Wednesday, December 3, 2008

Tambah Rebat Belum Tentu Ringan Beban Rakyat

Utusan Malaysia: 18.07.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

BELUM pun selesai satu pusingan pemberian rebat tunai kepada pemilik kenderaan, sudah kedengaran permintaan pihak tertentu supaya jumlahnya ditingkatkan.

Tambahan pemberian rebat tunai tidak dinafikan merupakan satu langkah yang menggembirakan rakyat, apatah lagi bagi golongan berpendapatan rendah yang hanya memiliki motosikal. Dengan rebat tunai sebanyak RM150, jumlah itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan kos taraf hidup yang semakin meningkat hari ini.

Justeru jika tambahan rebat tunai itu dilaksanakan kelak, ia perlu dipastikan mencapai sasaran untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah, manakala rebat tunai untuk pemilik kereta pula ditambah mengikut kewajaran dan kesesuaian.

Namun perlu diakui, tambahan rebat tunai bukanlah penyelesaian jangka masa panjang dalam meringankan beban rakyat kebanyakan.

Tindakan itu jika boleh dinilai, hanya menjadikan kerajaan sebagai mangsa keadaan kepada senario kenaikan harga minyak mentah dunia yang tidak membayangkan tanda-tanda untuk berkurang.

Seandainya harga minyak mentah dunia mencecah ke paras AS$200 (RM648) setong seperti yang diramalkan pakar ekonomi dalam masa terdekat, adakah kerajaan perlu sekali lagi meningkatkan rebat tunai?

Mekanisme subsidi kepada rakyat ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada mengurangkan beban peningkatan harga minyak mentah yang dinaikkan sebanyak 78 sen bermula 5 Jun lalu.

Sedangkan hakikatnya, rakyat kebanyakan terpaksa mencerap lebih banyak kesan sampingan daripada kenaikan harga minyak itu termasuk harga barang makanan dan perkhidmatan yang melambung.

Mengambil contoh mudah kenaikan harga beras, sayur-sayuran dan barangan makanan lain serta tambang perkhidmatan seperti bas, kesan berantai itulah yang semakin menyempitkan nafas dan poket rakyat kebanyakan terutamanya golongan berpendapatan rendah dan miskin.

Lebih malang, golongan itu yang kebanyakannya tidak berkenderaan atau sekadar mempunyai motosikal hanya layak menuntut rebat tunai yang rendah iaitu RM150, jumlah yang sangat kecil nilainya jika dibandingkan dengan taraf perbelanjaan seharian ketika ini, apatah lagi untuk tempoh setahun.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mampu pun untuk memiliki motosikal sendiri, apakah kewajaran mereka untuk menuntut rebat tunai dan apakah pula alasan mereka untuk mengelak daripada kesan kenaikan minyak?

Perlu untuk diketahui golongan berpendapatan rendah dan miskin di negara ini sangat tinggi jumlahnya iaitu mencecah 30 peratus daripada penduduk.

Sebahagian besar daripada mereka tinggal di bandar-bandar utama termasuk di sekitar Lembah Klang dan Johor Baharu, yang diketahui sangat tinggi kos sara hidup. Lalu desakan hidup ketika ini pastinya lebih menghimpit golongan itu sekali gus menuntut perhatian menyeluruh daripada kerajaan melebihi pemberian rebat tunai semata-mata.

Dalam memastikan matlamat pemberian subsidi benar-benar mampu meringankan beban golongan miskin, kerajaan menurut Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, perlu mengenalpasti golongan itu dan memberikan bantuan secara langsung.

Antara langkah yang difikirkan wajar dan sering dicadangkan sebelum ini ialah pemberian kupon atau kad subsidi kepada golongan miskin bagi membolehkan ia ditukarkan dengan barangan keperluan terutamanya makanan di kedai-kedai terpilih.

Dalam usaha yang sama, kerajaan juga perlu menyelaras dan memperkemas bantuan tunai yang diberikan menerusi agensi seperti jabatan kebajikan masyarakat dan pusat zakat bagi memastikan tidak ada golongan miskin yang tercicir.

''Langkah itu boleh dilakukan dengan membina pangkalan data rakyat miskin bagi membolehkan kerajaan memantau bantuan yang diberikan supaya sesuai dan berpatutan dengan tanggungan dan keperluan setiap isi rumah," katanya.

Seperkara yang menarik perhatian seperti yang dijelaskan oleh Haim juga ialah kemampuan kerajaan untuk mengubah keanjalan turun naik harga minyak mentah dalam negara.

Dengan pendapatan daripada sumber- sumber lain seperti perolehan daripada syarikat milik kerajaan (GLC) termasuk syarikat yang mencatatkan keuntungan luar biasa, kerajaan seharusnya fleksibel dalam menetapkan harga siling minyak termasuk bersedia menurunkan harganya.

''Mengambil contoh cadangan tambahan rebat tunai misalnya, adalah lebih baik sekiranya kerajaan menggunakan peruntukan baru itu bagi menampung subsidi minyak semasa sekali gus mengurangkan harganya.

''Penurunan harga minyak itu biarpun dalam jumlah yang kecil seperti 20 sen atau 30 sen memberikan kesan yang sangat besar dan menyeluruh terutamanya kepada sektor perindustrian sekali gus mengelak kenaikan harga barang makanan dan perkhidmatan yang melampau," katanya.

Haim turut menyentuh mengenai larangan penjualan minyak kepada warga asing terutamanya di negeri bersempadan yang ditarik semula ekoran kenaikan harga yang disifatkan satu kerugian kepada negara.

Larangan itu katanya menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM700 juta apabila terpaksa menanggung subsidi kepada rakyat asing sedangkan jumlah itu boleh digunakan semula untuk menambah peruntukan subsidi minyak negara.

Tidak menolak tindakan melarang penjualan minyak itu mampu menjejaskan pengusaha stesen minyak, namun kerajaan boleh menanganinya menerusi pemberian insentif lain termasuk peluang meneroka cabang perniagaan baru.

Menyentuh mengenai mekanisme penyelesaian jangka masa panjang dalam mendepani krisis kenaikan harga minyak pula, Haim berkata, kerajaan wajar menumpukan kepada pendekatan berorientasikan teknologi.

Apatah lagi ketika harga minyak mentah dunia dilihat berada pada paras 'selesa' ke- tika ini, usaha mencari tenaga alternatif perlu dipergiatkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada minyak mentah.

Antara langkah yang difikirkan wajar ialah membentuk kerjasama yang lebih erat dengan negara serantau serta dengan negara-negara maju yang sudah pun merintis penggunaan teknologi tenaga alternatif.

No comments: