Isnin: 5.9.2011
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Kerajaan disaran agar melupuskan semua lesen pemberi pinjam wang sekiranya agensi terbabit lebih banyak mendatangkan masalah kepada pengguna.
Penganalisis ekonomi Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Amir Baharuddin berkata, agensi terbabit tidak perlu wujud kerana pengguna masih banyak pilihan melalui institusi yang dikawal baik oleh Kementerian Kewangan dan Bank Negara.
"Walaupun mereka tertakluk dengan syarat-syarat pemberi pinjam wang berlesen di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), namun banyak kes yang menunjukkan mereka tidak mematuhinya. Mudahnya sedikit tapi risiko tinggi.
"Selain itu, mereka melemahkan institusi kewangan lain dan menimbulkan banyak tanda tanya kepada pengguna. Jika begitu lebih baik lupuskan lesen. Sementara itu, bank pula perlu banyakkan pinjaman mikro," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menurut Amir, ketika ini, kedudukan syarikat pinjaman berlesen yang terletak di bawah bidang kuasa KPKT juga perlu dikaji.
"Sepatutnya segala perkara melibatkan kewangan atau kredit dikawal selia oleh Kementerian Kewangan atau Bank Negara agar tidak berlaku pertindihan polisi atau sebagainya.
"Kecualilah kuasa tersebut diserahkan secara sementara atas sebab tertentu misalnya Bank Negara sudah tidak mampu mengawal bebanan kerja," katanya.
Pandangan beliau turut disokong seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah yang menyatakan kerajaan perlu melakukan kajian tentang keperluan agensi tersebut kepada masyarakat dalam konteks semasa.
"Dalam kajian tersebut, perlu dinyatakan bagaimana bank atau koperasi boleh menjadi alternatif dengan mekanisme pinjaman yang lebih mudah.
"Bagaimanapun, jangan pula mekanisme itu menjadikan bank atau koperasi sebagai mangsa peminjam yang tidak membuat bayaran semula," katanya.
Tambah beliau, kebiasaannya, pemberi pinjam wang berlesen menjadi tumpuan peminjam yang tidak dapat memenuhi syarat pinjaman atau mempunyai rekod buruk di bank.