Wednesday, December 3, 2008

Elak Majlis Ekonomi Jadi Gimik Politik

Utusan Malaysia: 08.08.2008

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Majlis Ekonomi yang diumumkan penubuhannya oleh kerajaan perlu dipasti mampu mencapai matlamat penubuhannya supaya ia tidak dilihat sebagai satu gimik politik semata-mata.

Beberapa ahli ekonomi tempatan berkata, kerajaan perlu lebih serius terhadap objektif penubuhan Majlis Ekonomi itu agar usaha menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dunia dapat diatasi segera.

Menurut mereka, sekiranya struktur dan modus operandi penubuhan majlis berkenaan tidak dilaksanakan secara bersungguh-sungguh, dikhuatiri Majlis Ekonomi tersebut akan menjadi seperti majlis-majlis lain yang dilihat hanya berperanan sebagai ad-hoc ketika waktu-waktu tertentu.

Berikutan itu, tokoh ekonomi, Datuk Zainal Aznam Yusoff berpendapat, Majlis Ekonomi yang baru dibentuk itu perlu lebih fokus terhadap keutamaan dalam objektif penubuhannya.

Menurut beliau, ia penting kerana Majlis Ekonomi perlu bertindak dan memberi reaksi segera terhadap perubahan yang berlaku dalam persekitaran ekonomi semasa.

''Saya memberi pendapat begitu kerana saya melihat keputusan penubuhan Majlis Ekonomi ini kerana kerajaan memandang serius terhadap kesan kelembapan ekonomi dunia kepada ekonomi negara,'' katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penubuhan Majlis Ekonomi yang berperanan sebagai badan penasihat bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi dunia yang memberi kesan kepada negara.

Majlis yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan dianggotai menteri-menteri ekonomi serta wakil-wakil sektor kerajaan dan swasta itu akan menumpukan perhatian kepada usaha menyelesaikan isu-isu berhubung kenaikan harga barang.

Struktur dan modus operandi majlis itu akan dirangka untuk membolehkan ia berfungsi dengan cekap manakala keputusan-keputusannya dapat dirumuskan dengan cepat agar segera dilaksanakan.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah juga berkata, objektif penubuhan Majlis Ekonomi itu sangat baik dan bertepatan dalam keadaan sekarang tetapi perlu dipastikan pelaksanaannya dibuat dengan serius.

Untuk itu, beliau mencadangkan agar jawatankuasa di dalam Majlis Ekonomi tersebut dianggotai oleh pelbagai latar belakang merentasi kumpulan fahaman politik dan kerajaan pula hanya bertindak sebagai pemutus keputusan.

''Majlis Ekonomi ini perlu diletakkan sebagai agenda nasional dan tidak seharusnya dilihat sebagai platform politik. ''Sebab itu, kerajaan perlu memastikan pelan perancangan dalam majlis tersebut dilaksanakan secara komprehensif supaya keputusan yang dihasilkan benar-benar memberi kesan positif kepada negara dan rakyat,'' jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Program Siswazah Pengurusan Persekitaran dan Pakar Pengangkutan Awam, Prof. Dr. Abd. Rahim Md. Nor berkata, selain melihat impak kelembapan ekonomi terhadap Malaysia, kerajaan juga perlu menyelesaikan segera isu-isu politik tempatan yang turut menjejaskan ekonomi negara.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengakui bahawa ketidakstabilan politik memberi kesan kepada ekonomi kerana ia secara tidak langsung melibatkan minat kuasa besar ke atas Malaysia, apatah lagi kebanyakan pelabur asing itu adalah di kalangan peserta negara berkuasa besar.

''Ketidaktentuan politik tempatan menyebabkan para pelabur asing semakin berhati-hati dan dikhuatiri sekiranya masalah ini tidak diatasi segera ia akan menjejaskan ekonomi negara,'' ujar beliau.

No comments: