Thursday, January 26, 2012

Tolak rancangan REHDA

KUALA LUMPUR 23 Jan. - Cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) agar status hartanah lot bumiputera yang gagal dijual ditukar secara automatik kepada bukan bumiputera perlu ditolak.

Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, ia penting bagi menjaga kepentingan pemilikan bumiputera terhadap aset di kawasan-kawasan strategik di negara ini.

Katanya, dalam tempoh jangka panjang, cadangan tersebut boleh memberi kesan negatif kepada sosioekonomi negara dan ia hanya meminggirkan lagi golongan bumiputera daripada arus pembangunan.

"REHDA tidak boleh hanya memikirkan faktor untung rugi ahli mereka semata-mata, mereka sewajarnya berfikir jauh mengenai sosioekonomi di negara ini dan keperluan masyarakat bumiputera memiliki aset-aset strategik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Presiden REHDA, Datuk Seri Michael K C Yam mencadangkan status hartanah lot bumiputera ditukar secara automatik kepada bukan bumiputera jika gagal dijual dalam tempoh masa tertentu bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa ditanggung oleh pemaju.

Haim Hilman berkata, memandangkan harga hartanah terutamanya di kawasan Lembah Klang melambung begitu tinggi, beliau mencadangkan agar agensi-agensi kerajaan serta dewan-dewan perniagaan Melayu membentuk dana bagi membeli aset tersebut dalam menjaga kepentingan masa hadapan.

Beliau turut mencadangkan kerjasama agensi kerajaan serta pemaju-pemaju perumahan untuk membentuk mekanisme yang membolehkan orang ramai melihat secara online lot-lot bumiputera yang tidak terjual bagi mengelakkan sebarang manipulasi.

Sementara itu, Pengerusi Institut Perniagaan Beretika Malaysia, Dr. Zainal Abidin Abd. Majid berkata, polisi sedia ada perlu dikekalkan kerana golongan bumiputera tidak mempunyai kuasa beli tinggi berbanding kaum-kaum lain.

"Ketulusan dalam perkara ini juga perlu diberi keutamaan kerana saya sendiri pernah pergi ke sebuah majlis pelancaran projek perumahan yang mana lot-lot bumiputera dimaklumkan telah habis dijual.

"Perkara ini mesti ada panel yang melibatkan agensi kerajaan serta NGO (pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan) untuk memantau secara serius masalah yang berlaku dan melindungi hak bumiputera," katanya.

No comments: