Tuesday, December 2, 2008

Cadangan Tidak Masuk Akal

Utusan Malaysia: 25.06.2008

KUALA LUMPUR 24 Jun - Pakar- pakar ekonomi tempatan menyifatkan cadangan ahli Parlimen pembangkang supaya tender cari gali minyak di negara ini dibuka kepada syarikat asing untuk mendapatkan royalti lebih tinggi sebagai satu pandangan yang tidak masuk akal.

Malah, mereka berpendapat, ia hanya akan memberi peluang dan ruang kepada syarikat asing mengaut kekayaan khazanah negara yang mengakibatkan Malaysia mengalami kerugian dalam jangka panjang.

Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia (UUM), Haim Hilman Abdullah berkata, tiada sebab mengapa negara perlu memberi peluang kepada syarikat-syarikat asing meneroka minyak negara sedangkan Petronas mampu melakukannya.

Malah, tambah beliau, Petronas telah membuktikan keupayaan dan mencatatkan kejayaan tersendiri dalam industri itu sehingga mendapat pengiktirafan sebagai antara syarikat minyak yang menguntungkan di dunia.

Beliau yang tidak bersetuju dengan cadangan itu berkata, tindakan membenarkan lebih banyak syarikat asing meneroka minyak negara tidak ubah seperti menyerahkan kekayaan sendiri kepada orang lain.

"Sungguhpun cadangan berkenaan bertujuan untuk mendapatkan royalti yang lebih tetapi siapakah yang boleh memberi jaminan syarikat asing mampu menjalankan perniagaan dengan telus apatah lagi sekiranya ia membabitkan soal minyak.

"Lagipun, saya tidak nampak mengapa kita perlu mengalirkan kekayaan Malaysia yang tidak sebanyak mana kepada syarikat asing. Jadi saya berpendapat cadangan tersebut tidak bijak untuk dilakukan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Idea membuka tender kepada syarikat asing itu dilontarkan oleh Ahli Parlimen Shah Alam daripada Pas, Khalid Abdul Samad ketika membahaskan usul penstrukturan semula subsidi minyak dan isu kenaikan harga barang di Dewan Rakyat, semalam.

Khalid dalam ucapan perbahasannya berkata, kerajaan sepatutnya membuka tender cari gali minyak kepada syarikat asing selain Petronas bagi mewujudkan daya saing sebenar dalam industri petroleum tempatan dan menjanjikan pulangan royalti lebih tinggi.

Pakar kewangan Islam, Datuk Dr. Nik Norzrul Thani pula berkata, cadangan yang dikemukakan itu tidak relevan memandangkan Petronas telah menjalinkan kerjasama dalam kerja-kerja cari gali minyak dengan syarikat asing seperti Shell sejak sekian lama.

Beliau berkata, kerjasama itu agak terbatas dengan peraturan sedia ada kerana Malaysia tidak pernah membuka peluang cari gali secara sewenang-wenangnya kepada syarikat asing.

"Sumber minyak Malaysia semakin terhad dan saya tidak nampak cadangan yang dikemukakan itu logik untuk dilaksanakan."Lagipun, saya tidak nampak mengapa kita perlu membenarkan sumber yang semakin mahal itu dieksploitasi oleh syarikat asing," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pembayaran royalti yang tinggi bukan satu jalan penyelesaian dalam menghadapi pengurangan subsidi minyak akibat kenaikan bahan api itu di peringkat global.

Beliau berkata, dalam keadaan lonjakan harga minyak yang berterusan, tiada satu negara pun di dunia sanggup menampung subsidi seiring dengan kenaikan minyak global. "Saya tidak nampak sejauh mana Malaysia mampu bertahan menyerap kenaikan minyak, meskipun menerima royalti tinggi daripada syarikat minyak (sekiranya cadangan berkenaan dilaksanakan).

"Ini kerana sekiranya kita terus-menerus meningkatkan subsidi ke atas bahan bakar itu, negara akan mengalami krisis ekonomi dan untuk jangka panjang seluruh rakyat akan mengalami kerugian," katanya.

No comments: