Oleh NIZAM YATIM dan CYNTHIA YEOH
Utusan Malaysia: 30.07.2007
KUALA LUMPUR 29 Julai – Seorang ahli ekonomi hari ini mencadangkan supaya pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM9,600 dalam Bajet 2008 bagi mengurangkan bebanan orang ramai akibat peningkatan harga barangan dan kos sara hidup.
Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, peningkatan pelepasan cukai kira-kira 20 peratus itu adalah munasabah bagi membantu rakyat berpendapatan sederhana yang hanya bergantung kepada gaji bulanan.
Beliau berkata, pelepasan untuk anak-anak dan isteri yang masing-masing pada kadar RM1,000 dan RM3,000 juga perlu ditingkatkan lagi bagi membolehkan kadar cukai yang dibayar berkurangan atau dikecualikan sama sekali.
‘‘Biaya menguruskan sara hidup anak-anak dan keperluan harian lain semakin meningkat termasuk membeli buku, duit poket sekolah anak-anak, pakaian, susu dan lampin bayi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop semalam bahawa Bajet 2008 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat pada 7 September ini akan memberi kejutan kepada rakyat.
Nor Mohamed yang tidak menjelaskan bentuk kejutan itu berkata, bajet tersebut akan meneruskan tradisi bajet-bajet terdahulu iaitu menitikberatkan kepentingan dan keperluan rakyat.
Haim Hilman menjelaskan, langkah meningkatkan pelepasan cukai individu boleh memberi kesan sosial yang baik kerana anak-anak dapat mengirim wang lebihan itu bagi membantu ibu bapa di kampung. Beliau berkata, Bajet 2008 juga perlu menyediakan peruntukan besar bagi sektor pendidikan khususnya latihan vokasional.
Katanya, langkah itu akan memastikan golongan belia yang tidak berpeluang ke universiti dapat mempelajari pelbagai kemahiran bagi membolehkan mereka diterima di pasaran kerja.‘‘Ini boleh mengurangkan jumlah belia yang terjebak dengan penagihan dadah,” ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpendapat peningkatan pelepasan cukai itu harus melibatkan pelepasan RM1,000 yang kini diberikan bagi pembelian buku selain memberi insentif kepada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Noor Nirwandy juga mencadangkan kerajaan menyediakan mekanisme berkesan bagi memecahkan monopoli dalam sistem pengedaran barang-barang.
“Selagi sistem monopoli dalam sektor pemborongan masih wujud, harga barangan akan terus naik walaupun pemantauan dilakukan,” katanya.
Monday, December 1, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment