Saturday, September 3, 2011

Pengajaran berguna buat Malaysia

Utusan Malaysia

Selasa: 30.08.2011

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Penjualan Esso Malaysia Bhd. (EMB) kepada San Miguel Corporation (SMC) oleh ExxonMobil Corporation merupakan satu pengajaran berguna buat kerajaan, syarikat tempatan serta masyarakat awam mengenai keupayaan negara dalam bidang kepakaran minyak dan gas daripada industri huluan kepada hiliran.

Pensyarah Kanan Pengurusan Strategik, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, ini menunjukkan kerajaan perlu mempunyai dasar jelas dalam pemilikan syarikat yang berkecimpung dalam industri kritikal seperti minyak, gas dan mineral bagi memastikan sumber tersebut dinikmati secara optimum oleh rakyat negara ini.

“Negara perlu mewujudkan satu dasar baru bagi memastikan setiap perpindahan ekuiti syarikat dalam bidang sumber kritikal mendapat kebenaran kerajaan terlebih dahulu.

“Pemilikan EMB oleh SMC membuktikan banyak syarikat tempatan sebenarnya tidak mempunyai kepakaran mencukupi untuk meneruskan perniagaan Esso dalam segala segi, itu pengajaran buat kita semua,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Haim mengulas lanjut keputusan ExxonMobil menjual 65 peratus pemilikan saham EMB kepada SMC dan bukannya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sungguhpun syarikat tempatan itu dikatakan menawarkan harga lebih tinggi sebelum ini.

Bagaimanapun, Naib Presiden ExxonMobil, Stafford T. Kelly dalam satu sidang akhbar semalam mendedahkan, LTAT serta sebuah lagi syarikat tempatan lain gagal menawarkan harga lebih baik daripada SMC.

Menurut Haim, ketidakupayaan syarikat tempatan untuk menyaingi harga seperti ditawarkan SMC serta keengganan meneruskan operasi dua loji penapisan tersebut menunjukkan mereka perlu membangunkan modal insan bagi melangkah lebih jauh dalam bidang itu.

Kepada satu soalan, katanya, tindakan beberapa persatuan pengguna untuk memboikot minyak keluaran Esso selepas ia dimiliki SMC nanti bukan satu keputusan bijak kerana ia bakal memberi imej buruk kepada negara.

“Ia (boikot) akan memberi implikasi negatif kepada kerajaan kerana kita seperti tidak menghormati Perjanjian Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) yang telah kita persetujui,” tegasnya.

No comments: