Monday, December 1, 2008

Landasan Ekonomi Kukuh

Utusan Malaysia: 11.02.2008

Oleh NORAINI ABD. RAZAK (WARTAWAN UTUSAN)

CATATAN jumlah dagangan negara pada 2006 yang melepasi paras RM1 trilion pastinya menjadi petunjuk yang bukan sedikit terhadap perkembangan ekonomi Malaysia selepas 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Sesungguhnya angka RM1.069 trilion, iaitu kenaikan sebanyak 10.5 peratus berbanding 2005 - nilai dagangan tertinggi dalam sejarah Malaysia - merupakan pencapaian yang amat memberangsangkan.

Ia juga mencerminkan peningkatan aliran perdagangan negara terutamanya dalam nilai eksport meskipun Malaysia terpaksa mengharungi pelbagai cabaran ekonomi, terutamanya krisis kewangan pada tahun 1997 dan kegawatan ekonomi global pada 2001 dan 2002.

Pencapaian itu tidak boleh tidak mesti dikaitkan dengan faktor-faktor dalaman terutama dari sudut ekonomi domestik yang kukuh serta iklim politik yang stabil.

Malah, menurut penganalisis ekonomi, Haim Hilman Abdullah, dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini, kerajaan secara jelas berjaya meningkatkan pencapaian ekonomi negara.

Kejayaan itu, kata pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu, adalah hasil kerja keras kerajaan membina fundamental yang kukuh untuk memastikan negara berada pada landasan yang betul untuk maju.

Apakah fundamental itu? Haim menarik perhatian pembentangan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada April 2006 yang dilihat oleh beliau sebagai langkah membina landasan ke arah pencapaian ekonomi yang mantap untuk memastikan matlamat Wawasan 2020 tercapai.

Agenda pembangunan lima tahun itu, menurut beliau, semestinya dirangka dengan begitu komprehensif supaya menjadi garis panduan untuk melonjakkan ekonomi negara.

‘’Pembentangan RMK-9 yang sarat dengan program-program pembangunan menjadi asas yang jelas kepada usaha untuk merancakkan ekonomi negara supaya ia dapat dimanfaatkan oleh rakyat,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Malah, Haim melihat setiap aspek yang terdapat dalam rancangan itu merupakan azam untuk menjayakan setiap aspirasi dengan penuh ikhlas bagi kepentingan bangsa dan negara Malaysia.

Paling menarik di dalam RMK-9 ialah Misi Nasional yang dirangka oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Ia merangkumi lima teras utama.

Tumpuan Misi Nasional adalah kepada peningkatan nilai tambah dalam ekonomi negara; memupuk keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta membentuk ‘minda kelas pertama’; menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif; meningkatkan tahap dan kemampanan kualiti hidup; dan mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.

“Biar pun masih ada kes-kes yang menjadi rungutan seperti kenaikan harga barang tetapi trend seumpama itu adalah normal.“Ia bukannya mencerminkan kegagalan di pihak kerajaan memenuhi kehendak kerajaan.“Sebaliknya, kerajaan secara bersungguh-sungguh telah berjaya meningkatkan prestasi ekonomi negara sekali gus meletakkan kita di landasan yang betul,’’ katanya.

Selain RMK-9, Haim menyorot perancangan pembangunan wilayah yang pelancarannya dibuat satu persatu dan secara teratur bagi memberi gambaran menyeluruh kepada rakyat apa sebenarnya yang dirangka oleh kerajaan.

Segala-galanya bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor. Amat jelas WPI bertujuan mewujudkan satu kawasan metropolitan yang serba moden sebagai pelengkap kepada Singapura. Terdapat lima agenda dalam pelan induk WPI dengan tumpuan untuk meningkatkan pencapaian ekonomi yang seimbang dan menyeluruh.

Merealisasikan
Sememangnya WPI diyakini menjadi pembuka jalan kepada usaha negara dalam merealisasikan potensi wilayah-wilayah di luar kawasan Lembah Klang. Dengan meliputi kawasan seluas 2,217 kilometer persegi atau seluas 221,634 hektar, WPI adalah kawasan pembangunan terbesar dibangunkan di rantau ini. WPI akan dimajukan setanding Shenzen dan Hongkong di China dan ia diusahakan oleh Khazanah Nasional.

Lima agenda utama menjadi sandaran pembangunan WPI tanpa mengetepikan soal pembangunan modal insan serta menyeimbangkan kemajuan di kawasan luar bandar supaya turut menikmati limpahan WPI.

WPI dijangka mewujudkan 800,000 peluang pekerjaan dalam tempoh 20 tahun dan pendapatan per kapita rakyat Johor akan ditingkatkan lebih sekali ganda. Pembangunan WPI merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Senai di utara Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di tenggara.

Ia membabitkan enam daerah yang ditadbir oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah, Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang, Majlis Perbandaran Kulai dan Majlis Daerah Pontian. Selepas WPI, Perdana Menteri melancarkan pula Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) melibatkan Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak.

Dengan pelaburan sebanyak RM177 bilion mulai sekarang sehingga 2025, ia merupakan rancangan pembangunan komprehensif yang menjanjikan masa depan cerah kepada lebih empat juta penduduk di kawasan terbabit.

Ia adalah usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mempercepatkan tahap pembangunan kawasan utara Malaysia. Hasilnya kemajuan pesat yang dikecapi sejak merdeka dapat dipastikan turut diagih dan dirasai oleh kepada lebih ramai penduduk di setiap pelosok negara.

Konsep pembangunan Koridor Utara dirancang dengan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembleng bersama. Negeri-negeri utara sebenarnya mampu mencapai kemajuan yang lebih pesat dan setanding dengan negeri-negeri lain jika potensinya dimanfaatkan dan kegiatan ekonominya dilakukan secara moden.

Haim sendiri memuji agenda pembangunan mengikut wilayah kerana menurut beliau, ia menjadikan program memajukan negara dibuat secara lebih sistematik dan mempunyai arah yang jelas.

Pelancaran Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan daerah Mersing, Johor yang melibatkan pelaburan RM112 bilion diyakini mampu memberi nafas baru kepada negeri yang terbabit. Sememangnya, program yang akan dilaksanakan dalam tempoh 12 tahun akan datang itu diyakini dapat menangani ketidakseimbangan ekonomi di di wilayah berkenaan.

Di bawah ECER, 227 projek akan dilaksanakan bagi mempercepatkan pertumbuhan wilayah itu untuk dinikmati kira-kira 3.9 juta penduduk Pahang, Terengganu, Kelantan dan daerah Mersing di Johor.

Rancangan pembangunan ini bakal memberi sinar harapan kepada golongan berpendapatan rendah terutama yang masih dihimpit kemiskinan tegar untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan bersama-sama mengecapi nikmat yang dibawa pembangunan negara.

ECER menumpukan kepada usaha untuk mencapai taraf wilayah maju yang dinamik dan berdaya saing menjelang 2020 dan memangkin pembangunan sosioekonomi demi kesejahteraan semua lapisan masyarakat.

Dalam pelan itu kerajaan mengambil pendekatan agar semua negeri Pantai Timur dimajukan sebagai sebuah wilayah bersepadu yang bekerjasama menggembleng usaha, tenaga dan sumber kekayaan asli untuk mencapai kemajuan bersama.

Lima kelompok pembangunan yang menjadi kunci kemakmuran wilayah itu telah dikenal pasti untuk dibangunkan iaitu pertanian, pelancongan, minyak, gas dan petrokimia, pembuatan serta pendidikan.

Bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di wilayah itu, lima projek agropolitan yang bakal memberi faedah kepada 14,000 keluarga miskin tegar di seluruh Pantai Timur akan dilaksanakan. Di bawah ECER, kerajaan menyasarkan pertumbuhan KDNK negeri-negeri Pantai Timur pada kadar purata 7.2 peratus setahun sehingga 2020.

Mengambil kira pembangunan ekonomi negara secara menyeluruh, pastinya Sabah tidak dikecualikan. Sebab itu kerajaan melancarkan pula Koridor Pembangunan Sabah (SDC) yang dilihat amat signifikan kepada negeri di bawah bayu itu. Semestinya SDC mensasarkan objektif utama iaitu menjana pembangunan negeri agar selari dengan pembangunan di Semenanjung.

Ia juga bagi memacu pembangunan seimbang di kalangan rakyat negeri sekali gus mengurangkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar. Matlamat SDC juga bagi memastikan pengurusan secara mapan ke atas sumber-sumber negeri, membangunkan sektor pelancongan dengan memperkenalkan sosiobudaya dan keindahan alam semula jadi serta mewujudkan penyelidikan agrobio secara lebih agresif.

Tiga prinsip utama pelaksanaan SDC iaitu menguasai nilai yang lebih tinggi dalam aktiviti ekonomi, mempromosi pembangunan ekonomi dengan pengagihan seimbang dan menentukan pembangunan secara mapan bagi pemuliharaan alam sekitar.

Sesungguhnya SDC membawa makna besar kepada penduduk Sabah yang selama ini berasa tersisih untuk sama-sama menikmati kemajuan pembangunan dan tidak akan ada lagi rakyat ketinggalan. Setiap orang akan diberi peluang turut serta menikmati kemajuan.

Tiga wilayah yang disebut merangkumi daerah-daerah di timur, barat dan tengah Sabah. Tengah adalah termasuk daerah yang terletak di kawasan pedalaman. Pembangunan projek jangka panjang selama 18 tahun bermula tahun ini akan dilaksana secara holistik seiring dengan matlamat hala tuju yang digariskan oleh kerajaan negeri dalam membangunkan Sabah sebelum ini.

Dan kemuncak kepada agenda merangsang ekonomi negara menerusi program pembangunan wilayah ialah pelancaran Wilayah Pembangunan Ekonomi Pembaharuan Tenaga Sarawak (Score) oleh Perdana Menteri hari ini.

Menutup bicara, Haim berkata, biarpun begitu masih banyak ruang yang boleh diisi untuk memastikan negara sentiasa berada di landasan yang betul dalam menuju Wawasan 2020.

No comments: