Monday, December 1, 2008

Keputusan Proton Tidak Abai DAN

Utusan Malaysia: 24.11.2007

Oleh: NIZAM YATIM (WARTAWAN UTUSAN)

KE manakah hala tuju Dasar Automotif Negara (DAN)? Itulah persoalan yang bermain di fikiran sebahagian besar daripada kita apabila kerajaan pada Selasa lalu mengumumkan keputusan membenarkan Proton Holdings Bhd. (Proton) beroperasi sendiri tanpa rakan strategik asing.

Pengumuman oleh Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) itu, menyebut Proton tidak akan meneruskan sebarang rundingan dengan Volkswagen AG (Volkswagen) dari Jerman dan General Motors Corporation (GM) dari Amerika Syarikat (AS) berhubung pakatan strategik itu.

Menurut Khazanah, keputusan berkenaan dibuat berikutan perkembangan positif dalam syarikat kereta nasional yang ditubuhkan pada tahun 1983 itu dari segi jualan domestik dan eksport.

Keputusan terbabit dianggap mengejutkan oleh banyak pihak berikutan laporan akhbar sebelum ini yang memetik sumber Proton sendiri bahawa hasil rundingan itu adalah sangat positif dan dijangka dimuktamadkan pada bila-bila masa.

Pertanyaan tentang hala tuju DAN yang dilancarkan pada tahun 2005 adalah berikutan terdapat kebimbangan sesetengah pihak bahawa keputusan terbaru itu akan menjejaskan matlamat dasar berkenaan yang salah satunya ialah menggalakkan usaha sama strategik dengan rakan kongsi antarabangsa.

Tanda tanya itu bertambah lagi berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin bahawa DAN tidak akan dipinda dan segala matlamat di dalam akan diteruskan.

Pensyarah Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah yang diminta mengulas perkembangan itu berkata, keputusan kerajaan berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai membelakang DAN.

Sebaliknya, jelas beliau, langkah itu akan memberi lebih masa kepada Proton untuk membuat kajian teliti bagi mencari rakan kongsi yang sesuai sebelum betul-betul diikat dalam satu perjanjian pada masa depan.

“Bagi saya masa untuk menjalinkan pakatan strategik ini belum tiba, sebaliknya Proton perlu diberi peluang untuk bergerak sendiri bagi membolehkan pihak pengurusan memulihkan syarikat.

“Kita semua tahu syarikat kereta nasional yang telah membuktikan keupayaan dengan mengeluarkan model pertama, Proton Saga pada 1985 sedang melaksanakan rancangan pemulihan selepas mengalami kemerosotan jualan bermula tahun 2001 dan ia telah menunjukkan pencapaian positif,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Perkembangan positif itu, melibatkan langkah mengeksport 30,000 unit model Gen.2 ke China mulai bulan ini dan rancangan mengeluarkan 80,000 unit Gen.2 di kilangnya di China menjelang 2012 dalam urus niaga bernilai RM4 bilion.

Proton juga berusaha mengeluarkan dua model baru bagi pasaran China melalui kerjasama dengan anak syarikat kereta ‘sport’ Britishnya, Lotus. Di Indonesia, Proton kini menetapkan sasaran untuk menguasai agihan pasaran automobil tempatan kepada 40 hingga 50 peratus daripada 31 peratus sekarang ini melalui pengenalan model baru.

Satu model bagi menggantikan Proton Saga dijangka dilancarkan pada Januari 2008, manakala kenderaan pelbagai guna (MPV) juga sedang diusahakan bagi pelancaran pada Januari 2009. Proton mengalami kerugian RM591 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2007 dan dijangka mencatat kerugian kecil dalam tahun kewangan semasa.

Jika kita mahu pengurusan Proton meneruskan rancangan untuk memulihkan syarikat itu, ada baik ia tidak diganggu dengan cerita pengambilalihan atau rundingan dengan syarikat gergasi kereta antarabangsa, tegas Haim Hilman.

Dalam hal ini, katanya, negara akan mengalami kerugian sekiranya Proton dibiarkan terus berunding dengan syarikat Volkswagen dan GM yang lebih besar memandangkan ia tidak mempunyai kuasa tawar-menawar yang kukuh.

“Jika diteruskan, kerajaan sudah tentu tidak dapat lagi mengawal hala tuju Proton kerana ia sudah dikuasai oleh syarikat asing. “Adakah kita dapat memberi jaminan bahawa syarikat kereta nasional ini akan terus berusaha mencapai matlamat lain yang digariskan dalam DAN termasuk menggalakkan penyertaan bumiputera dalam industri automotif,” soalnya.

Matlamat-matlamat lain yang digariskan oleh DAN ialah menggalakkan industri automotif tempatan yang berdaya tahan terutama bagi pengeluar kereta nasional serta membangunkan Malaysia sebagai pusat automotif serantau.

Dasar itu juga menggalakkan penyertaan bumiputera yang berdaya saing dan menyeluruh dalam sektor automotif tempatan serta menjaga kepentingan pengguna dengan menawarkan produk yang selamat dan bermutu pada harga berpatutan.

Namun, Haim Hilman berkata, keputusan kerajaan itu bukan bererti pintu rundingan dengan Volkswagen dan GM telah tertutup kerana pakatan strategik masih boleh dilakukan melibatkan bidang khusus seperti reka bentuk kenderaan dan pembuatan enjin.

“Saya berpendapat kerjasama seperti ini yang sepatutnya diutamakan bagi meningkatkan lagi keupayaan Proton supaya ia mempunyai teknologi kenderaan paling terkini, kos pengeluaran yang berdaya saing dan efisien. “Usaha juga perlu dilakukan bagi meningkatkan kualiti kereta keluarannya dan memperkenalkan model-model baru untuk pasaran tempatan dan eksport,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, pakatan strategik seperti yang digariskan dalam DAN perlu diteruskan pada masa depan apabila Proton sudah benar-benar kukuh kerana akan meningkatkan daya saing syarikat kereta nasional itu di peringkat antarabangsa dan membolehkannya meneroka pasaran lebih luas.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Dr. Nasrudin Mohammed yang diminta mengulas isu sama berkata, langkah terbaru kerajaan itu sudah pasti melegakan vendor bumiputera.

Sebelum ini, jelasnya, wujud kebimbangan di kalangan vendor bumiputera yang mereka akan dipinggirkan apabila pakatan strategik itu dikuasai syarikat asing. “Kita tidak menolak pakatan strategik ini tetapi ia sepatutnya dibuat hanya setelah vendor terbabit telah benar-benar bersedia untuk bersaing dengan pengeluar komponen kenderaan dari luar negara,” ujarnya.

Bagaimanapun, tegasnya, perkembangan terbaru itu tidak seharusnya membuatkan vendor bumiputera merasa selesa, kerana kerajaan tidak akan selama-lamanya dapat melindungi mereka. “Mereka harus memberi tumpuan untuk menghasilkan komponen yang menepati piawaian antarabangsa dengan melakukan lebih banyak penyelidikan dan menjalin kerjasama dengan syarikat asing,” katanya.

Menurut beliau, keputusan kerajaan itu juga adalah selaras dengan matlamat asal penubuhan Proton iaitu bagi membolehkan Malaysia menguasai industri automotif yang mempunyai kepentingan strategik kepada negara. Proton ini mempunyai nilai sentimental kepada rakyat dan kita tidak boleh menyerahkannya kepada syarikat asing semata-mata kerana hendak mengejar keuntungan,” katanya.

No comments: