Tuesday, December 2, 2008

Kesan kempen MAS-AirAsia

Utusan Malaysia: 16.05.2008

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)

SESUATU yang menarik perhatian orang ramai ketika ini adalah perang harga tambang murah antara dua syarikat penerbangan utama negara iaitu Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia).

Sejak MAS melancarkan kempen 'Tambang Murah Setiap Hari' bermula 5 Mei lalu dan memperluaskan pula ke laluan antarabangsa terutamanya ke negara ASEAN, ia ternyata mengancam kedudukan AirAsia sebagai pelopor konsep penerbangan tambang murah di negara ini.

Konsep serupa yang diperkenalkan MAS itu bukanlah saingan bagi AirAsia meskipun mereka turut menawarkan tiket percuma sebagai reaksi balas beberapa hari kemudiannya.

Ini kerana dalam persaingan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu, pasti ramai yang bersetuju bahawa MAS mempunyai banyak kelebihan untuk menarik lebih ramai penumpang. Sebagai sebuah syarikat penerbangan kebangsaan, penumpang MAS tidak hanya ditawarkan tambang yang murah sebaliknya berpeluang menikmati perkhidmatan bertaraf lima bintang.

Dari sudut kepenggunaan, perang harga tambang murah oleh kedua-dua syarikat penerbangan itu bagaikan satu bonus kepada orang ramai yang sebelum ini berkira-kira untuk melancong kerana harga tambang penerbangan yang mahal.

Apatah lagi tawaran tambang murah itu juga tidak terhad untuk laluan domestik sebaliknya turut membabitkan penerbangan antarabangsa terutamanya ke negara-negara ASEAN. Ia secara tidak langsung meningkatkan kecairan ringgit di kalangan orang ramai dalam sektor penerbangan dan pelancongan yang kemudiannya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.

Namun, dari perspektif yang lebih luas dan jangka masa panjang, persaingan tambang murah antara AirAsia dan MAS sebenarnya boleh membunuh survival salah sebuah syarikat penerbangan tersebut pada masa depan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah, persaingan agresif di antara AirAsia dan MAS dalam merebut penumpang ketika ini boleh meninggalkan kesan negatif kepada salah sebuah syarikat penerbangan.

Haim berkata, strategi menarik pelanggan sebegitu adalah persaingan yang tidak sihat yang mana pada penghujungnya, hanya syarikat yang benar-benar kuat sahaja mampu bertahan manakala syarikat yang lemah akan 'jatuh' dalam industri ini.

Sekiranya itu berlaku jelas beliau, ia adalah satu kerugian yang besar ketika negara seharusnya berbangga dengan dua buah syarikat tempatan yang berpotensi dan beroperasi dengan cemerlang serta membanggakan di peringkat antarabangsa.

Justeru bagi mengelak kemungkinan tersebut, Haim menjelaskan, kedua-dua syarikat penerbangan itu perlu berbincang secara serius dan terbuka terutamanya dalam aspek pembahagian laluan penerbangan secara adil dan seimbang.

Persaingan laluan yang sama terutamanya bagi penerbangan antarabangsa jelas beliau, tidak seharusnya berlaku apatah lagi ketika permintaan kepada laluan-laluan tertentu yang kurang mendapat sambutan.

Apatah lagi dengan kemasukan syarikat penerbangan tambang murah dari negara lain, kedua-dua syarikat tempatan itu sewajarnya bergandingan dalam memastikan mereka terus menjadi pilihan terutamanya di kalangan penumpang tempatan.

"AirAsia dan MAS seharusnya bersaing dalam penawaran laluan penerbangan yang pelbagai dan bukannya dengan laluan yang sama dan secara terbuka. Strategi perniagaan seperti ini boleh mewujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua belah pihak seterusnya memastikan syarikat kekal untung," jelasnya.

Haim menambah, langkah menawarkan tambang murah secara berterusan juga bukanlah satu strategi yang bijak kerana dengan peningkatan kos operasi terutamanya kenaikan harga bahan bakar, ia boleh memberi kesan negatif kepada pendapatan syarikat.

Sekiranya itu berlaku, salah sebuah syarikat mungkin terpaksa gulung tikar dan ini akan memberikan kesan buruk terutamanya kepada kakitangan yang akan kehilangan pekerjaan selain turut menjejaskan ekonomi negara.

Kesempatan itu juga akan digunakan oleh syarikat yang masih bertahan untuk mengambil alih syarikat yang gagal bersaing seterusnya mewujudkan monopoli dalam industri penerbangan.

"Keadaan ini pastinya tidak menguntungkan pengguna apabila mereka tidak lagi mempunyai pilihan dan sektor penerbangan juga sudah tidak ada persaingan yang sihat. Sedangkan jika kita perhatikan, MAS banyak berubah dan lebih berdaya saing sejak AirAsia memberi cabaran dalam sektor ini beberapa tahun lalu," katanya.

Ketika ditanya pandangan beliau kewajaran AirAsia diberikan keistimewaan yang sama seperti MAS termasuk laluan penerbangan yang lebih, Haim menjelaskan, kerajaan pastinya menimbangkan perkara tersebut dengan melihat kepada faedah yang diberikan oleh AirAsia kepada negara. Beroperasi sebagai sebuah syarikat swasta, AirAsia ketika ini menyumbang kepada pendapatan negara dalam bentuk pembayaran cukai perniagaan.

Sedangkan MAS yang merupakan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC), memberikan faedah yang lebih tinggi kepada kerajaan yang kemudiannya digunakan semula bagi tujuan lain termasuk yang berkaitan kebajikan rakyat. "Bagaimanapun sekiranya AirAsia mampu memberikan pulangan faedah yang sama kepada kerajaan seperti yang diberikan oleh MAS, adalah wajar AirAsia juga diberikan keistimewaan sebagai syarikat penerbangan penuh seperti yang dinikmati MAS," katanya.

Dengan perjanjian langit terbuka bagi laluan bandar ASEAN yang akan dibuka sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan, persaingan dalam menawarkan laluan penerbangan pastinya menjadi lebih rancak. Ia juga pasti ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang bakal menikmati peluang untuk melancong ke destinasi-destinasi baru yang lebih menarik di seluruh dunia dengan harga tambang yang murah. Persoalannya, mampukah salah sebuah syarikat penerbangan negara bertahan sehingga ke tempoh tersebut sekiranya persaingan menawarkan tambang harga murah seperti ketika ini berterusan?

No comments: