Tuesday, December 2, 2008

Kerajaan Tidak Terdesak Naikkan Harga Minyak

Utusan Malaysia: 20.05.2008

Oleh Ainul ASniera ahsan

KUALA LUMPUR 19 Mei - Kerajaan dijangka tidak terdesak untuk menaikkan harga minyak dalam waktu terdekat walaupun harga komoditi itu diramalkan terus meningkat berikutan kemerosotan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan kelembapan mata wang negara itu.

Beberapa tokoh, pensyarah dan penganalisis ekonomi tempatan berkata, jangkaan dibuat berdasarkan kepercayaan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan rakyat terus dibelenggu beban akibat kenaikan kos yang berpunca daripada kenaikan harga minyak. Selain itu, masyarakat Malaysia dilihat masih memiliki kecenderungan tinggi dengan mengharap agar subsidi yang ditanggung oleh kerajaan diteruskan.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah tidak menafikan kerajaan sedang menanggung subsidi minyak yang tinggi, namun yakin negara akan terus menanggungnya dalam satu tempoh tertentu.

Beliau yang enggan mengulas mengenai tempoh yang dimaksudkan itu berkata, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk kerajaan menaikkan harga minyak kerana ia akan menimbulkan tekanan semula kepada kerajaan.

''Parti pembangkang telah berjaya menimbulkan isu kenaikan harga barang dan minyak semasa pilihan raya lalu walaupun isu yang dibangkitkan adalah kurang tepat.

''Jadi, sekarang bukan waktu terbaik untuk berbuat demikian, namun saya percaya kerajaan mempunyai penanda aras tertentu (harga minyak) untuk menaikkannya,'' katanya kepada Utusan Malaysia. Jumlah subsidi minyak yang ditanggung oleh kerajaan sekarang ialah RM45 bilion berbanding RM35 bilion pada awal tahun ini.

Harga runcit seliter petrol RON97 pada November 2007 di Malaysia ialah RM1.92 berbanding di Indonesia (RM2.57), Thailand (RM3.19), Filipina (RM3.45), Singapura (RM5.07) dan United Kingdom (RM7.03).

Penganalisis tempatan, Pong Teng Siew pula berkata, walaupun kerajaan kini dalam keadaan 'mampu bertahan' namun rakyat perlu bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan harga bahan bakar itu.

Beliau berkata, dengan mengambil kira kenaikan harga minyak global yang kini berada di paras AS$126 setong (RM404 setong), kenaikan harga minyak yang perlu dihadapi rakyat Malaysia ialah 30 peratus atau kira-kira 60 sen. ''Ini adalah hakikat yang perlu difahami oleh rakyat kerana kerajaan tidak akan sampai bila-bila mampu terus menanggung peningkatan subsidi minyak,'' ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia, Tan Sri Ramon Navaratnam pula bimbang langkah kerajaan yang terus bertahan dalam menaikkan harga minyak akan terus menjejaskan kehidupan golongan kurang mampu.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya bersikap realistik, pragmatik dan berhemat dalam menghadapi isu kenaikan harga minyak. ''Kenaikan harga minyak bukan kawalan Kerajaan Malaysia atau mana-mana negara tetapi ia membabitkan isu dunia.

''Saya khuatir sekiranya peruntukan besar terus diberikan kepada subsidi minyak, perkara-perkara lain yang seharus diberi keutamaan akan dipinggirkan,'' tegas beliau. Lagipun, katanya, golongan kurang mampu tidak menikmati subsidi minyak seperti mana golongan mampu.

No comments: