sektor pekerjaan.

Pengemaskinian sumber manusia itu bertujuan mengenal pasti sektor-sektor pekerjaan yang terdapat pengurangan. Hakikatnya jika diperhatikan dalam persekitaran kerja yang masih meluas ketika ini, masih terdapat banyak peluang pekerjaan untuk diterokai.

Bagaimanapun, tidak ramai di kalangan rakyat tempatan yang mempunyai sumber kepada peluang pekerjaan itu kerana kekurangan maklumat mengenainya.

Justeru di sinilah perlunya sebuah pangkalan data yang diselenggarakan oleh kerajaan bagi mengenal pasti peluang-peluang pekerjaan yang wujud di seluruh negara.

Pangkalan data yang mirip kepada enjin pencarian kerja itu pula diperluaskan kepada zon-zon yang lebih menyeluruh termasuk di daerah dan bandar di setiap negeri.

"Bagaimanapun pangkalan data ini menuntut kepada komitmen yang tinggi dan menyeluruh daripada agensi kerajaan terutamanya Jabatan Sumber Manusia yang perlu proaktif mendekati industri untuk mencari peluang pekerjaan dan bukan sebaliknya," ujar beliau.

Dalam konteks peranan kerajaan juga, kebimbangan terhadap lebih banyak syarikat yang akan menghentikan operasi perlu ditangani secara menjalin hubungan segera dengan syarikat-syarikat terbabit.

Kerajaan boleh membantu meringankan beban kos menerusi pelbagai insentif seperti pelepasan cukai, suntikan dana dan sebagainya.

Bentuk-bentuk sokongan seperti itu juga perlu diperluaskan tidak hanya kepada syarikat-syarikat kecil, malah syarikat gergasi yang tidak dinafikan turut bergelut untuk mencapai sasaran keuntungan seperti yang diunjurkan.

Jelas Haim, pentingnya intensif secara menyeluruh daripada kerajaan adalah bagi mengelak lebih banyak syarikat terpaksa gulung tikar seterusnya menyaksikan lebih ramai menjadi menganggur.

Pendekatan itu sebenarnya boleh dijadikan strategi serampang dua mata kepada kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan sektor swasta terhadap pekerja asing.

Kerajaan dalam menyalurkan intensif itu perlu mensyaratkan syarikat terbabit mematuhi keutamaan dalam mengambil rakyat tempatan sebagai pekerja.

Mengikut rekod sehingga tahun lalu, dianggarkan seramai 2.3 juta pekerja asing bekerja dalam pelbagai sektor di negara ini terutamanya perladangan, perindustrian dan pembinaan.

Pekerja asing ini juga mengisi kira-kira 40 peratus daripada 252,600 peluang kerja baru yang diwujudkan di negara ini setiap tahun, iaitu hampir separuh daripada apa yang seharusnya diisi oleh rakyat tempatan.

Melihat kepada jumlah itu, perlu diakui bahawa limpahan pekerja asing terutamanya dari Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal itu menutup peluang rezeki di kalangan rakyat tempatan.

Justeru, strategi itu juga secara tidak langsung membantu kerajaan mencapai hasrat mengurangkan jumlah pekerja asing kepada hanya 1.5 juta orang menjelang 2015.

Tempoh yang sukar ini juga boleh digunakan oleh kerajaan dan pihak swasta untuk mencari pendekatan yang sesuai dalam mengatasi polemik kebergantungan sektor swasta kepada pekerja asing.

Isu seperti memilih pekerjaan di kalangan rakyat tempatan serta kos upah buruh murah yang menarik minat sektor swasta kepada pekerja asing perlu dicari penyelesaian yang mampu dipersetujui semua pihak.

Ia bertujuan memastikan pekerja asing tidak lagi kembali mencari rezeki di negara ini selepas berakhirnya kegawatan dan ekonomi rancak semula.

Lebih penting pekerja tempatan juga lebih berminat untuk mengisi peluang pekerjaan yang sebelumnya diisi oleh pekerja asing kerana tawaran gaji yang lebih menarik dan berbaloi.

Namun, dalam sektor pekerjaan swasta yang lebih berorientasikan keuntungan maksimum, pastinya ada majikan yang tetap berdegil menggaji buruh asing yang murah.

Dalam hal ini, kerajaan terutamanya Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen perlu lebih bertegas dalam isu penguatkuasaan ke atas majikan yang mengingkari undang-undang berkaitan pengambilan pekerja asing.

No comments: