Monday, December 1, 2008

Dasar Kerajaan Pengaruhi Ekonomi

Utusan Malaysia: 14.02.2008

Oleh AIZAWATI AHMAD

KUALA LUMPUR 13 Feb. – Dasar kerajaan untuk tidak bergantung kepada pasaran Amerika Syarikat (AS) semata-mata merupakan faktor utama membolehkan perdagangan negara ini dapat berkembang dengan baik.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, ini kerana dasar tersebut menyebabkan negara mengubah fokus untuk turut berdagang dengan negara anggota ASEAN, Eropah dan negara-negara bekas Kesatuan Soviet.

“Kemajuan yang dicapai berpunca daripada dasar-dasar yang amat tepat bagi memangkin ekonomi Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini mengenai perdagangan negara terus kukuh pada 2007 dengan nilai dagangan RM1.1097 trilion iaitu meningkat sebanyak 3.7 peratus berbanding RM1.0697 trilion pada 2006.

Prestasi itu yang dicapai ketika kemelesetan ekonomi sedang melanda Amerika Syarikat (AS) merupakan tahun kedua negara mencatat jumlah perdagangan melebihi RM1 trilion.

Menurut Haim, kerajaan perlu mempelbagaikan pasaran dengan meluaskannya kepada negara-negara Amerika Selatan seperti Brazil, Argentina dan Chile.

Jelas beliau lagi, walaupun, Malaysia telah mempunyai hubungan dagangan dengan negara terbabit tetapi kerajaan perlu mengambil inisiatif untuk meluaskan pasaran yang sedia ada.

Katanya, negara ini mengamalkan ekonomi pasaran terbuka yang terdedah kepada banyak risiko tetapi ia juga bakal memberi manfaat kepada peluang pasaran yang luas di peringkat global.

“Kita masih ada ruang untuk meningkatkan lagi dagangan sedia ada dalam usaha mencari pasaran baru selain terus mengemas kini dasar-dasar serta polisi negara bersesuaian dengan keperluan semasa,” tegasnya.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Syarikat Tersenarai Awam, Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas pula berkata, perkembangan tersebut mencerminkan bahawa ekonomi negara ini berada pada kedudukan yang kukuh.

Jelasnya, peningkatan eksport negara khususnya bagi komoditi kelapa sawit dan juga produk elektrik serta elektronik telah meletakkan dagangan Malaysia terus berkembang dari tahun ke tahun.

“Prestasi dagangan yang dicatatkan itu turut memberi implikasi yang baik kepada para peneroka sawit dan juga pekerja-pekerja bagi sektor pembuatan elektronik,” katanya.

No comments: