Monday, December 1, 2008

Tambah Subsidi Atau Naikkan Harga Minyak

Utusan Malaysia: 10.05.2008

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN (WARTAWAN UTUSAN)

HAMPIR setiap hari harga minyak global mencatatkan rekod kenaikan dan semalam tidak terkecuali apabila harga 'emas hitam' itu sekali lagi mencecah paras tertinggi baru menghampiri AS$125 setong (RM399.136 setong). Dan angka itu dijangka terus meningkat untuk hari-hari mendatang. Hakikatnya trend tersebut tidak lagi dipengaruhi oleh permintaan dan penawaran, sebaliknya ditentukan oleh ketidaktentuan ekonomi dan keadaan semasa.

Bagi mengimbangi kenaikan harga minyak dunia, kerajaan terpaksa menanggung subsidi sebahagian harga barangan atau produk tersebut. Dengan lain perkataan, lagi banyak barangan itu dibeli, lagi besarlah subsidi atau beban kewangan yang perlu ditanggung kerajaan.

Sejak kenaikan minyak berterusan awal tahun ini kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak RM45 bilion. Hasil subsidi itu, harga minyak di Malaysia jauh lebih murah berbanding kebanyakan negara ASEAN, malah di antara terendah di dunia.

Harga runcit seliter Petrol RON97 pada November 2007 di Malaysia ialah RM1.92 berbanding di Indonesia (RM2.57), Thailand (RM3.19), Filipina (RM3.45), Singapura (RM5.07) dan United Kingdom (RM7.03).

Timbul persoalan adakah jumlah subsidi minyak perlu ditambah atau kerajaan perlu menaikkan harga minyak bagi mengelak daripada terus terbeban dari sudut ekonomi. Ketua Penyelidik MIMB Investment Bank, Pong Teng Siew ketika ditanya persoalan tersebut menawarkan pandangan tersendiri.

Beliau menarik perhatian mengenai rizab minyak Petronas yang dianggarkan sebanyak 666,000 tong dan jika subsidi ditingkatkan, ia tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada rakyat khususnya golongan mampu.

Malah, katanya, tindakan menambah subsidi secara berterusan juga akan meningkatkan ruang untuk penyeludupan kerana wujudnya peluang menjual minyak bersubsidi pada harga yang tinggi di negara-negara jiran.

Selain itu, katanya, ia akan menjadikan rakyat Malaysia tidak menghargai penggunaan minyak yang merupakan sumber yang mahal dalam kehidupan. Permintaan''Dua keadaan ini tidak mustahil akan mendorong permintaan terhadap komoditi itu terus meningkat,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Teng Siew berkata, jika kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan harga minyak, kesan jangka panjangnya ialah bekalan sedia ada akan berkurangan dan yang mengalami kerugian adalah generasi akan datang. ''Kita hendak menggunakan minyak bukan hari ini sahaja tetapi untuk jangka panjang,'' katanya.

Sementara itu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah ketika diminta mengulas kenaikan harga komoditi itu, melahirkan kebimbangan sekiranya harga minyak terus meningkat.

Keadaan itu, menurut Haim, akan mengundang pembaziran di pihak kerajaan kerana terpaksa menampung peningkatan subsidi manakala rakyat negara ini belum bersedia untuk bersama-sama menanggung masalah itu dengan kerajaan.

''Sekiranya jumlah subsidi perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa, keadaan itu dikhuatiri akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara. ''Lebih membimbangkan sekiranya kerajaan terpaksa mengurangkan peruntukan-peruntukan lain seperti untuk pembinaan sekolah yang tidak kurang penting kepada rakyat,'' katanya.

Berikutan itu, beliau meminta kerajaan segera melaksanakan penstrukturan subsidi minyak bagi mengelakkan kerugian lebih besar kerana terpaksa menanggung peningkatan subsidi. Presiden Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia (MICG), Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas pula berpendapat, harga minyak kini berada di paras 'tidak masuk akal', malah langsung tidak pernah terfikir mampu mencecah kedudukan sekarang.

Beliau berkata, walaupun kenaikan harga minyak negara dikatakan masih rendah berbanding negara-negara ASEAN tetapi faktor itu tidak boleh dijadikan kayu pengukur dengan taraf sosio-ekonomi rakyat negara ini.

"Ia kerana, setiap kali harga minyak naik, harga barangan pengguna turut naik dan kita tidak tahu sampai bila rakyat boleh sama-sama menanggung kesan ini," ujar beliau,

Pakar ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, kenaikan harga minyak sudah tentu akan mengakibatkan kesan berganda terhadap barang dan perkhidmatan lain.

Katanya, sekiranya kos pengangkutan meningkat maka harga barangan juga akan meningkat. ''Kalau kualiti hidup menurun berkemungkinan kesihatan sama ada fizikal, mental atau emosi mungkin menganggu kebanyakan penduduk. ''Gangguan kesihatan yang berlarutan akan memberi kesan kepada produktiviti dan seterusnya pengeluaran dan pendapatan negara,'' katanya.

Menteri Minyak Iran, Gholam Hossein Nozar, kelmarin menjangkakan harga minyak akan naik sehingga AS$200 setong (RM640 setong) dalam tempoh terdekat ini, sesuatu yang sukar untuk diterima ketika ini.

Beliau berkata, punca utama yang menyebabkan kenaikan harga bahan bakar itu disokong oleh ekonomi Amerika Syarikat yang terus lemah dan kejatuhan dolar sehingga menyebabkan para pelabur kembali beralih kepada komoditi.

Pakistan adalah antara negara pertama yang mengumumkan kenaikan harga minyak dua kali dalam bulan Mac lalu bagi mengurangkan subsidi yang semakin membebankan akibat lonjakan harga minyak dunia.

Selain itu, kebimbangan terhadap keadaan politik yang tidak menggalakkan di Nigeria dan selatan Iraq turut menjadi penyumbang kepada peningkatan harga minyak. Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC), Abdalla Salem El-Badri pula berkata, pertubuhan itu tidak bercadang untuk meningkatkan pengeluaran minyak kerana bekalan sedia ada mencukupi.

Beberapa penganalisis tempatan enggan mengulas sama ada kerajaan wajar menaikkan harga minyak memandangkan tidak ada tanda-tanda harga komoditi itu akan turun. Malah, tidak ada di kalangan mereka yang berani untuk membuat tafsiran berapa jumlah kenaikan yang wajar dibuat oleh kerajaan sekiranya berhasrat untuk mengurangkan subsidi yang ditanggung.

No comments: