Monday, December 1, 2008

Bantu Pencarum Urus Harta

Utusan Malaysia: 20.10.2007

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinasihat supaya mendapatkan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membantu pencarumnya menguruskan harta dengan bijak.

Pensyarah Pengurusan Perniagaan Universiti Utara Malaysia, Haim Hilman Abdullah memberitahu, ini kerana caruman yang dibuat ke dalam KWSP kini boleh dikeluarkan setiap bulan bagi tujuan pembayaran ansuran rumah.

Katanya, perkara tersebut adalah baik bagi menggalakkan pencarum mengumpul aset tetapi perlu diteliti supaya turut menjamin simpanan hari tua mereka.

“Apa yang merisaukan saya ialah kecenderungan pencarum akan menjual rumah yang dibeli bagi tujuan mendapatkan pulangan dengan cepat dan senang.

“Wang sebegitu biasanya akan dibelanjakan sambil lewa dan habis dalam sekelip mata serta menyebabkan kehilangan aset yang penting iaitu rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Justeru, Haim mencadangkan supaya KWSP mewujudkan satu mekanisme yang komprehensif bagi memantau proses jual beli rumah oleh setiap pencarum dengan kerjasama kementerian terbabit.

Menurutnya, dengan cara itu KWSP dapat mengetahui status semasa pemilikan sesebuah rumah dan seterusnya menjamin aktiviti sihat proses jual beli yang dijalankan pencarum terbabit.

“Contohnya, selepas mereka menjual rumah terbabit, mungkin KWSP perlu mensyaratkan mereka memasukkan semula 30 peratus daripada keuntungan jualan ke dalam akaun masing-masing bagi menambahkan pelaburan,” jelasnya.

Ketika ditanya mengenai fungsi KWSP, beliau berpendapat pengeluaran bulanan wang caruman untuk pembayaran rumah masih lagi bersesuaian dengan slogannya, ‘Simpanan Hari Tua Anda’.

“Pengeluaran wang untuk perumahan juga merupakan satu manifestasi pelaburan dalam bentuk aset yang pastinya menjamin kesejahteraan hidup di hari tua,” jelasnya.

Fenomena pencarum kehabisan wang caruman dalam akaun KWSP tidak lama selepas mereka dibolehkan mengeluarkannya dikhuatiri akan bertambah selepas pengumuman Bajet 2008 September lalu.

Ini kerana antara lain, bajet tersebut telah membenarkan para pencarum mengeluarkan wang setiap bulan daripada akaun KWSP mereka bagi tujuan membayar ansuran perumahan.

No comments: