Monday, December 1, 2008

Tangguh, Elak Kesan Besar

Utusan Malaysia: 24.04.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

DALAM situasi ekonomi dunia yang tidak menentu kesan daripada kenaikan minyak mentah dan krisis bekalan makanan global ketika ini, keputusan kerajaan untuk menilai semula projek di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pastinya dipersetujui ramai sebagai satu langkah yang tepat.

Projek-projek yang bernilai berbilion ringgit itu meskipun merupakan satu pelaburan jangka masa panjang untuk kesejahteraan rakyat, namun perlu diperhalusi bagi memastikan ia tidak meminggirkan kehendak rakyat dalam masa terdekat.

Apatah lagi ketika negara tidak dapat mengelak daripada kenaikan harga makanan dan bahan bakar, perbelanjaan negara dalam memastikan rakyat di negara ini tidak diancam krisis tersebut dengan lebih teruk pastinya menjadi agenda utama.

Menilai projek-projek yang bakal dilaksanakan di bawah RMK-9 itu, apa yang boleh disimpulkan, kerajaan dengan perancangan yang bijak, boleh menyusun kembali projek-projek tersebut mengikut keutamaan.

Memang sangat munasabah langkah itu dipertimbangkan, sementelah dalam situasi kerajaan sendiri terpaksa berdepan dengan kos pembinaan yang tinggi ekoran kenaikan bahan-bahan binaan seperti besi, aluminium dan simen.

Daripada 880 projek pembangunan baru bernilai RM15 bilion yang dirancang misalnya, pastinya tidak semua menyangkut kepada keperluan dan kebajikan rakyat dalam tempoh yang segera.

Maksudnya, jika ditangguh ke satu ketika di mana kekuatan ekonomi negara benar-benar kukuh dan kebajikan rakyat sudah sedia terbela, projek tersebut dan pro- jek-projek lainnya boleh diteruskan, malah mungkin dapat diperhebatkan.

Rakyat juga pastinya berpuas hati dan benar-benar menikmati impak positif daripada perlaksanaan projek-projek itu selepas keperluan dan kebajikan mereka terlebih dahulu diberi perhatian.

Langkah menimbangkan semula projek- projek mega itu turut dipersetujui oleh Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah yang berpendapat, penangguhannya membolehkan kerajaan memberikan tumpuan kepada usaha membantu kebajikan rakyat.

Projek-projek berjangka panjang pula katanya, yang jika ditangguhkan tidak mem- berikan impak besar kepada rakyat, wajar dikaji semula bagi memastikan ia tidak memberikan kesan sosial dan ekonomi kepada negara.

Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, kenaikan harga barangan keperluan dan bahan bakar, kerajaan ujar Haim, perbelanjaan untuk projek RMK-9 boleh disalurkan bagi meringankan beban rakyat.

''Biarpun bukan semua bantuan itu perlu disalurkan dalam bentuk subsidi, namun bagi beberapa isu yang perlu diberikan ke- utamaan, rakyat pastinya sangat bergantung kepada bantuan dan sokongan daripada kerajaan,'' katanya.

Situasi ini sekali gus meletakkan kepentingan projek-projek RMK-9 menjurus kepada manfaat yang lebih besar kepada rakyat berbanding projek mega yang elemennya bukan kepada orang ramai.

Pastinya dalam perkiraan sebegitu, projek-projek seperti membina 450 buah sekolah rendah dan menengah, jalan, pembekalan air bersih dan projek yang berkait langsung dengan rakyat perlu diteruskan.

Dalam mengalih pelaburan kepada projek yang lebih penting juga, Haim menjelaskan, kerajaan boleh menumpukan usaha meningkatkan kecekapan infrastruktur dan prasarana yang masih terdapat kelemahan daripada sudut perlaksanaannya ketika ini.

KesinambunganTidak menafikan negara juga memerlukan projek berimpak besar, Haim bagaimanapun menambah, perlaksanaannya memerlukan kesinambungan dengan kebajikan rakyat didahulukan sebelum bergerak kepada projek yang lebih besar.

Dalam situasi politik yang agak goyah ketika ini, beliau turut berpendapat, kerajaan perlu bertindak pantas mengambil hati rakyat dengan membuktikan bahawa kebajikan rakyat keseluruhannya sentiasa menjadi keutamaan.

Rakyat ketika ini katanya, pastinya mengukur kerajaan manakah yang akan mengambil tindakan terlebih dahulu dalam menangani isu-isu berkaitan rakyat apatah lagi pembangkang sebelum ini berjaya mengalih sokongan dengan kempen negara berkebajikan mereka.

Dengan bajet dan kuasa yang ada, kerajaan ujar Haim, perlu bertindak lebih pantas dan agresif untuk muncul sebagai juara kepada rakyat dengan mendengar dan mengambil berat terhadap keperluan mereka.

Ketika ditanya kemungkinan keputusan kerajaan mengkaji semula projek RMK-9 itu akan melemahkan keyakinan pelabur luar terhadap kekuatan ekonomi negara, Haim berkata, ia sebenarnya tidak mencerminkan dasar kerajaan secara keseluruhannya.

Menurut beliau, kerajaan ketika ini mempunyai dasar pelaburan yang baik dan dalam keadaan mendesak seperti perlunya kajian ke atas RMK-9, apa yang perlu di- lakukan adalah memperkukuh dan mengemas kini dasar tersebut selaras dengan perubahan semasa.

Pelabur juga ujar Haim, tidak akan menjadikan keputusan kerajaan itu sebagai satu indikator sebaliknya menilai sejauh mana kerajaan mengemas kini dasar dan polisi sedia ada menjadi lebih telus dan meyakinkan.

''Mengambil contoh infrastruktur misalnya, Malaysia jauh lebih maju dan terkedepan berbanding dengan negara-negara serantau dan ini meningkatkan keyakinan pelabur asing dan tempatan untuk terus melabur di sini," katanya.

Menyentuh mengenai projek Jambatan Kedua Pulau Pinang, Haim secara peribadi berpendapat, projek berkenaan wajar diteruskan memandangkan ia berkait dengan kebajikan rakyat yang terseksa dengan kesesakan seperti yang sering dihadapi sebelum ini.

Bagaimanapun katanya, kerajaan juga boleh tampil dengan rancangan dan tindakan alternatif bagi mengatasi masalah kesesakan antaranya dengan memperkasakan sistem pengangkutan awam dalam mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk ke negeri Pulau Mutiara tersebut.

No comments: