Tuesday, December 2, 2008

Inflasi Naik Mendadak?

Utusan Malaysia: 05.06.2008

KUALA LUMPUR 4 Jun - Peningkatan harga petrol dan diesel sebanyak 40 peratus yang berkuat kuasa esok dibimbangi akan mengakibatkan peningkatan inflasi secara mendadak.

Para penganalisis ekonomi tempatan berkata, kebimbangan tersebut berdasarkan kenaikan harga petrol dan diesel itu amat mengejutkan kerana 'terlalu tinggi'.

Menurut mereka, walaupun kenaikan harga bahan api itu memang sudah diramalkan namun tidak menyangka kerajaan akan menaikkan harga petrol sehingga 78 sen kepada RM2.70 seliter dan diesel sebanyak RM1 kepada RM2.58 seliter berbanding RM1.58 sekarang.

Penganalisis teknikal MIMB Investment Bank, Pong Teng Siew berkata, dalam keadaan sekarang kenaikan itu wajar dianggap tinggi dan dijangka memberi kesan kepada keseluruhan ekonomi pada jangka pendek dan sederhana.

Katanya, kenaikan harga petrol dan diesel sepatutnya mengambil kira seluruh aspek dan bukan hanya kepada penggunaan minyak dalam kenderaan sahaja.

Harga minyak yang tinggi sudah pasti akan memberi impak bukan sahaja kepada perbelanjaan pengguna tetapi turut menjejaskan ekonomi.

''Kenaikan harga petrol dan diesel akan menjejaskan ekonomi kerana bakal meningkatkan harga barang, makanan dan pengangkutan, sekali gus menjejaskan kos hidup rakyat Malaysia.

''Dengan kenaikan bahan bakar ini, saya menjangkakan Indeks Harga Pengguna pada bulan Jun akan meningkat 0.5 hingga 0.6 peratus kepada tiga hingga empat peratus berbanding 2.6 peratus sekarang.

''Walaupun kita perlu bersikap realistik dalam menghadapi kenaikan harga minyak tetapi kenaikan sepatutnya dilakukan secara berperingkat-peringkat supaya rakyat Malaysia dapat menerima (kenaikan) secara perlahan-lahan.

''Atau dengan kata lain, kerajaan perlu menaikkan harga minyak mengikut kenaikan harga pasaran global dan bukan seperti yang diamalkan sekarang,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah juga menyifatkan kenaikan harga petrol dan diesel sebanyak 40 peratus itu adalah besar dan bakal menjejaskan sosioekonomi rakyat.

Paling terkena tempias dengan kenaikan harga minyak ialah golongan berpendapatan rendah dan masyarakat luar bandar.

''Golongan inilah yang akan paling terasa kesan kenaikan minyak kerana kenaikan itu mengakibatkan peningkatan harga barang.''Meskipun kerajaan akan memperkenalkan rebat tunai bahan api dibayar kepada pemilik kenderaan persendirian sebagai satu bentuk subsidi minyak tetapi insentif itu tidak akan dinikmati oleh golongan yang tidak memiliki kenderaan.

''Sebab itu, kenaikan harga minyak tidak boleh hanya berpandukan kepada penggunaan minyak dalam kenderaan sahaja,'' ujar beliau. Tokoh ekonomi tempatan, Tan Sri Ramon Navaratnam pula berpendapat kenaikan harga bahan api itu adalah tepat dan kena pada masanya kerana ia boleh mengurangkan beban subsidi yang ditanggung oleh kerajaan.

''Ini adalah hakikat yang perlu diterima oleh rakyat Malaysia kerana pengurangan subsidi minyak akan melindungi golongan miskin dan mengurangkan 'subsidi secara haram' yang selama ini dinikmati oleh golongan kaya,'' katanya. Bagaimanapun, beliau berharap kerajaan akan menggunakan penjimatan subsidi untuk penggunaan asas komoditi bagi golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, harga minyak dunia hari ini jatuh kepada AS$123.72, susut 59 sen disebabkan oleh kejatuhan mendadak mata wang dolar. Harga komoditi itu mencecah paras tertinggi dalam sejarah kepada AS$135.09 ketika diniagakan di pasaran hadapan New York pada 22 Mei lalu.

No comments: