Utusan Malaysia: 07.08.2008
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL (WARTAWAN UTUSAN)
SETELAH berada di sekitar tiga ke empat peratus dari awal tahun ini hingga Jun lalu, kadar inflasi semasa ketika ini direkodkan mencecah sehingga 7.7 peratus, kesan daripada kenaikan harga makanan dan minyak mentah di pasaran dunia.
Ia melebihi jangkaan lima peratus oleh Bank Negara, sekali gus menjadi satu angka yang boleh dianggap agak tinggi dan cukup untuk menggambarkan beban kos yang ditanggung oleh pengguna ketika ini.
Lebih membimbangkan, kadar inflasi diramal akan terus meningkat sehingga pertengahan tahun depan, meletakkan golongan miskin dan berpendapatan rendah kekal sebagai mangsa yang terhimpit dengan taraf hidup yang semakin tinggi.
Hakikatnya inflasi selama ini ditangani oleh Jawatankuasa Kabinet Membendung Inflasi dan Majlis Membanteras Inflasi Negara, namun cabaran kepada ekonomi negara ketika ini terlalu hebat dan sukar untuk ditangani.
Lalu, apabila Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Majlis Ekonomi yang bertindak sebagai badan penasihat dalam menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi negara, ia pastinya memberikan harapan baru kepada pemulihan taraf hidup rakyat.
Melihat kepada struktur dan modus operandi seperti yang digariskan, ia secara jelas mencakupi satu bentuk tindakan pemulihan ekonomi yang sangat luas dan lebih fokus serta mencakupi pelbagai bidang utama.
Malah, objektif yang digariskan oleh Majlis Ekonomi jika diteliti dengan mendalam berfungsi sama seperti Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), yang ditubuhkan bagi mengatasi krisis ekonomi pada 1997 dan 1998, sekali gus diharapkan mampu memainkan peranan yang sama dalam menangani cabaran inflasi ketika ini.
Menaruh keyakinan yang tinggi terhadap peranan yang bakal digalas oleh Majlis Ekonomi, Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Mohd. Fauzi Mohd. Jani berkata, penubuhannya perlu memberi penekanan kepada isu semasa seperti penyelerasan harga minyak serta pembangunan di koridor dan wilayah yang telah dirancang.
Paling utama, Majlis Ekonomi perlu memberi perhatian kepada usaha untuk mengatasi kelembapan ekonomi dalam negara serta global dan merangsang kembali pertumbuhannya sekurang-kurangnya sehingga 10 peratus.
Kadar pertumbuhan ekonomi itu jelas Mohd. Fauzi, bukanlah sesuatu yang sukar melihat kepada potensi dan ruang yang ada di dalam serta luar negara untuk diberikan tumpuan sepenuhnya.
Mengambil contoh sektor pertanian misalnya, cabang ekonomi itu boleh digerakkan semaksimum mungkin dengan suntikan teknologi tinggi serta projek tanaman bernilai tinggi yang mampu memberikan pulangan yang lumayan.
Sektor lain yang boleh diberi tumpuan oleh Majlis Ekonomi jelas beliau, termasuk meningkatkan pengeluaran produk di kalangan industri kecil dan sederhana (IKS) dengan memastikan kualiti produk menepati piawaian antarabangsa.
''Memperkasakan IKS perlu menjadi agenda utama untuk menggalakkan pengeluaran produk dalam negara dan mengembalikan semula kuasa membeli di kalangan pengguna pada harga yang berpatutan.
''Ini sekali gus dapat menurunkan semula kadar inflasi dalam negara, malah jika sektor ini diberikan tumpuan sepenuhnya, ia mampu menurunkan kadar inflasi sekitar ke dua hingga tiga peratus," katanya.
Dalam masa yang sama jelas Mohd. Fauzi, tumpuan kepada pembangunan IKS juga perlu mampu melonjakkan kepada perhubungan perdagangan antarabangsa terutamanya dengan kuasa ekonomi besar ketika ini iaitu China dan India, apatah lagi ketika kadar pertukaran ringgit negara berada pada tahap kompetitif.
Malah, sokongan kepada IKS itu juga perlu diperhebat sehingga mampu mencipta peluang pekerjaan yang baru ketika beberapa pelabur asing mula menguncupkan operasi di negara ini.
PerhatianMengambil contoh penutupan beberapa syarikat luar negara seperti yang berlaku di Pulau Pinang baru-baru ini, Majlis Ekonomi perlu memberi perhatian serius kepada usaha mengekalkan peluang pekerjaan kepada rakyat.
Mohd. Fauzi turut menarik perhatian mengenai perlunya ditubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai Sistem Risikan dan Maklumat Pasaran di bawah Majlis Ekonomi, yang menurut beliau sangat penting dalam menilai dan memantau perkembangan semasa ekonomi global.
Badan itu tambahnya, akan bertindak mengumpul maklumat seterusnya mencadangkan tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan ketika berdepan dengan sebarang perubahan ekonomi global.
''Mengambil contoh pergerakan turun-naik harga minyak mentah ketika ini, badan ini dapat menjangkakan bentuk pergerakan harga komoditi untuk tempoh enam bulan atau setahun misalnya, sebelum kerajaan boleh mengambil keputusan sama ada untuk mengembalikan semula subsidi bahan bakar itu di pasaran tempatan,'' katanya.
Sebetulnya, tanpa maklumat risikan seperti itu, kerajaan tidak boleh secara fleksibel mengubah subsidi yang diberikan kerana tidak pasti sama ada penurunan harga minyak mentah ketika ini akan kekal atau sekadar petunjuk awal bahawa ia akan kembali melonjak sehingga mencecah AS$200 dolar setong seperti yang diramal sebelum ini.
Meskipun negara masih menyaksikan kadar pertumbuhan ekonomi, namun hakikatnya ia tidak cukup kuat untuk menarik pelabur asing menanam modal dan keadaan itu semakin ketara sejak kebelakangan ini.
Justeru, senario itu perlu diteliti dan dikaji dengan melihat pertumbuhan pelaburan serantau negara-negara jiran terutamanya serta negara-negara lain seterusnya membandingkan pula dengan kedudukan dan pencapaian negara.
Di sinilah peranan yang seharusnya dimainkan oleh Majlis Ekonomi dan seperti yang ditekankan Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah, badan itu juga perlu membekalkan input kepada kerajaan dalam membentuk satu sistem pembangunan ekonomi yang lebih baik dan menyeluruh.
Namun, apa yang seharusnya menjadi tumpuan Majlis Ekonomi tambah Haim Hilman, sebarang tindakan yang dilaksanakan perlu menyentuh kebajikan dan keperluan rakyat kebanyakan terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah.
''Sebab itu saya sangat suka sekiranya Majlis Ekonomi dapat mengkaji semula mekanisme yang komprehensif dalam menyusun pemberian subsidi minyak atau penetapan harga bahan mentah itu supaya lebih realistik dalam konteks yang mampu membawa manfaat kepada rakyat terutamanya golongan miskin.
''Langkah ini sangat penting dalam mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat dan mengembalikan semula kelegaan hidup mereka yang terhimpit ekoran kenaikan harga minyak serta kenaikan berantai lainnya yang dihadapi ketika ini," katanya.
Beliau menambah, Majlis Ekonomi itu juga perlu berperanan mengekalkan kualiti hidup sedia ada yang dinikmati oleh rakyat selama ini, dan bukannya mencadangkan tindakan yang mengajak rakyat menurunkan taraf hidup mereka.
Mengaitkannya dengan cadangan beralih kepada kenderaan awam misalnya, kesediaan rakyat untuk menggunakan pengangkutan awam seharusnya tidak dikaitkan dengan langkah berjimat cermat sebaliknya sebagai melambangkan rasa bangga kepada keselesaan dan kualiti sektor itu.
Malangnya, apa yang berlaku ketika ini, rakyat diajak untuk menggunakan pengangkutan awam kerana kualiti dan taraf hidup yang jatuh dan lebih malang lagi apabila sektor itu pula tidak mencapai tahap yang boleh dibanggakan.
''Perkara-perkara seperti ini termasuk meningkatkan kecekapan sektor pengangkutan awam perlu diberi perhatian yang serius oleh Majlis Ekonomi, sementelah kita sendiri sehingga kini tidak menggerakkan sektor berkenaan secara menyeluruh dan berkesan," katanya.
Seperkara yang menjadi kebimbangan Haim Hilman, penubuhan Majlis Ekonomi itu hanya untuk mengatasi kelembapan ekonomi semasa dan bukannya satu badan dengan peranan pemulihan secara jangka masa panjang.
Dalam situasi seperti itu katanya, setiap tindakan yang diambil kerajaan pastinya hanya bersifat sementara atau sekadar mendepani cabaran dan isu ekonomi mengikut apa yang berlaku ketika ini dan bukannya bersifat menyeluruh.
Paling ditakuti juga, apabila Majlis Ekonomi itu tidak ubah seperti sekian banyak jawatankuasa yang ditubuhkan sebelum ini yang pada akhirnya menyaksikan pertindihan tanggungjawab tetapi tanpa sebarang tindakan.
''Sesuatu yang pasti, jawatankuasa ini seharusnya dianggotai oleh mereka yang benar-benar pakar dalam bidang yang diamanahkan dan tidak didominasi oleh ahli politik supaya hasilnya mampu mencapai ke tahap menyelesaikan masalah," katanya.
Wednesday, December 3, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment