Utusan Malaysia: 01.04.2008
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (Wartawan Utusan)
TIDAK sukar untuk mencari kewajaran Geert Wilders yang begitu nekad untuk menayangkan filem Fitna yang jelas menghina Islam meskipun kerajaan Belanda berusaha untuk menghalang penyiarannya.
Ini bukanlah kali pertama Wilders membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, malah dia sebelum ini pernah menerima 40 ancaman bunuh apabila menayangkan karikatur Nabi Muhammad s.a.w oleh seorang pelukis Denmark di laman sesawangnya.
Sepintas mengenai Wilders, ahli Parlimen Belanda ini dilahirkan sebagai seorang Kristian daripada keluarga Yahudi, namun membesar tanpa mempunyai sebarang pegangan agama atau penganut Atheis.
Justeru, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila Wilders sering kali melihat Islam sebagai ancaman dan begitu bersungguh-sungguh memastikan filem Fitna yang mengambil beberapa kejadian seperti serangan 11 September 2001 dan diselitkan dengan ayat al-Quran itu ditayangkan kepada dunia.
Apa yang diharapkan oleh Wilders daripada penayangan filem itu sebenarnya tiada kaitan langsung dengan nilai-nilai seni atau kehebatan berkarya, sebaliknya lebih kepada cubaan untuk membangkitkan kemarahan umat Islam sejagat.
Pastinya, Wilders sudah berjaya kerana ketika ini reaksi kemarahan dan kecaman seluruh masyarakat Islam terhadap Wilders dapat disaksikan di mana-mana termasuk di Indonesia dan Pakistan malah di Armsterdam sendiri.
Namun bagi Wilders, kemarahan dan kecaman umat Islam itu bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti sebaliknya disambut dengan perasaan yang puas dan gembira.
Ini kerana, aksi tunjuk perasaan itu pastinya disimpulkan oleh masyarakat Barat sebagai satu lagi pendekatan kekerasan yang digalakkan oleh Islam dan secara tidak langsung membuktikan kebenaran inti pati filem Fitna.
Tetapi apa yang tidak disedari oleh Wilders barangkali, umat Islam di seluruh dunia sebenarnya boleh menghukum dengan lebih berat melebihi sekadar aksi tunjuk perasaan dan membakar bendera Belanda semata-mata.
Wilders mungkin terlupa bahawa masyarakat Islam di seluruh dunia merupakan pengguna terbesar kebanyakan produk yang dihasilkan oleh Barat termasuklah barangan keluaran Belanda.
Sekiranya umat Islam bersatu padu memulaukan produk Belanda terutamanya makanan berasaskan tenusu yang sangat popular dari negara tersebut, industri berkenaan boleh lumpuh dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada ekonomi negaranya.
Malaysia juga dalam bersatu dengan suara kemarahan umat Islam di seluruh dunia terhadap tayangan filem Fitna yang jelas menghina Islam boleh mengambil tindakan serupa dengan memulau produk keluaran Belanda.
Rakan niaga
Jika melihat kepada hubungan perdagangan Belanda dan Malaysia seperti yang dicatatkan tahun lalu, negara itu berada pada kedudukan ke-13 sebagai rakan niaga terbesar dengan jumlah perdagangan mencecah RM26.87 bilion.
Daripada jumlah itu, nilai import produk Belanda ke negara ini mencecah RM3.28 bilion manakala selebihnya atau kira-kira RM23.58 bilion pula adalah nilai dagangan barangan Malaysia yang dieksport ke negara tersebut.
Rekod yang dipetik daripada laman web kedutaan Belanda di Malaysia itu turut menyenaraikan sebanyak 146 syarikat dari negara berkenaan beroperasi di sini ketika ini, mencakupi pelbagai bidang daripada sektor makanan sehinggalah kepada industri minyak dan teknologi maklumat.
Melihat kepada jumlah perdagangan di antara Belanda-Malaysia itu, jelaslah negara ini merupakan salah sebuah rakan niaga yang penting dan menjadi salah satu destinasi kepada produk-produk keluaran Belanda.
Malah, beberapa jenama dari negara berkenaan seperti produk makanan Dutch Lady, barangan elektrik Philips dan syarikat minyak Shell merupakan antara produk yang sangat sinonim dan popular di kalangan pengguna.
Justeru, langkah memulaukan produk keluaran Belanda seperti kata Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, adalah tindakan yang wajar sebagai pengajaran ke atas negara berkenaan yang mengambil mudah terhadap sensitiviti agama seperti yang terkandung dalam filem Fitna.
Menurut beliau, biarpun tindakan memboikot adalah bersifat sementara dan lebih berasaskan sensitiviti agama, namun ia merupakan langkah yang tepat dalam membayangkan pendirian negara yang tidak akan berkompromi dengan sebarang isu sensitif terutama mengenai Islam.
Berdasarkan nilai import produk Belanda yang hanya berjumlah 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan import tahun lalu, negara sebenarnya tidak terlalu bergantung kepada produk keluaran negara itu dan boleh mendapatkan produk alternatif lain dengan mudah.
Namun ujar Haim Hilman, usaha memulaukan produk Belanda bergantung sepenuhnya kepada sejauh mana masyarakat memahami isu yang sedang dihadapi ketika ini dan mengambil berat terhadap perlunya tindakan dikenakan ke atas negara tersebut.
Untuk itu beliau menyarankan, semua pihak terutamanya kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat dengan dibantu oleh pelbagai saluran media perlu bersama-sama memberikan komitmen dalam menunjukkan rasa kemarahan rakyat secara total.
‘‘Kita pernah berjaya memboikot barangan keluaran British pada tahun 80-an menerusi kempen Buy British Last bagi membantah kenaikan besar yuran ke atas pelajar Malaysia yang belajar di United Kingdom oleh kerajaan British dan pendekatan serupa juga boleh digunakan terhadap produk Belanda ketika ini.
“Meskipun negara tidak mempunyai kekuatan daripada sudut lain seperti ketenteraan misalnya untuk memberi pengajaran kepada Belanda, namun kita mempunyai kuasa yang jauh lebih kuat daripada sudut ekonomi iaitu kuasa membeli,” katanya.
Memulau
Tindakan memulau produk juga tambah Haim Hilman boleh diperkukuhkan dengan tindakan diplomatik dengan menuntut Belanda memohon maaf dan menarik balik sokongan terhadap filem Fitna sebelum hubungan perdagangan boleh disambung semula.
Ia secara tidak langsung katanya, boleh membawa dimensi baru kepada hubungan Malaysia-Belanda yang selepas ini pastinya sangat memahami dengan jelas bahawa negara tidak sesekali akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang dengan sengaja menghina Islam.
Tindakan yang lebih agresif dalam memboikot produk Belanda juga sedang dilakukan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang ketika ini giat mengumpulkan senarai produk dari negara berkenaan untuk dihebahkan kepada pengguna.
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, dalam usaha itu persatuan-persatuan pengguna memerlukan kerjasama padu daripada seluruh masyarakat di negara ini bukan semata-mata kerana agama tetapi atas semangat perpaduan dan masyarakat yang cintakan keamanan.
‘‘PPIM sebelum ini pernah mengeluarkan senarai beberapa produk yang perlu diboikot berdasarkan beberapa sebab termasuk yang jelas menghina Islam dan usaha seperti ini akan terus dilaksanakan selagi negara-negara ini tidak sedar dan bertanggungjawab di atas perbuatan mereka,” katanya.
Monday, December 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment