Friday, August 12, 2011

Peneroka tunggu IPO baru

Utusan Malaysia: 13.08.2011: Sabtu

MENELITI kejayaan penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) MSM Holdings Berhad (MSM) yang disenaraikan pada 28 Jun lalu cukup mengujakan, pemegang saham yang terdiri daripada para peneroka tentunya mengharapkan IPO seterusnya.

Pelaksanaan penyenaraian syarikat milik Felda Global Ventures Holdings Sdn. Bhd. (Felda Global) memberi manfaat besar kepada peneroka malah mencerminkan satu kejayaan baru buat Felda dalam menyusuri fasa kedua 50 tahun pembangunannya.

Pegangan saham sebanyak 20 peratus dalam MSM melalui Koperasi Permodalan Felda (KPF) telah membolehkannya mengaut keuntungan hampir RM300 juta untuk ahli-ahlinya. Ini secara langsung telah membuahkan keuntungan kepada 112,635 keluarga peneroka yang merupakan ahli KPF.

Selepas hampir dua bulan didagangkan di Bursa Malaysia, harga sesaham MSM kini telah melepasi paras RM5.40.

Pengarah Urusan Felda Holdings Bhd, Datuk Ahmad Sabri Ahmad pernah mengulaskan bahawa ada kemungkinan warga peneroka boleh mengambil bahagian yang lebih besar dalam syarikat Felda melalui KPF untuk IPO yang bakal dibuka pada masa depan.

Syarikat kumpulan Felda mempunyai banyak perniagaan yang mampu berdaya maju dengan syarikat-syarikat lain yang tersenarai di Bursa Malaysia. Dengan kejayaan penyenaraian MSM, tidak hairanlah jika peneroka akan menantikan penyenaraian seterusnya.

Inisiatif penyenaraian IPO anak syarikat Felda itu turut disokong Pensyarah Pengurusan Strategik Kolej Perniagaan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Haim Hilman Abdullah selagi ia mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi dan bukan sekadar mengaut keuntungan mudah jangka pendek.

"Saya menyokong selagi pengurusan dan sasaran langkah penyenaraian itu dibuat berdasarkan aspek kebaikan dan melihat kepada implikasinya kelak terhadap ekonomi kaum bumiputera.

"Felda yang mempunyai banyak komoditi seterusnya mungkin boleh melihat kepada produk getah dan sawit untuk apungan demi mengumpul dana membesarkan perniagaan peringkat antarabangsa seterusnya membuka peluang ekonomi dan peluang kerja untuk semua rakyat Malaysia kelak," katanya.

Beliau berharap mana-mana anak syarikat Felda yang disenaraikan mampu membangunkan perniagaan melangkaui tugas membekalkan komoditi semata-mata kepada produk hiliran dengan menghasilkan kilang dan produk sendiri seperti tayar serta sarung tangan getah.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Shamsudin Othman turut bersetuju lebih banyak anak syarikat Felda disenaraikan di bursa saham memandangkan perkara tersebut sememangnya telah dirancang sejak dahulu lagi.

"Peneroka menyokong hasrat ini bukan sekadar demi keuntungan malahan demi pembangunan dan perkembangan syarikat berkenaan ke tahap lebih tinggi. Untung dan perkembangan perlu ada dan selari antara satu sama lain.

"Selain MSM yang telah disenaraikan, banyak anak syarikat lain yang berpotensi malahan kilang baja Felda juga berpotensi tinggi dibangunkan ke peringkat antarabangsa jika disuntik modal secukupnya," ujarnya.

Kejayaan penyenaraian MSM bagaimana pun tidak datang bergolek. Ia adalah hasil titik peluh peneroka dan perancangan rapi Felda, strategi jangka panjang yang bukan hanya diterjemahkan di ladang tetapi juga aktiviti ekonomi Felda.

No comments: