Saturday, June 18, 2011

Inisiatif, pakej transformasi positif

Utusan Malaysia: Selasa: 15.06.2011

KUALA LUMPUR 14 Jun - Pakar ekonomi menyifatkan sembilan inisiatif Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, satu pakej transformasi ekonomi yang baik.

Penganalisis ekonomi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Amir Baharuddin berkata, ia adalah ramuan yang tepat dan selari dengan ekonomi global semasa.

Menurutnya, penggunaan kaedah baru penting dalam mencerminkan keadaan sosioekonomi sesebuah negara.

"Prospek dan cabaran transformasi baru itu akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara ekonomi berpendapatan tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Najib mengumumkan sembilan inisiatif baharu di bawah ETP bernilai pelaburan RM2.77 bilion dan kesan Pendapatan Negara Kasar (GNI) RM18.67 bilion serta mewujudkan 36,595 peluang pekerjaan menjelang 2020.

Menurut Amir, pengumuman inisiatif itu boleh menjadi struktur sokongan dalam menyempurnakan keupayaan negara melakukan transformasi terhadap bidang ekonomi dan pada masa sama kepada pentadbiran negara.

"Saya yakin inisiatif ini langkah terbaik untuk membawa negara ke tahun 2020 sebagai sebuah negara maju," katanya.

Pandangan beliau turut dikongsi oleh seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr. Haim Hilman Abdullah yang menganggapnya satu pendekatan yang amat baik dan bagi memastikan keberkesanannya, ia perlu dilaksanakan dengan telus.

Katanya, ia menunjukkan kerajaan mempunyai pelan terancang untuk meletakkan negara di landasan yang betul.

Beliau yang juga Pensyarah Pengurusan Strategik, Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, inisiatif yang diumumkan itu akan menjadi pemangkin kukuh yang mampu mengekalkan sentimen positif terhadap pasaran tempatan di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.

"Inisiatif baru yang diumumkan itu merupakan sebuah kerangka yang dapat digunakan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berharap, langkah itu akan disegerakan memandangkan peluang pekerjaan baru mampu memantapkan lagi sosioekonomi negara.

1 comment:

Anonymous said...

tahniah...


wsv_7087