Tuesday, December 2, 2008

Syarikat Kecil Terancam

Utusan Malaysia: 02.06.2008
(Tajuk Utama Muka Hadapan)

Oleh Amran Mulup

KUALA LUMPUR 1 Jun – Pertumbuhan ekonomi negara boleh tergugat jika kerajaan sekadar memberikan subsidi minyak kepada pengguna dan mengabaikan syarikat-syarikat kecil yang bukan bertaraf multinasional.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah khuatir jika subsidi minyak tidak diberikan kepada syarikat-syarikat kecil termasuk yang terlibat dalam industri kecil dan sederhana (IKS), ada kemungkinan banyak syarikat terbabit terpaksa gulung tikar.

Menurut beliau, adalah sukar bagi syarikat-syarikat itu meneruskan operasi atau bersaing di pasaran terbuka jika kerajaan tidak memberikan subsidi minyak.‘‘Tanpa subsidi kerajaan, secara tidak langsung kos operasi dan pengeluaran akan meningkat hingga mengakibatkan barang-barang yang dijual juga mengalami kenaikan harga.

‘‘Syarikat terbabit tidak akan mampu untuk bersaing dengan syarikat multinasional di pasaran terbuka yang masih menawarkan harga yang rendah dan ini memaksa mereka menutup operasi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Haim Hilman mengulas mengenai langkah kerajaan memperkenalkan satu mekanisme baru Ogos ini bagi menangani beban kewangan yang semakin meningkat kesan kenaikan melambung harga minyak di pasaran dunia. Di bawah mekanisme itu, subsidi minyak hanya akan diberikan kepada pengguna yang layak apabila mereka mengisi bahan bakar itu di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, melalui mekanisme itu subsidi diubah ke peringkat jualan daripada di peringkat pengeluaran sekarang. Mengulas lanjut, Haim Hilman berkata, ada kemungkinan besar banyak syarikat IKS yang rata-ratanya milik bumiputera akan menutup operasi mereka.

‘‘Kita sedia maklum kebanyakan IKS adalah milik bumiputera. Tanpa subsidi minyak daripada kerajaan sudah tentu mereka tidak mampu bersaing dengan syarikat multinasional,’’ katanya. Jika ini terjadi, jelasnya, pertumbuhan ekonomi negara akan terjejas seterusnya mengundang gejala sosial seperti jenayah, mencuri dan rompakan.

‘‘Apabila syarikat tutup, ramai orang akan menganggur dan kesempitan wang boleh menjurus kepada berlakunya jenayah,’’ katanya. Sehubungan itu, Haim Hilman mencadangkan agar kerajaan mengambil kira syarikat bukan multinasional untuk turut diberikan subsidi.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan satu mekanisme baru mengkategorikan syarikat-syarikat tertentu yang wajar mendapat subsidi minyak. Katanya, prinsip kesaksamaan dan keadilan dalam pembahagian subsidi juga wajar diberikan kepada industri-industri kecil tertentu supaya mereka yang benar-benar layak mendapat subsidi. Bagi syarikat multinasional pula katanya, adalah wajar bagi yang berkemampuan membayar lebih mengikut harga pasaran.

No comments: