Thursday, November 20, 2008

Memahami Pengurusan Strategik

Oleh Haim Hilman Abdullah
Utusan Malaysia : 12.11.2004

Pengurusan strategik adalah kombinasi di antara seni dan sains dalam pengurusan yang memberi penekanan komprehensif terhadap semua proses penting di peringkat penggubalan, pelaksanaan dan penilaian strategi serta prestasi. Keberkesanannya banyak bergantung kepada kemampuan pengurus mengendali segala program syarikatnya secara strategik.

Objektif utama artikel ini ditulis adalah untuk mendedahkan pengurus khususnya dan para pembaca amnya akan satu konsep pengurusan yang mampu membantu mereka melihat prospek perniagaan yang sedang atau bakal mereka diceburi dengan lebih realistik lagi.
Globalisasi yang dianggap sebagai petaka oleh sebahagian besar masyarakat boleh mewujudkan peluang yang yang cukup besar jika ditafsir secara positif.

Faktor yang diperlukan oleh pengurus untuk menjadi individu positif ialah ilmu pengurusan terbaik dan semangat yang tidak kenal erti kegagalan. Dalam artikel ini penulis ingin mendedahkan kepada pengurus akan konsep pengurusan strategik iaitu satu konsep pengurusan yang semakin digunakan dengan meluas oleh syarikat pelbagai saiz di negara-negara maju dan juga membangun yang lain.

Mengurus mengikut rasa hati dan jangkaan tanpa pengetahuan pengurusan yang kukuh boleh membawa padah. Penulis amat berharap pengurus di semua peringkat akan mendapat manfaat dari artikel ini terutama sekali dari aspek mengenalpasti pendekatan-pendekatan strategik yang boleh mereka gunakan untuk meningkatkan daya saing syarikat mereka dalam dunia perniagaan yang sangat mencabar seperti hari ini.

Pada dasarnya konsep pengurusan strategik boleh dibahagi kepada tiga (3) bahagian utama. Bahagian-bahagian tersebut dikenali sebagai penggubalan strategi, pelaksanaan strategi dan penilaian prestasi.

Minggu ini penulis akan menghuraikan komponen-komponen strategik bahagian pertama konsep ini iaitu visi, misi, penilaian persekitaran, objektif, strategi dan polisi. Terma-terma ini mungkin asing dari segi penggunaannya di kalangan pengurus yang mengurus organisasinya menerusi gerak hatinya sahaja.

Kesanggupan mereka menerima hakikat akan kelemahan cara pengurusan tersebut dan bersedia mengadaptasi konsep boleh menjadi titik tolak ke arah menjadikan syarikat mereka menjadi sebuah syarikat yang lebih dinamik dan kompetitif.

Bagi pengurus yang telah bersedia untuk berubah maka mereka boleh memulakannya dengan membentuk visi perniagaan sejelas mungkin kerana ia boleh menjadi perantara paling berkesan untuk syarikat menjelaskan kepada pekerja dan pelanggannya akan matlamat jangka panjang yang ingin dicapainya. Selepas itu mereka perlu membentuk misi yang jelas pula dan misi mengikut Peter F. Drucker iaitu Bapa Pengurusan Moden sebagai faktor yang boleh memotivasi pekerja di samping menjadi perantara terbaik untuk memaklumkan masyarakat pengguna dan mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan secara langsung dan tidak langsung dengan syarikat akan maksud kewujudannya.

Di samping dua komponen penting di atas, pengurus turut perlu memahirkan dirinya dengan persekitaran perniagaannya. Dengan kata lain pengurus perlu benar-benar mengetahui persekitaran dalaman dan luaran syarikatnya.

Antara faktor-faktor yang biasa dinilai untuk persekitaran dalaman ialah faktor-faktor yang telah dikenalpasti oleh McKinsey Consulting Group menerusi Analisis 7 -Snya; Superordinate goal, strategy, system, style, staff, skill dan structure di samping faktor-faktor lain yang tidak kurang pentingnya iaitu kewangan, budaya, nilai, kepercayaan, aset (nyata/tidak nyata) dan rantaian nilai korporat.

Kesemua faktor ini boleh dijadikan asas oleh pengurus untuk menilai kekuatan dan kelemahan syarikatnya. Untuk persekitaran luaran pula, ia boleh dibahagikan kepada dua peringkat; makro dan industri. Analisis PEST (politik, ekonomi, sosio budaya dan teknologi) untuk persekitaran makro dan Analisis Porter 5 Gerak Kuasa (pembeli, pembekal, pesaing, pendatang baru dan produk ganti) di samping NGO, kerajaan, masyarakat dan kesatuan sekerja di samping faktor-faktor lain yang dirasainya mampu mewujudkan peluang atau ancaman kepada syarikatnya harus dinilai.

Dengan kata lain mengenali persekitaran dalaman dan luaran mampu membantu pengurus membentuk Analisis KLAP yang baik. Analisis KLAP (Kuat, Lemah, Ancaman dan Peluang) yang lebih popular dengan nama Analisis SWOT amat penting kerana ia boleh membantu memudahkan pengurus membentuk objektif, strategi dan polisi syarikat yang lebih komprehensif. Antara ciri-ciri objektif yang baik ialah specific, measurable, achievable, realistic and timely (SMART).

Kemudian pengurus perlu membentuk strategi-strategi yang mampu merealisasikan objektif yang telah dikenalpasti berasaskan ciri-ciri di atas. Salah satu kelebihan konsep ini ialah ia mempunyai pendekatan strategiknya yang tersendiri untuk menjana strategi iaitu menerusi Matrik TOWS.

Matrik ini mampu menjana pelbagai strategi menerusi pergabungan faktor kekuatan dengan peluang, kekuatan dan ancaman, kelemahan dengan peluang dan kelemahan dengan ancaman. Pengurus yang bijak akan memastikan semua strategi yang dijana itu mampu mencapai objektif, visi dan misi syarikatnya dan tidak terperangkap dengan dilema paralysis by analysis. Untuk melancarkan lagi proses tersebut, pengurus perlu membentuk polisi perniagaan yang jelas dan mesra pengguna.

Antara kelebihan yang pengurus boleh perolehi jika mengamalkan konsep ini ialah boleh mengenalpasti kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dimiliki dan hadapi oleh syarikatnya dengan lebih jelas, merangka bentuk tindakan yang terbaik untuk keempat-empat aspek tersebut, merancang aktiviti syarikat mengikut kepentingan dan mengukur tahap pencapaiannya dengan lebih sistematik.

* Penulis merupakan Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan di Universiti Utara Malaysia. (hilman@uum.edu.my)

MULAI hari ini, ruangan Ekonomi akan menyiarkan satu siri tujuh artikel mengenai pengurusan strategik dan keusahawanan. Kami berharap para pembaca akan mendapat manfaat daripadanya. Sebarang pandangan boleh dikemukakan kepada kami melalui Ekonomi@utusan.com.my - Pengarang

1 comment:

Elise Roslan said...

sangat2 membantu sy untk jwap soalan SM 1jan 2011 nanti.. tQ... hihi